Berbanding Kelantan dan Terengganu, Pahang tampil berbeza dengan keluasan negeri yang sangat majestik dan menghijau. Sisi kiri dan kanan yang mewah dengan kehijauan alam yang lestari. Negeri yang berwarna hitam dan putih yang kaya dengan sejarah lama ini menampilkan sisi negeri pantai timur yang tersendiri berbanding Kelantan, Terengganu.


Kali terakhir aku menjejaki negeri - negeri Pantai Timur ialah saat aku berusia 12 tahun. Sangat lama sekali telah melampaui masa lebih 20 tahun. Masa itu, aku , adik beradik , ibu dan arwah abah juga melakukan lawatan pantai timur ini dari Kelantan, Terengganu dan Pahang. Membayangkan imej - imej masa lampau sekadar hanya singgah di situ, tetapi kini banyak benar yang telah bertukar ganti. Kenangan - kenangan itu mengingatkan aku betapa pantasnya waktu yang telah silih berganti. Paling tidak aku lupakan, apabila terpaksa tidur di Masjid Kuantan kerana sudah kehabisan bilik hotel ketika itu. Ya, kami sekeluarga waktu itu yang berjumlah tujuh orang semuanya. Kerana nyamuk mengurungi kami, abang sulungku terpaksa mencari kedai runcit untuk membeli lingkaran ubat nyamuk.


Kini, Teluk Cempedak yang pernah aku kunjungi dulu sudah dikelilingi restoran makanan segera, begitu juga dengan pub-pub bersaing dengan bunyi bingit yang sangat asing dengan budaya kita (adakah benar kenyataanya sebegitu?) Sungguhpun sekitar pesisiran pantai sudah ditata rias dengan kemasan rumput Filipina yang cantik, dengan kerusi duduk yang teratur dan amat santai, tidak dapat menepis pandangan aku terhadap kera-kera liar yang bergayut-gayutan di luar patio restoran makanan segera itu.
Sedang asyik leka makan malam bersama suri, terkedu melihat seekor kucing yang paling sedih memek mukanya di Teluk Cempedak.
" Jaga-jaga dengan kereta tuan ya. Letakkan tiket parkir kereta, orang Majlis di sini setiap 10 saat memantau kereta yang tidak mempunyai tiket parkir."
Kakitangan hotel itu memberitahuku ketika mendaftarkan nama. Berlama-lamaan di hotel sahaja sementara menantikan waktu petang. Sahabat lama sekampus universiti akan membawa aku dan suri bersiar-siar di Tanjung Lumpur, sambil makan-makan makanan laut. Jadi, lihat sahaja betapa banyak tiket parkir yang kuletakkan di situ.
Sahabat aku ini dan pasangannya baru sahaja melangsungkan perkahwinan mereka. Takdir dan jodoh mempertemukan dua insan ini yang juga rakan sekerja, pensyarah seuniversiti juga dalam sefakulti. Dan, takdir jodohnya juga pasangannya pula berasal dari tempat asal aku. Maka, tanpa sedari berlakulah jejak kasih yang menemukan semula kenangan-kenangan lama persahabatan di kampus. Alhamdulillah, begitulah takdir Allah. Allah pertemukan seorang teman yang tidak begitu akrab tetapi menjadi erat semula walaupun seabad lama meninggalkan dunia kampus.
Tidak aku sangka, dia begitu menghargai pertemuan ini. Ya Allah, betapa aku selalu benar naïf dalam sangkaan dan persepsi aku. Terima kasih ya teman atas belanja makan malam ini dan ya, atas persahabatan ini sekali lagi.
Semoga jodoh kau dan isteri berkekalan dan diberkati hendaknya. Tanjung Lumpur menjadi saksi pertemuan ini.
Menyusuri sungai Pahang waktu pagi benar-benar memberikan satu kepuasan. Selama mana pagi-pagi hariku setiap hari sibuk dengan anak-anak murid di sekolah. Kadangkala, seperti tidak mampu menghirup udara pagi dengan sepenuhnya. Kerana waktu pagi benar-benar satu peluang anak-anak meresap pelajaran dengan mudah. Jadi, kadangkala, aku terbeban untuk menyuapkan sebanyak mana ilmu untuk mereka. Tetapi, pagi-pagi bercuti memberi ruang kembali untuk bernafas secara total. Menikmati alam pagi.
Jauh di sudut hati, sentiasa mensyukuri nikmat berpagi-pagi dan sudah pasti peluang untuk menaburkan bakti di dunia ini. Alhamdulillah.
Melihatkan seorang pekerja Indonesia yang bertungkus lumus membersihkan premis kedai makanan tuannya, membuatkan aku kagum dengan disiplin dan integriti dirinya yang bekerja bersungguh-sungguh demi mencari nikmat rezeki untuk dikantung pulang ke tanahairnya.
Dan, semoga percutian ini benar-benar mengauditkan dan mengaktifkan diriku agar lebih bersedia dan memperbanyak amalan seharian. Untuk siapa, untuk diriNya. Dan, untuk pencen kubur aku.
Labels: catatan hidup, kembara