Sewaktu mendiami di rumah sewa dahulu, aku selalu melewati kawasan taman perumahan ini. Berulang alik, aku dan suri ketika itu melalui jalan ini. Pagi, sebelum 6.45 pagi lagi aku sudah menghantar suri di sekolahnya, dan sampai ke sekolah aku pula lebih kurang jam 7 pagi. Kadangkala, balik ke rumah jam 4 petang, jam 3 petang atau jam 12.00 tengah hari. Semuanya bergantung kepada hari jika ada kelas tambahan, mesyuarat, hari latihan ko-kurikulum dan hari Jumaat.
Satu hari, terpampang sebuah papan iklan yang ditulis " House For Sale". Rumah sebuah dengan tanah di sekelilingnya yang luas itu sangat mencuri perhatian kami. Apatah lagi, duduk letaknya di hujung jalan. Tanah yang luas sangat aku idamkan selama ini, memandangkan impian untuk mempunyai lanskap hijau yang luas.
Nyatanya, dengan izin Allah, setelah berusaha memilikinya dengan pelbagai cara, berkongsi pendapatan rumah ini jadi milik kami juga akhirnya. Dengan sedikit wang simpanan yang ada, aku usahakan mana yang mampu, menambah baik seperti bumbungnya yang telah bocor. Memasang lampu dan kipas dan selebihnya menambak simen di belakang dapur sesuai untuk jemuran kain di ampaian.
Paling aku suka tentang rumah ini, hadapan rumahku di sebelah tenggara, jelas kelihatan banjaran gunung yang tinggi dan sayup mata memandangnya. Serasa sangat bertuah dapat menikmati pandangan ini dengan jelas. Namun, sungguhpun baru empat bulan mendiami rumah ini, pemandangan gunung separuhnya telah dihadang oleh rumah-rumah baru lain yang telah siap dibina. Aduhai, bisikku dalam hati.
Sisi sebelah kiri rumah kami namakannya Kebun Herba. Kami tanamkan pokok serai, tomato, cili, pandan, daun kari dan kunyit. Sayur Kailan sudah habis dipungut Suri dan dimasak tumis bersama ikan masin tempoh hari. Tomatonya sudah banyak berbuah, tetapi hanya aku yang suka meratahnya tanpa dimasak. Kami mencuba untuk menanam apa yang jadi. Mana tahu tanahnya rasi dengan tumbuhan yang pelbagai.
Ada benih daun yang sudah mulai mencambah. Kata Suri bunganya akan berwarna ungu, sengaja ditanam untuk mendapatkan bunganya. Sebagai pewarna alami untuk dimasukkan dalam menanak nasi kerabu menjadi ungu. Ya, nasi kerabu memang kegemaran aku.
Cuti panjang begini memang menyeronokkan melakukan aktiviti berkebun. Alangkah bahagianya, sesudah subuh lagi, aku sudah mencangkul rumput-rumput, menggemburkan tanah dan menyiramkan air. Daniau pun ada yang turut menyibuk sama. Dalam hati selalu berdetik, membisikkan rasa kesyukuran, aku mungkin tidak kaya tapi alhamdulillah, Allah izinkan aku bahagia dengan cara sederhana. Terima kasih tuhanku, ya Allah.
" MAKA, NIKMAT TUHAN YANG MANAKAH INGIN KAMU DUSTAKAN "
Labels: cikgu Jimi
argh....mengapa waktu2 dinihari macam ni baru terjengah ke blog Cikgu Jimi yg sarat cerita dan rasa. semoga ada ruang yang luang untuk terus membaca coretan yang begitu menarik ini. salam ukhwah