Air Mata Imam
Tahun lalu, ketika khutbah Hari Raya AidilFitri di tempatku, Imamnya sebak apabila membicarakan tentang keampunan dan kemaafan pada Hari Raya. Bayangkanlah, imam itu menghentikan seketika bacaan khutbahnya apabila meminta para makmum agar memohon keampunan dan kemaafan daripada ibubapa jika masih hidup lagi. Air mata Imam turun dengan lajunya.
Entah mengapa, pada ketika aku begitu sebak sampai menitiskan air mata menuruti air mata yang turun beberapa para makmum yang lain. Barangkali, aku memohon andai diberikan ruang dan waktu, aku dapat menyemai semula hubungan aku dengan abah. Itulah doa aku ketika itu.
Dan, Hari Raya tahun ini, tiada lagi abah kerana abah sudah pergi ke negeri Abadi pada 3 Julai lalu. Ironinya, aku seperti merasakan Abah tetap ada di sisiku. Apatah lagi, selama 6 bulan abah sakit di sisi aku dan surilah yang melayan segala kemahuan dan rintihannya. Ya, mohonlah keampuan dan kemaafan bagi mereka yang masih hidup lagi.
Suri dan Pastrinya
" Tangan Yang kan ada 8 tangan, semua nak buat, kek, biskut lah. Nak jahit langsirlah " Aku menyindir suri kerana sibuk membakar kuih raya dan kek untuk dibawa pulang. Untuk mak aku, untuk mak Suri. Untuk yang lain - lain dalam senarai. Malah, jiran sebelah rumah yang berbangsa India pun ada untuknya!
Tak cukup dengan Kek Buah, Prun dan Kek Marble, katanya mahu membakar kek Chocolate Indulgance pula di kampung nanti. Tak cukup dengan itu, langsir pertama di rumah baru aku pun mahu dijahitnya. Sudahnya boleh pengsan.
Satu sudut nilai yang aku pelajari daripada hidup Suri ialah hidupnya untuk memberi. Memberi dengan penuh kasih sayang. Tanpa meminta dibalas. Dan, kerana itulah sejak hidup bersama Suri, rezeki semakin murah.
Alhamdulillah.
Sakit Perut Hari Raya
Tahun lalu, entah mengapa akibat kerakusan makan kuih raya di kampung Suri, dan rumah paman dan wak suri yang berderet-deret. Perut memulas sampai berpuluh-puluh kali ke bilik comel. