Musim menanda kertas peperiksaan. Kertas UPSR sebanyak 250 skrip jawapan. Dari negeri seberang sana. Sebab itulah aku sepi seketika di blog ini. Mahu menulis tapi berhenti nafas seketika pabila mengenangkan jumlah skrip yang menggunung, apatah lagi kerja persekolahan masih banyak yang perlu dilunaskan. Apabila sesibuk begini, rindu sungguh untuk menulis hatta mahu mendengar lagu iringan di blog ini.
Jadinya, aku menanda kertas – kertas ini sambil mendengar iringan lagu di blog aku sendiri.
Dan, apabila kita sibuk-sibuk dengan urusan yang rencam, terfikir asyik – asyik memikirkan hal-hal dunia, amalan di negeri abadi bagaimana pula? Takkan mahu berhenti berzikir hanya memikirkan banyak kerja di sekolah dan di rumah. Jadi, setiap pagi aku bangun seawal 4 pagi untuk memastikan semuanya dapat diselesaikan. Kedua -dua urusan.
Balik ke sekolah setelah lama berkursus, dua orang anak murid datang membawa dua bungkusan cantik.
" Cikgu, ni hadiah hari jadi untuk cikgu! " kata mereka.
" Apa pulak ni. Ya Allah, Masyaallah, kamu ni " Sambil menahan malu hadapan rakan setugas yang lain di bilik guru.
Sambil dipuji oleh rakan yang lain kerana ada juga hadiah hari jadi daripada anak murid, aku mengucapkan terima kasih dengan rasa terkejut besar akan kejutan yang tidak disangka-sangka itu.
Kelmarin pula, seorang anak murid memberikan sebungkus plastik yang berisi keledek.
" Ni mak saya bagi untuk cikgu "
Ya Allah, betapa murahnya dan mudahnya rezeki yang kau berikan melalui mereka ini.
Terima kasih Ya Allah, sesungguhnya rezekiMu ada di mana-mana, pada masa-masa yang tidak aku jangkakan, dan engkau berikan melalui orang-orang yang tidak aku sangkakan.
Mengapakah selalunya aku menjadi begitu sebak dan bergetar tatkala memikirkan segala nikmat yang engkau berikan?
Labels: cikgu Jimi
Rezeki jangan ditolak, Cikgu. purrr...meow!