Friday, December 31, 2010
|
Muhasabah Jimi
|
Sana - sini orang menyebut tentang azam tahun baru. Tahun yang bakal menghamparkan liku-liku jalan yang berbeda-beda. Apakah tahun 2010 sama sahaja dengan tahun 2011? Kehilangan seseorang yang tidak mampu kita luputkan dalam ingatan. Apakah hidup kita sentiasa berseorangan kelak nanti hidup kita bakal berduaan? Apakah nilai hidup dan perspektif hidup akan berubah sejajar dengan proses kehidupan yang sentiasa berubah. Mampukah dan berdayakah kita?
Tahun baru itu hanya angka. Tahun ini dan tahun sebelumnya sama sahaja. Tiada beza. Hari, minggu dan bulan yang akhirnya menghimpun tahun. Azam dan cita itu letaknya pada usaha dan tekad untuk berubah. Berikanlah seribu tahun untuk menukilkan seribu azam, namun seandainya tidak terpasak usaha dan peluh keringat untuk menjayakannya, sia-sia sahaja ia terbang dan melayang di udara seperti lalang.
Ada orang hidup selama 70 tahun tetapi masih belum menemui 'suluh' cahaya hidupnya. Hidup selama 70 tahun membuang masa, hanya mengutip 'kerikil – kerikil' batu dan bukannya batu permata jauhari. Tetapi, ada orang hidup setahun jagung, berpuluh-puluh kali menemui suluhnya. Suluh: Kesedaran untuk berubah. Ironi bukan?
Kita lupakan azam yang agak impiana seperti mahu menguruskan badan atau impian untuk berhenti merokok, kerana bertahun-tahun tidak mempu menjayakannya. Mari kita sematkan azam-azam yang kecil tetapi impaknya bakal menguak 'jendela' baru dalam hidup kita.
~ Katakan tidak kepada tabiat membuang masa. Hormatilah waktu. Kerana waktu itu usia kita.
~ Membacalah sepanjang hidup kita. Membaca mengeluarkan mutiara - mutiara kebijaksanaan.
~ Ucapkanlah terima kasih setiap masa, dan ungkapkanlah dengan tulus ikhlas.
~ Jagalah agama kita. Manalah tahu kiranya hidup kita bakal terhenti pada tahun baru ini.
Ya Allah, Damaikanlah jiwa dan hati kita. Agar ketenangan itu sentiasa meresapi seluruh nafas dan anggota tubuh kita. Terbitkanlah bunga - bunga keinsafan dan kesedaran dalam hidup kita, agar sentiasa mekar mewangi. Suluh terangkanlah jalan-jalan yang dilalui agar mudah kita melangkah jauh ke hadapan. Tetapkanlah iman dan teguhkanlah mata hati kita agar sentiasa mampu "melihat" diri kita yang sebenar-benarnya. Amin Ya Rabbal Alamin.
Aku tinggalkan catatan ini dengan sebuah sabda nabi s.a.w. yang benar-benar menerangkan tentang azam dalam kehidupan.
" Sesiapa yang hari ini lebih bagus daripada semalam, maka dia dalam kalangan orang beruntung."
" Sesiapa yang hari ininya sama seperti semalam, maka dia dalam kalangan orang yang rugi."
" Sesiapa yang hari ininya lebih teruk daripada semalam, maka dia dalam kalangan orang yang celaka "
Labels: catatan hidup |
posted
by Jimi Wiser @ Friday, December 31, 2010

|
|
|
|
Monday, December 27, 2010
|
Berjanjilah Kita
|
Kita bakal meniti awan - gemawan yang baru. Bakal melihat bintang - gemintang yang indah pada tahun yang baru. Bakal menjejaki tapak-tapak permulaan hidup nan baharu. Biarlah kita upaya banding beza akan jejak-jejak yang lalu, dengan apa yang bakal kita jejaki dan terokai. Tepiskanlah semua lalang syaitan dan nafsu buat sekian kalinya.
Biarlah kerja kita untuk diriNya yang abadi.
Biarlah semua atas nama kasih dan cinta yang tulus kepadaNya.
Kita mungkin tidak punyai "apa-apa " dalam definisi mata dunia.
Tetapi, percayalah kita masih punyai hidayah yang utuh. Berdoalah, agar ia kekal hingga hingga ke akhir nyawa kita. Aku memohon padamu Ya Allah, tetapkanlah mata hatiku dan ampunilah segala dosaku.
Apapun pekerjaan dan amalan hidup kita, berjanjilah pada diri sendiri , bahawa kita tidak akan jadi seperti ini.
Labels: sedih |
posted
by Jimi Wiser @ Monday, December 27, 2010

|
|
|
|
Sunday, December 19, 2010
|
Laman Rumah Jimi
|
Sewaktu mendiami di rumah sewa dahulu, aku selalu melewati kawasan taman perumahan ini. Berulang alik, aku dan suri ketika itu melalui jalan ini. Pagi, sebelum 6.45 pagi lagi aku sudah menghantar suri di sekolahnya, dan sampai ke sekolah aku pula lebih kurang jam 7 pagi. Kadangkala, balik ke rumah jam 4 petang, jam 3 petang atau jam 12.00 tengah hari. Semuanya bergantung kepada hari jika ada kelas tambahan, mesyuarat, hari latihan ko-kurikulum dan hari Jumaat.
Satu hari, terpampang sebuah papan iklan yang ditulis " House For Sale". Rumah sebuah dengan tanah di sekelilingnya yang luas itu sangat mencuri perhatian kami. Apatah lagi, duduk letaknya di hujung jalan. Tanah yang luas sangat aku idamkan selama ini, memandangkan impian untuk mempunyai lanskap hijau yang luas.
Nyatanya, dengan izin Allah, setelah berusaha memilikinya dengan pelbagai cara, berkongsi pendapatan rumah ini jadi milik kami juga akhirnya. Dengan sedikit wang simpanan yang ada, aku usahakan mana yang mampu, menambah baik seperti bumbungnya yang telah bocor. Memasang lampu dan kipas dan selebihnya menambak simen di belakang dapur sesuai untuk jemuran kain di ampaian.
Paling aku suka tentang rumah ini, hadapan rumahku di sebelah tenggara, jelas kelihatan banjaran gunung yang tinggi dan sayup mata memandangnya. Serasa sangat bertuah dapat menikmati pandangan ini dengan jelas. Namun, sungguhpun baru empat bulan mendiami rumah ini, pemandangan gunung separuhnya telah dihadang oleh rumah-rumah baru lain yang telah siap dibina. Aduhai, bisikku dalam hati.
Sisi sebelah kiri rumah kami namakannya Kebun Herba. Kami tanamkan pokok serai, tomato, cili, pandan, daun kari dan kunyit. Sayur Kailan sudah habis dipungut Suri dan dimasak tumis bersama ikan masin tempoh hari. Tomatonya sudah banyak berbuah, tetapi hanya aku yang suka meratahnya tanpa dimasak. Kami mencuba untuk menanam apa yang jadi. Mana tahu tanahnya rasi dengan tumbuhan yang pelbagai.
Ada benih daun yang sudah mulai mencambah. Kata Suri bunganya akan berwarna ungu, sengaja ditanam untuk mendapatkan bunganya. Sebagai pewarna alami untuk dimasukkan dalam menanak nasi kerabu menjadi ungu. Ya, nasi kerabu memang kegemaran aku.
Cuti panjang begini memang menyeronokkan melakukan aktiviti berkebun. Alangkah bahagianya, sesudah subuh lagi, aku sudah mencangkul rumput-rumput, menggemburkan tanah dan menyiramkan air. Daniau pun ada yang turut menyibuk sama. Dalam hati selalu berdetik, membisikkan rasa kesyukuran, aku mungkin tidak kaya tapi alhamdulillah, Allah izinkan aku bahagia dengan cara sederhana. Terima kasih tuhanku, ya Allah. " MAKA, NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH INGIN KAMU DUSTAKAN " Labels: cikgu Jimi |
posted
by Jimi Wiser @ Sunday, December 19, 2010

|
|
|
|
Tuesday, December 07, 2010
|
Terima Kasih
|
Foto ini dirakam Julai lalu, oleh seseorang ketika aku sibuk menurunkan jenazah abah turun ke liang lahad. Satu pengalaman sulung dan ulung yang tidak dapat diungkapkan dengan kata - kata mahupun mampu diceritakan kepada manusia secara lisannya.
Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan semuanya. Allah berikan aku dan adik beradik lain peluang menjaga abah ketika saat sakitnya. Allah melapangkan dadaku agar memohon ampun dan maaf daripada Abah. Allah memilih dan mentakdirkan aku dan Suri menjadi orang yang terakhir saat abah menghembuskan nafas akhirnya. Allah berikan kudrat untuk aku menolong memandikan abah buat kali terakhir. Allah berikan lagi peluang aku menaiki van jenazah dan turun ke dasar tanah lahad itu lalu memakamkan abah.
Alhamdulillah, tadi Allah berikan ruang sekali lagi aku untuk berbakti, menyempurnakan binaan pusara abah petang itu. Terima kasih kepada mu Ya Allah. Terima kasih tidak terhingga.
" Yang, kita baca dulu ayat-ayat suci sebentar sebelum pulang ya " kataku kepada Suri usai pusara disempurnakan binaannya.Usai membaca, aku mengambil sepohon pokok lalu Suri menanam di nesan.
Ya Allah, ampunilah segala dosa abahku, dan tempatkanlah abah di sisi orang yang beramal salih..Amin. Mudah-mudahan.
Labels: laments |
posted
by Jimi Wiser @ Tuesday, December 07, 2010

|
|
|
|
Saturday, December 04, 2010
|
Dia Yang Kukenal
|
Dia ialah sahabatku ketika di kampus dahulu. Seorang yang ramah dan tulus hatinya. Malu dan rendah diri pun ada saat berkawan dengannya. Manakan tidak, dia seorang yang sungguh pandai dan bijaksana ketika zaman belajar dahulu, pernah dilantik sebagai Presiden Pelajar Undang-Undang di Universiti - Universiti Asia Tenggara, malah pernah juga masuk bertanding dalam pilhanraya kampus. Bukan sahaja bahasa Inggeris, malah bahasa Perancis pun boleh dituturkannya . Kami graduasi dengan menyaksikan dia dinobatkan Anugerah Diraja waktu itu. Dan, dengan bangganya dia menyampaikan ucapan pelajar dalam majlis konvokasi ketika itu.
Sungguh mudah untuk menyenanginya dan menyukainya sebagai seorang kawan dan sahabat. Seorang kawan yang ringkas, mudah, malah sangat sederhana. Dari dahulu lagi, orangnya sungguh berinspirasi dan bermotivasi. Mungkin kerana itulah kami boleh bersahabat, kerana aku selalu berkongsikan filem-filem berinspirasi yang menjadikan kami sentiasa bertukar-tukar fikiran. Keyakinan dirinya sangat tinggi, malah setiap patah ucapannya yang baik-baik belaka .
Ketika tamat graduasi dahulu, dia pernah memenangi hadiah utama sebuah kuiz yang disiarkan di tv1. Dia menjadi juara rancangan kuiz minda yang disiarkan setiap minggu. Hadiahnya ialah sebuah kereta. Menariknya, hadiah itu dijualnya lalu duitnya dijadikan modal untuk membuka firma guaman bersama teman rapatnya di Pulau Pinang. Begitulah dia, 9 tahun yang lalu. Dan kini, dia sudah pun mempunyai 4 buah cawangan firma guaman beliau di sekitar Pulau Pinang dan Seberang Prai. Malah, dia kini merancang pula untuk membuka sebuah lagi firma guaman di Pantai Timur.
Rasa ironi dan aneh, seorang yang sangat berjaya sebegitu boleh menjadi sahabat aku, yang hanyalah seorang guru biasa. Tidak dapat aku tepiskan rasa rendah diri itu.
Kedatangan aku dan suri ke rumahnya di Pulau Pinang telah lama dirancang. Apatah lagi, kali terakhir bertemu ialah waktu perkahwinan aku. Dia dan isteri bersama ibu dan ayahnya sanggup datang dari jauh. Atas rasa bersalah kerana tidak dapat melayannya sepenuhnya dulu (tetamu terlalu ramai ketika itu), maka perjumpaan kali ini sangat aku tunggu-tunggu.
" Kau tahu Jimi, aku sangat sibuk. Uruskan kerja-kerja aku. Sampai satu masa aku terfikir. Aku nak buat satu ‘benda’ untuk masyarakat. Aku rasakan masih ada kepuasan yang belum aku lakukan lagi. Jadi kau tahu tak aku buat apa? " Dia bercerita panjang dan menyoal kepada aku.
" Apa dia? Aku tak pandailah nak meneka ni."
" Hmm aku dah buka sebuah tadika kanak-kanak " Jawabnya selamba.
