Allah taala telah mengurniakan banyak nikmatNya kepada aku. Salah satunya ialah nikmat sihat sebelum sakit. Usai sahaja tamat musim persekolahan tahun 2010 ini, aku telah jatuh sakit. Panas dan sejuk. Bertukar ganti. Menggigil keseluruhan badan. Anak tekak membengkak dan tonsil pula muncul. Seluruh badan rasa begitu sengal dan lemah.
Suri berkata, membisikkan nasihat hikmahnya
" Allah bagi peluang abang berehat. Duduk rumah diam-diam. Kalau tidak macam-macam abang buat. Laju buat kerja sana- sini. "
Aku hanya mampu mendengar kata- kata itu. Benarlah bagai dikata, dengan pelbagai program dan kerja yang perlu dibereskan, seperti menganjurkan rombongan ke pantai Timur, Majlis Hari Anugerah dengan raptai penuh berhari-hari, majlis pengumuman keputusan UPSR dan pada akhirnya, setelah bermulanya waktu musim cuti persekolahan, aku tumbang dan jatuh sakit.
Kali terakhir aku sakit adalah pertengahan tahun lalu, bermakna sudah lama sakit tidak menjenguk diriku. Mujurlah saat ketika menjaga abah yang sakit aku tidak jatuh sakit meskipun banyak tugas dan beban kerja yang dilakukan. Mujurlah waktu berhempas pulas mengajar anak-anak aku, aku tidak jatuh sakit, bolehlah diteruskan latihan intensif sampai ke tarikh akhir. Malam waktu hujan lebat pernah datang ke sekolah mengajar kelas tambahan waktu malam. Selepas sahaja berbuka puasa, terus sahaja ke sekolah. Mujurlah aku sihat waktu itu.
Ya, benar kata Suri. Allah mahu aku berehat seketika. Mahu aku insaf akan nikmat sihat sebelum sakit. Tiba- tiba, ingatan aku menjangkau kepada kenangan menjaga abah yang sakit dahulu. Teringat bagaimana abah menderita sakit tidak mampu bangun sendirian, perlu dipapah, perlu dibasuh najisnya oleh anak-anaknya.
Lantaran itu, tidak semena-mena, aku jadi tidak keruan. Air mata mengalir laju. Menangis tersedu-sedu, kepiluan dan rindu. Dalam hati berdoa, " Ya Allah, aku mensyukuri nikmatmu, terima kasih kerana membenarkan aku merasai bagaimana rasanya menjadi orang yang sakit, meskipun tidak sama dengan abah aku dulu "
Suri kehairanan, memerhatikan aku yang menangis penuh hiba seperti anak kecil. Pada aku, dalam hati yang jauh itu, nikmat itu sesungguhnya hanya dapat kita hargainya apabila kita telah kehilangannya. Ironi bukan?
Labels: cikgu Jimi, laments
ada benarnya kata suri tu.. get well soon cikgu..!