Saat - saat akhir menutup tirai kalender persekolahan 2010 ini, kami isikan dengan lawatan. Atau dalam bahasa indahnya, " Rombongan Cik Kiah ke Pantai Timur ". Asalnya aku mahu membawa Suri sekali bersama aku, namun pada saat akhir keseorangan juga.
" Cikgu Jimi mesti pergi, kalau tak pergi, budak-budak susah nak dikawal. Kalau ada cikgu, cikgu berdiri pun tak payah bercakap pun, budak-budak terus diam " kata seorang cikgu yang merangkap Ketua Rombongan.
Kali ini ada rasa teruja di hati, apatah lagi sudah lama tidak menjejak kaki di tanah negeri Terengganu, atau moleknya negeri itu seperti dalam buku Growing Up in Trengganu, nukilan Awang Goneng.
Menyaksikan telatah dan keletah anak-anak berfoya-foya tanpa ditemani ibu bapa mereka sendiri, mencuit hati dan melucukan. Kadangkala rasa menyampah kerana "gedik" yang terlampau. Tetapi, sebenarnya rasa seronok dapat bersiar-siar dengan mereka, meleraikan segala keletihan belajar di sekolah dan berkongsi gelak dan tawa sesama mereka.
Ada yang muntah satu karung plastik kerana pening menyusuri jalan Grik - Jeli. Ada yang lagaknya bagaikan mak-mak datin dengan gaya fesyen ikut-ikutan, seperti kasut tumit tinggi yang tidak sesuai menyebabkan kaki jadi liut dan penyek. Ada juga yang menjadikan belakang bas sebagai konsert percuma, cumanya lagu-lagunya agak janggal dan tidak biasa aku dengar. Lagu-lagu sekarang. Nampak sangat aku sudah mencapai usia tua.
Paling menyeronokkan dan mendebarkan hati ialah menyusuri jalan Rantau Panjang, banjir masih lagi kelihatan di sepanjang jalan. Apa lagi, semuanya ghairah dan teruja. Maklumlah, di kampung mereka belum lagi mengalami banjir. Sibuk merakam suasana di situ.
" Ha, itu pak we Anisah lah tu. Tak sedar diri pakai seluar pendek, main air kotor " Aku bergurau dengan salah seorang anak murid sambil menunjukkan seorang anak remaja yang sedang bermain air.
Tersipu-sipu malu. " Mana ada cikgu, tak mainlah. Saya rela terjun gaung " katanya pintas membidas. Semua yang ada ketawa bersama-sama.
Aktiviti makan-makan tidak pernah selesai. Macam-macam yang dibeli. Sudahnya, destinasi yang terakhir tiada apa yang boleh dibeli kerana kehabisan wang poket. Cikgu perempuan sudah membebel kerana anak-anak tidak mahu mendengar kata.
" Sudah solat? " Ustaz bertanya. " Kalau tak solat kami tinggalkan kamu di tengah jalan ni " Ustaz menggertak manja. Semua mengangguk kepenatan. Tetapi, Alhamdulillah mereka telah mempelajari solat jamak yang dihimpunkan dua solat waktu.
Perjalanan pulang pula, aku pula yang pening-pening dan " mabuk bas". Tetapi tetap seronok. Tahun depan ke mana pula? Langkawi? Mudah-mudahan dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dapat bersama mereka lagi.
Labels: cikgu Jimi
berapa hari cuti? teringat zaman sekolah akak dulu...school trips, (how I love them) satu2 nya cara dapat menjimatkan belanja utk bercuti, pada masa yang sama dapat melawat ke tempat2 yang tak mungkin dapat kita masuk kalau pergi secara sendirian...