" Aku memang dah lama sukakan kanak-kanak. Diorang buat aku bahagia, Aku yang menguruskan semuanya. Cari guru-guru yang berpotensi. Buat kurikulum sendiri. Rancang program tahunan. Malah, budak-budak yang comel tu dah panggil aku Abi tau " Dia terus bercerita panjang lebar, dengan seronoknya.
Sudah setahun rupanya dia menjadi pengetua dan pemegang modal terbesar tadika kanak-kanak itu. Dalamnya, diterapkan keutamaan bahasa Inggeris dan nilai-nilai akhlak Islam yang terpuji. Hampir setiap hari, selepas pulang dari kerja pasti dia akan singgah memantau dan memerhatikan perjalanan tadika yang diuruskannya itu.
Aku mungkin terkejut sedikit dengan ceritanya itu. Tentang pilihan itu. Mengapa, fikirku . Namun, ya, aku tidak hairan kerana dia yang kukenali sememangnya begitu. Sentiasa berfikir di luar kotak kebiasaan. Kejayaan dan kekayaan yang streotaip dalam kalangan masyarakat, pada dirinya agak beda dengan takrif kejayaan dan kekayaan. Itulah dia.
" Aku masih menyewa. Aku tak beli rumah pun. Aku pilih rumah ni sebab hampir dengan rumah mak ayah aku. Senang nak tengok dan ziarah mak aku. Macam ni lah aku. Mana mampu beli rumah lagi " Dia menjelaskan kepadaku kenapa masih menyewa dan merendah diri sekali lagi.
Yalah. Sangkaku, setelah 4 firma guaman dibuka dengan sebuah tadika kanak-kanak yang diusahakannya. Ya. Sangkaku rumah bernilai setengah juta seperti orang lain. Tapi, ya, dia memang lain.
Dia memang mengagumkan. Sebuah inspirasi.
Perabot tv di ruang tamu itu memang aku kenal. Perabot dari rumah emaknya yang biasa aku kunjungi dahulu. Sederhana susun aturnya. Sebuah bakul rotan yang dipenuhi dengan buku-buku motivasi. Penuh tanpa disusun kemas. Ya, dia dan buku-bukunya dari zaman kampus lagi.
Mohon izin daripadanya untuk menumpang solat.
Memasuki ke bilik air, hati aku tersenyum riang melihat susun aturnya. Aku tersenyum lagi melihat poster-poster inpirasi, kata-kata bijaksana yang dikumpulkan dan ditampalkan merata-rata. Dalam bilik air, bilik solat malah di mana-mana.
Itulah dia. Kawanku yang sebetulnya seorang yang beda prinsip hidupnya. Mengenalinya, telah mengajari aku betapa indahnya nilai hidup yang bersederhana tetapi kaya dan tulus hatinya. Inilah yang dinamakan pendidikan murabbi. Inilah makna kejayaan pendidikan . Makna hidup yang sebenar. Bersyukur dengan nikmat tetapi tidak melewah-lewahkan nikmat dengan sikap keangkuhan.
Wan, aku kagum dengan engkau. Moga engkau dan isteri diberkati hidup di dunia dan akhirat. Amin.
Bilik air dia Labels: laments |
posted
by Jimi Wiser @ Saturday, December 04, 2010

|
|
|
|
Thursday, December 02, 2010
|
Nikmat Kenangan
|
Pengembaraan ke daerah utara Perak adalah antara tentatif percutian aku kali ini. Tersimpan niat di hati, lama dahulu, sebelum berkahwin, hajat mahu membawa suri bersama-sama. Mengapa? Kerana di tanah inilah aku menjadi anak remaja berdikari, jauh dari keluarga. Belajar tentang ilmu hidup dan makrifat. Dan, kali ini aku mahu berkongsi kenangan bersama Suri. Akan kuceritakan serba sedikit kisah pencarian aku dalam menuntut ilmu.
Aku temukan Suri tempat aku selalu berlepak menghilangkan penat dahulu. Sebelahnya negeri Kedah dan di seberang sini Perak, kataku kepada Suri. Suri tercengang kehairanan. Lihatlah bangunan-bangunan lama itu, masih utuh. Bukankah ia begitu klasik ? Percaya tidak, abang selalu membaca buku di sini tau. Kataku kepada suri.
