Maafkan aku duhai teman - teman, aku masih lagi memungkiri janji untuk selalu mengirim khabar di laman ini. Aduhai, banyak benar yang belum tertunai dan tertulis. Dan, kesibukan yang mendatang sekalipun hadir menyekatkan ruang untuk berekspresi diri di sini.
Masa dan kehidupan sentiasa seiring. Pantasnya waktu menyebabkan banyak kisah- kisah yang tertinggal. Kisah-kisah hidup yang bakinya kita bawa ke hadapan. Namun, ada kisah-kisah hidup perlu dijadikan sejarah yang harus dilupakan. Ada juga yang harus kita kenangkan sebagai teladan. Kerana itu Jimi Wiser masih menjadi sebuah blog.
Kesibukan hidup aku seketika terhenti apabila mendengar khabar bahawa seorang bekas anak murid aku telah pergi mengadap Ilahi. Shahrin pergi setelah mendapat kemalangan di jalan raya sewaktu hujan lebat. Digilis lori panjang ketika menaiki motosikalnya.
Mendengar khabar itu, jiwa berdegup kencang lalu sekaligus terimbas berkali-kali wajah Shahrin. Wajahnya yang hitam manis yang sentiasa tersengih apabila ditanyakan soalan. Ataupun, Shahrin yang sentiasa menggarukan kepalanya yang tidak gatal. Shahrin selalu menemani pagi sekolahku di kantin. Ketika itu, Shahrin masih belum kenal baca dan tulis meskipun sudah berdarjah enam. Kerana waktu yang lain sangat suntuk, Shahrin belajar baca di sisi aku sewaktu aku bersarapan pagi.
Kadangkala, air mata lelaki amat jarang jatuh mengalir seperti lazimnya air mata wanita. Namun, hati aku menangis hiba, dan seketika aku memandang betapa fananya kehidupan dunia ini. Dunia ibarat jalan yang berliku-liku. Tepi kiri dan kanan penuh dengan singgahan rawat dan rehat yang melekakan. Tetapi, kita harus tetap teruskan musafir kita. Mohonlah musafir kita melalui lebuhraya yang lurus dan tidak berlama-lama di singgahan sementara. Atau terhenti sahaja tanpa meneruskan perjalan ke destinasi yang pasti.
Shahrin, usiamu 17 tahun meninggalkan dunia ini. Muda sungguh usiamu. Sempatkah Shahrin menabur bakti untuk dunia di sana? Cukupkah bekalan Sharin di sana?
Shahrin, cikgu halalkan segala ilmu cikgu dan halalkan juga segala kesalahan dan kesilapan cikgu. Sememangnya cikgu amat arif tentang kekhilafan diri cikgu.
Shahrin, Al- fatihah sekali lagi dan sekali lagi buatmu.
Labels: catatan hidup, cikgu Jimi |
Alfatihah