Pengembaraan ke daerah utara Perak adalah antara tentatif percutian aku kali ini. Tersimpan niat di hati, lama dahulu, sebelum berkahwin, hajat mahu membawa suri bersama-sama. Mengapa? Kerana di tanah inilah aku menjadi anak remaja berdikari, jauh dari keluarga. Belajar tentang ilmu hidup dan makrifat. Dan, kali ini aku mahu berkongsi kenangan bersama Suri. Akan kuceritakan serba sedikit kisah pencarian aku dalam menuntut ilmu.
Aku temukan Suri tempat aku selalu berlepak menghilangkan penat dahulu. Sebelahnya negeri Kedah dan di seberang sini Perak, kataku kepada Suri. Suri tercengang kehairanan. Lihatlah bangunan-bangunan lama itu, masih utuh. Bukankah ia begitu klasik ? Percaya tidak, abang selalu membaca buku di sini tau. Kataku kepada suri.
Menempah bilik di Taiping Golf Resort, sungguh tidak disangka lama dahulu daerah Kamunting ini hanya ada sebuah Sekolah Menengah Teknik dan penjara ISA yang mahsyur itu. Kini, aku berada dalam sebuah bilik yang mengadap kehijauan dan kerimbunan. Mata begitu teguh dan utuh menatap seluas jauh pandangan sehingga lewat petang.
Orang kata, jangan lupa singgah makan mi udang di Kuala Sepetang. Belum pernah kucuba. Enak sangatkah? Tetapi, apa salahnya kalau mahu mencuba. Hasilnya, sedap juga. Melainkan kalau kalian yang sangat meminati udang pasti inilah makanan “syurga “ kalian. Sedangkan aku, biasa -biasa sahaja. “ die- die must try, kata seseorang dalam Makansutra "
Memasuki simpang masuk ke jalan sekolah aku, serasa seluruh jiwa raga kembali kepada kehidupan aku yang kurus kering itu. Dengan berbasikal jauh , menyewa pula di rumah orang. Hidup bersendirian melangsungkan pembelajaran yang kadangkala tersekat-sekat. Namun, demi nama sebuah perjuangan. Aku tekadkan semangat kala itu.
Pemandangan dalam gambar ini cukup aku rindukan. Pohon nyiur yang melintuk - riuk. Kocakan air di tali air yang sungguh tenang riaknya. Kadangkala, terlihat makcik atau pakcik leka memancing menghabiskan waktu senggang mereka. Ya, sangat aku rindukan kerana inilah pemandangan aku kala waktu pagi menuju ke sekolah dan pulang lewat petang dari kelas tambahan di sekolah.
Maka, kini , tersergam bangunan demi bangunan. Inilah sekolahku
" Inilah sekolah abang yang terakhir. Abang habiskan masa tingkatan 4 dan 5 di sini. Waktu dulu, tiada lagi bangunan besar-besar di belakang tu. Tau tak, luar tingkap masa tu sawah padi je mamanjang sampai ke hujung. Seronoknya waktu tengok bila menghijau atau menguning. Tapi, abang tak duduk di asrama. Abang menyewa di rumah orang. Nanti abang tunjukkan rumahnya. Abang berbasikal setiap hari ke sekolah. "
" Itulah masjid yang abang solat Jumaat setiap minggu. Abang ingat sampai sekarang, setiap kali Jumaat abang pohon betul-betul daripada Allah agar dilimpahi kejayaan selalu , ya, dalam masjid tu "
" Yang nak tahu, abang jadi Best Student SPM masa tu. Ya Allah, rasa terharu sangat. Masa tu, seorang guru bahasa Inggeris abang, Sir Mazlan, tarik tangan abang suruh masuk ke kelas Tingkatan 5 tahun itu, dia suruh abang berucap, untuk menyampaikan motivasi dan tips-tips berjaya…"
" Abang masih ingat waktu tu, dia cakap abang ni Intan Permata kat sekolah yang telah digilap, menitis air mata waktu tu, dipuji oleh cikgu, mana dia sekarang ehh, rasa rindu nak tengok sir mazlan , lepas tu dia cakap kejayaan abang membanggakan sekolah, rekod yang terbaik di daerah Kerian, Perak. "
Begitulah bersungguhnya aku berceritera tentang riwayat dan kisah - kisah lama aku kepada suriku. Kalaulah ada alat perakam waktu dan masa, boleh aku memimpin tangan suri masuk ke alam waktu itu, alam persekolahanku, menyaksikan kehidupanku.
( aku dan teman-teman persekolahanku boleh dilihat di foto di sini ) Labels: cikgu Jimi, laments
terima kasih jimi, berkongsi cerita dng kita semua. rumah yang jimi sewa dulu masih ada ke??
btw, yg no.11 tu handsome lah ;)