Menempah bilik di Taiping Golf Resort, sungguh tidak disangka lama dahulu daerah Kamunting ini hanya ada sebuah Sekolah Menengah Teknik dan penjara ISA yang mahsyur itu. Kini, aku berada dalam sebuah bilik yang mengadap kehijauan dan kerimbunan. Mata begitu teguh dan utuh menatap seluas jauh pandangan sehingga lewat petang.
Orang kata, jangan lupa singgah makan mi udang di Kuala Sepetang. Belum pernah kucuba. Enak sangatkah? Tetapi, apa salahnya kalau mahu mencuba. Hasilnya, sedap juga. Melainkan kalau kalian yang sangat meminati udang pasti inilah makanan “syurga “ kalian. Sedangkan aku, biasa -biasa sahaja. “ die- die must try, kata seseorang dalam Makansutra "
Memasuki simpang masuk ke jalan sekolah aku, serasa seluruh jiwa raga kembali kepada kehidupan aku yang kurus kering itu. Dengan berbasikal jauh , menyewa pula di rumah orang. Hidup bersendirian melangsungkan pembelajaran yang kadangkala tersekat-sekat. Namun, demi nama sebuah perjuangan. Aku tekadkan semangat kala itu. Pemandangan dalam gambar ini cukup aku rindukan. Pohon nyiur yang melintuk - riuk. Kocakan air di tali air yang sungguh tenang riaknya. Kadangkala, terlihat makcik atau pakcik leka memancing menghabiskan waktu senggang mereka. Ya, sangat aku rindukan kerana inilah pemandangan aku kala waktu pagi menuju ke sekolah dan pulang lewat petang dari kelas tambahan di sekolah.
Maka, kini , tersergam bangunan demi bangunan. Inilah sekolahku
" Inilah sekolah abang yang terakhir. Abang habiskan masa tingkatan 4 dan 5 di sini. Waktu dulu, tiada lagi bangunan besar-besar di belakang tu. Tau tak, luar tingkap masa tu sawah padi je mamanjang sampai ke hujung. Seronoknya waktu tengok bila menghijau atau menguning. Tapi, abang tak duduk di asrama. Abang menyewa di rumah orang. Nanti abang tunjukkan rumahnya. Abang berbasikal setiap hari ke sekolah. "
" Itulah masjid yang abang solat Jumaat setiap minggu. Abang ingat sampai sekarang, setiap kali Jumaat abang pohon betul-betul daripada Allah agar dilimpahi kejayaan selalu , ya, dalam masjid tu "
" Yang nak tahu, abang jadi Best Student SPM masa tu. Ya Allah, rasa terharu sangat. Masa tu, seorang guru bahasa Inggeris abang, Sir Mazlan, tarik tangan abang suruh masuk ke kelas Tingkatan 5 tahun itu, dia suruh abang berucap, untuk menyampaikan motivasi dan tips-tips berjaya…"
" Abang masih ingat waktu tu, dia cakap abang ni Intan Permata kat sekolah yang telah digilap, menitis air mata waktu tu, dipuji oleh cikgu, mana dia sekarang ehh, rasa rindu nak tengok sir mazlan , lepas tu dia cakap kejayaan abang membanggakan sekolah, rekod yang terbaik di daerah Kerian, Perak. " Begitulah bersungguhnya aku berceritera tentang riwayat dan kisah - kisah lama aku kepada suriku. Kalaulah ada alat perakam waktu dan masa, boleh aku memimpin tangan suri masuk ke alam waktu itu, alam persekolahanku, menyaksikan kehidupanku.
( aku dan teman-teman persekolahanku boleh dilihat di foto di sini ) Labels: cikgu Jimi, laments |
posted
by Jimi Wiser @ Thursday, December 02, 2010

|
|
|
|
|
|
|
|
Bagaimana
mahu merungkai JIMI?. Pada DNA nya, kelakuannya, sifat mazmumah
atau mahmudahnya?. Mungkinkah JIMI itu sebuah ciptaan, atau
persepsi bagi sebuah realiti? Jujurkah atau hipokritkah JIMI,
tetapi bukankah semuanya begitu?. Mari mendalami JIMI..
:: Mengapa
Jimi menulis?
