Benarlah bagai dikata orang selalu, negeri Trengganu (nama Terengganu dahulunya) ialah sebuah negeri yang cantik, negeri yang elok. Aku begitu mudah tertawan tatkala memandu menyusuri jalan pesisiran pantai dari Penarik – Permaisuri dan tempat- tempat seterusnya. Keindahannya sungguh mempesonakan. Sayangnya, aku yang memandu kereta justeru tidak sempat merakamkan foto-foto yang diinginkan atau dibayangkan.
Sesekali, sempat juga aku sengaja memberhentikan kereta di bahu jalan, lalu apalagi berkelik-kelik bunyi kamera, menangkap apa yang mahu terakam. Tapi sayang, hanya kamera kompak sahaja, andainya kamera DSLR tentu sahaja mata sebenar yang dirakamkan berjaya dizahirkan dengan begitu jelas. Seperti jelasnya terakam melalui anak mata aku. Mudah-mudahan rezekiku hadapannya luas, boleh memiliki kamera semahal itu. Doakan ya.
Apabila bersiar-siar di negeri Terengganu ini, aku bagaikan terikut-ikut dengan gambaran naratif dan deskriptif
Awang Goneng dalam bukunya
Growing Up in Trengganu yang bukunya itu selalu aku khatamkan berkali-kali. Seperti terawang – awang. Bagaimana ya? Jika dapat melihat negeri Trengganu pada zaman dahulu kala ya? Ya, seperti yang ditulis oleh Awang Goneng. Mengenangkannya, serasa mahu segera membaca kembali buku itu lagi. Berkali-kali. Mengimbas manusia-manusia, tempat-tempatnya, peristiwa-peristiwanya di dalam buku itu.
Pantai-pantainya. Sungai-sungainya dan kapal-kapal kecil nelayan yang berlabuh di tepi sungainya. Rumah-rumahnya yang hasil ukiran kayunya halus, mulus dan berseni pula. Orang-orangnya yang bersiap siaga dengan serawan jala. Ataupun sekadar merawat jala dengan menjahit dan membaiki semula di selasar rumah yang kecil itu. Aduhai, apatah lagi indahnya kalau menatap gambaran kehidupan ini, sambil memandu di jalan pesisiran pantai. Ya, sambil mendengar iringan lagu-lagu pilihan
Secret Garden.
Orang - orang di sini, alahai mewahnya dengan hasil tangkapan laut. Melihatkan kucing-kucing jalanan di sini semuanya tambun-tambun membuatkan aku dan suri tertawa. Jauh bezanya dengan kucing jalanan di tempat aku.
Singgah di Mengabang Telipot, orang kata ada sebuah restoran yang hanya menawarkan hasil tangkapan ikan dengan gorengan tepung. Kedainya tidak ubah seperti bangsal buruk dan usang sahaja. Tetapi, sajian petangnya sangat menyelerakan. Sotong tepung sebesar aneka saiz apa sahaja yang dimahukan. Ikan Mambung bersalut tepung. Udang-udang juga bersalutkan tepung. Semuanya segar-segar dan aduhai enak dan lazatnya. Hati berkata cukuplah, jangan menambah lagi, dan jangan keterlaluan. Nanti bertambah asid urik dan terlebih protin yang memudaratkan.
Aku dan suri menginap selama dua hari di sebuah resort di pesisiran Pantai Kelulut, Marang.
Masyaallah. Buka pintu sahaja sudah mengadap pantai yang hanya 100 meter sahaja. Nun, di seberang sana berbalam-balam pulau Kapas kelihatan dengan jelas dan nyata. Bunyi ombak menderu-deru dan menghempas dengan kuatnya. Sungguh, musim hujan dan tengkujuh ini menyebabkan ombak di pantai timur ini sungguh garang dan bengis sekali.
Pagi bersarapan dengan nasi Dagang Terengganu dan Nasi Minyak. Pilihan orang di sini yang bersarapan dengan makanan yang berat-berat sahaja. Nasi Minyak hanya ditemui di majlis walimatul urus sahaja jika kalian berada ditempat aku. Aku tersengih sendirian. Pulut. Nasi Kerabu. Nasi Dagang. Nasi Minyak. Hmm alahai, berlemak sahaja sarapan walaupun tidak dinafikan sungguh enak dan lazat.
Yang amat mengagumkan aku ialah hasil seni kraf Terengganu dan seni perkayuan yang masih lagi bertakhta dalam sebarang jenis binaan di sini. Singgah pula di sebuah masjid di Chendering. Sebuah masjid lama yang sedang diubahsuai benar-benar mebuatkan aku terpaku dan terpana.
Masjid berona putih suci ini benar-benar lekat dalam ingatan aku. Seni kayu yang halus dan berseni ini disapu cat putih keseluruhannya. Teknik lampu sorot yang canggih digunakan yang memberikan impak yang menarik dan tersendiri. Malah, benar - benar memberikan nuansa baru masjid yang sungguh bersih, licin, dan luas ini. Begitu juga dengan ruang dalam masjid yang dihampar dengan karpet bermotifkan seni moden dengan penggunaan kipas yang canggih, namun terserlah keunikan gabungan tradisional dan moden.
Berasa sungguh dingin dan selesa menyempurnakan ibadah di sini. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah. Namun, apakah ini tanda-tanda akhir zaman? Yang mana salah satu tandanya akan terdapat satu zaman nanti masjid-masjid dihias dengan begitu indah dan berlebih-lebih, tetapi tiada penghuni dan pemakmurnya?
Apapun, tuntas dan teguhnya di sini, dua hari yang diizinkan Allah kepada aku dan suri untuk singgah di negeri elok ini benar-benar memusatkan dan menguatkan tafsiran tentang ruang dan peluang untuk mensyukuri nikmat yang Allah berikan.
Entah bila lagi berkesempatan agaknya ya. Mengulangi memori indah ini.Terima kasih ya Allah atas kesempatan ini.
Labels: catatan hidup, kembara
tanahair kita ni memang indah, cuma masih ramai tak tahu nak appreciate....kami adik beradik dulu sempat ke T'ganu (btw bila start tukar spelling tu?) kerana ada wedding anak buah...mmg breathtaking scenery pantai, not to mention makanan yg enak2