Beberapa tahun dahulu, aku pernah menerima beberapa email daripada seorang penuntut Malaysia yang ketika itu menuntut di Jepun. Katanya dia sama sekali tersentuh dengan tulisan aku tentang salah seorang bekas anak muridku ini. Entri tentang bekas anak murid itu di
sini. Katanya lagi, tulisan aku itu sangat meng'hantui' fikirannya. Malah segala-galanya telah mengubah pemikiran dan prinsip hidupnya. Masyaallah.
Malah, yang lebih menggemparkan lagi dia mahu mengubah haluan hidup dan cita-citanya dengan menjadi seorang guru. Katanya, dia berfikir –fikir mahu menjadi seorang guru yang bakal merealisasikan impiannya supaya anak-anak Malaysia tentang kejuruteraan robotik. Impiannya itu amat mengkagumkan aku. Katanya lagi,impiannya hanya mahu melihat perubahan warga Malaysia kepada kecanggihan dunia teknologi sepertimana yang dia pelajari di sana. Katanya lagi, hanya satu perkara yang menghalangnya pada ketika itu, ialah keengganan ibunya merestui cita-citanya. Dan, dia meminta nasihat daripada aku.
Aku katakan kepadanya, kejarlah cita-cita demi Dia yang satu. Kemudian, kenangilah pengorbanan seorang ibu. Menyekolahkan dan membesarkan anaknya sampailah ke benua lain yang nun jauh demi harapan dan impiannya. Justeru, realisasikanlah harapan seorang ibu. Semua orang boleh menjadi 'guru' dalam konteks menginspirasi dan mengilhamkan kebaikan kepada orang di sekitarnya. Tidak perlu menjadi guru dalam lingkungan pagar sekolah. Tetapi, menjadi guru yang hebat dalam sekolah kehidupan.
Pada ketika itu aku berharap benar kefahaman aku itu sampai terus ke lubuk hatinya. Agar, dia tahu tujuan hakikinya. Dan, sungguh-sungguh mengharap bahawa keputusan itu bukan terhasil semata-mata kerana tulisan aku. Rasionalnya, semua insan berbeza prinsip dan pengalaman hidup mereka. Dan, pada aku ada orang lebih layak dan berhak menjadi lebih hebat daripada seorang guru. Dan, berdasarkan premis itu, aku yakin dia (penuntut itu) boleh menjadi seribu kali lebih baik daripada seorang guru seperti aku.
Ya. Persis. Tanamkan benih semangat dan inspirasi kepada seorang anak kecil tentang dunia keusahawanan. Satu hari kelak, dia pasti menjadi jutawan terbilang yang boleh menderma jutaan ringgit demi kemaslahatan manusia. Siapakah yang lebih hebat di sini? Tentulah sang jutawan itu. Fikirku begitu.
Biarlah orang seperti aku menjadi guru yang ‘biasa’ itu. Menghabiskan rutin sehari-harian mengajar tulis dan baca. Menanam ‘benih – benih’ itu. Sambil menghela nafas keluhan tentang keputusan polisi awam yang acapkali berubah-ubah. Sambil menyiapkan tugas pengkeranian yang semakin hari semakin tidak relevan. Namun, ‘core business’ itu tidak pernah berubah.
Setelah beberapa tahun menyepi. Demi Allah, dengan izin Allah dia telah pun menyempurnakan tugasnya selaku seorang penuntut. Dan, dia telah pulang ke Malaysia dengan janji-janji dan inspirasinya. Benar tentang sangkaan aku. Ramalanku benar belaka. Dia telah menjadi seorang yang hebat. Lebih hebat daripada seorang guru biasa seperti aku.
Di manakah dia sekarang? Apakah pekerjaannya sekarang?
Masyaallah!, dialah seorang ‘guru’ yang hebat. Malah, lebih hebat daripada aku yang hanya sekadar guru biasa. Bayangkanlah, jika dia masih enggan mengikuti saranan ibunya. Dia tidak mampu menginspirasi masyarakat Malaysia dengan pilihan-pilihan buku-buku keluarannya yang sangat mengkagumkan seperti sekarang. Dia telah dan sedang mendidik manusia dengan buku-buku keluarannya. Alhamdulillah, segalanya kembali kepada Allah.
Dia yang aku maksudkan ialah pemilik blog
Sang Pelangi. Tuan Irfan Jani.
Seringkali katanya dia mengisi masanya yang terluang dengan sentiasa membaca blog aku.Yang dia tidak tahu, hakikatnya aku sendiri banyak mengambil inspirasi daripada tulisannya sendiri di blognya. Malah, juga daripada kalian semua yang sentiasa singgah dan sentiasa mendoakan aku dan suri selama ini. Percayalah, inilah kehebatan dunia blog dan kecanggihan teknologi internet jika ada yang tahu menggunakannya dengan betul.
Seronok benar mengikuti diri pemilik Sang Pelangi menjadi manusia hebat sekarang. Keluar di tv1 atau di tv3 (aku hanya mengetahuinya di youtube kemudiannya sahaja). Dan, aku sentiasa mengikuti perkembangan tulisannya dalam dunia ‘muka buku’, melanggan insan-insan inspirasi sepertinya sebagai vitamin setiap kali aku membuka akaun aku.
Dan, baru – baru ini, jemputan untuk ke majlis perkahwinannya sangat-sangat membuatkan aku terharu. Membayangkan kesungguhannya untuk menjemput aku dan suri sudah cukup sebagai rasa terima kasih. Dan, setelah bertahun-tahun di alam maya, pertemuan itu hadir juga. Aku, dia dan kedua-dua suri kami.
“ Terima kasih kepada cikgu kerana pernah menginspirasi dalam hidup saya”
“ Cikgulah antara laskar-laskar pelangi … yang menjadi inspirasi buat saya, the unsung heroes “
Wah – wah. Pandai sungguh si penerbit buku ini me’nerbit’kan kata-katanya. Kadangkala, aku sama sekali tidak menyangka betapa ada juga yang benar-benar menghadam apa yang ditulis, memahami tujuan blog aku ditulis. Aku memohon, jauhilah aku Ya Allah daripada sifat Sum’ah itu, Ya Allah.
Aku katakan kepadanya
“ Irfan, masih banyak lagi guru yang lebih baik daripada saya. Cumanya mereka tidak menulis blog seperti saya.”
Tegasnya di sini, semua kebaikan yang lahir daripada blog ini datang daripada Allah. Sedangkan, segala keburukan itu datang daripada aku. Apabila kita berfikir segala yang kita lakukan itu telah sampai ke peringkat ‘ikhlas’, maka di situlah bukannya ‘keihlasan’ yang sebenarnya. “ Keikhlasan itu rahsia di antara rahsia – rahsia aku”(Hadith Qudsi).
Justeru, aku memohon keampunan daripada Allah.
Pertemuan empat mata itu diakhiri dengan pemberian hadiah buat si pengantin baru; Tuan Irfan dan suri hatinya.
Aku menulis kepadanya (dalam keadaan tergesa-gesa dan terburu-buru)
Memburu cinta hingga bintang delapan,
Singgah bertapa di planet Musytari,
Selamat Pengantin Baru buatmu Irfan,
Semoga sentiasa kekal berseri.
Erti Hidup Pada Memberi. Jom!
Labels: catatan hidup, cikgu Jimi
Salam cikgu Jimi.
Saya baru kenal blog ini. Itupun daripada tulisan Tuan Irfan. Tulisan cikgu memang mengesankan.