:: Di
sebalik wajah
|
 |
Skrip
Kehidupan
Anak
Kilang
Muhasabah
Jimi
Laman
Rumah Jimi
Terima
Kasih
Nikmat
Kenangan
Nikmat
Kejayaan
Nikmat
Tangisan
Puasa
dan Kesibukan
Cuti
- Cuti Cikgu Jimi
Pergi
Dulu
Erti
Lelah dan Keikhlasan
Seputar
Kehidupan
Rayuanmu
Musim
Berkurung
Cakar
Kucing
Buku
Raya
Anekdot
Ramadhan dan Syawal
Anak-Anak
dan Mercun Raya
Nikmat
dan Rezeki
Kembali
Sebuah
Alegori Buat Abah
Abah
Telah Pergi
Rindu
Buah
Cinta
Terima
Kasih Hafira
Hadiah
Hari Guru 2010
Selamat
Hari Guru
Rasa
Itu
Racau
Tangan
Jahat
Hujan
Panas
Cetusan
Hati
Ayah
oh Ayah
Melayu
Yang Layu
Dicerap
Teman-Teman
Ibu
Mendobi
Baju
Berlari
Terima
Kasih, Suri. Selamat Bertugas
Akhir
2009
Dunia
Buku Jimi
Cuti
Sekolah Cikgu Jimi
Terima
Kasih Pembaca
Hidup
Untuk Memberi
Janji
Cikgu Jimi
Ayah
dan Ibu III
Ayah
dan Ibu II
Ayah
dan Ibu
Teruskan
Berdoa
Jutawan
Virus
M
Sang
Rasa
Bencana
Makanan
Mendidik
Puasa
Pen
Hadiah Cikgu Jimi
Nasi
Lemak Best Giler
Harapan
25 September
Baju
Raya
Macam
Mana, Cikgu?
Wajah
- wajah UPSR
Alhamdulillah
Kerja
Sekolah, Cuti Sekolah
Tahniah,
Madihah
Virus
dan Stress
Generasi
2009
Cikgu
Jimi dan Bahasa
Van
Hijau Itu
Kejantanan
Yang
Terbaik
Lepat
Pisang Amirul
Belated
Hari Guru
Demi
Azmil III
Demi
Azmil II
Demi
Azmil I
Mudah-Mudahan
Warna-Warna
Alam
Cikgu
Siti
Terima
Kasih Kembali,
Shahril
oh Shahril
Terima
Kasih
Hamba
yang Lemah
Berkirim
Salam
Ingat
Tak Lagi Cikgu?
Kekentalan
Jiwa
Hari
Pertama
Hari
Terakhir
Lepaskan
Aku ke Laut
Debaran
yang Kencang
Soal
Selidik Cikgu Jimi
Guru
Biasa, Guru Murabbi
Nasib
Guru-guruku
Kad
Raya Hanim
Salam
Alifi
Misi
Gigi
Pasca
UPSR
Raya
Lagi
Selamat
Semuanya
Laskar
Pelangi
Duit
Raya
Agen
Perubahan Sosial
Anyway
Cikgu
Bukan Sekadar Cikgu
Azmil
Kehilangan
Shuhaida
Kamala
Melankolia
Lagi
Memoir
Seorang Guru
Tunai
tetap ditunaikan
Berbuih-buih
Choral
Speaking Bermadu
Kak
Imah
Anak
Kampung
Masih
Berbaloikah Lagi?
Surat
Cinta Monyet
Tunai
Janji
Meja
Cikgu Jimi
Cikgu
Jimi
Terima
Kasih
Menunggu
dan Menanti
Hari
Guru Bahagian 3
Hari
Guru Bahagian 2
Hari
Guru Bahagian 1
Teman
Sejati
Kelas
Antonim
I
am Staying Put
Tinta
Merah Cikgu Jimi
Hadi
Haziq
Jerayawara
Sufiyah
oh Sufiyah
Hadiah
Buku
Destinasi
Tugas
Kain
Pelikat
Cuti
Sekolah
Nikmat
Kesyukuran
Hafiz
Khairil
Carpediem
Just
Go and Fly Kite lah!
Perempuan
Melayu Terakhir
Jimi
di Pangkor
Hamimah
Cerita
Hantu
Cinta
Monyet
Puisi
Anak Kecil
Anak
Kecil Beraya
Anak
Bangsaku Malaysia
Aku
Yang Dihina
Duri
Berduri
Bad
Teachers 1
Bad
Teachers 2
Cikgu
Jimi 1
Cikgu
Jimi 2
Kembaraan
Harianku
Tunjuk
Ajarku, Sifu
Guru
Ibarat Lilin
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|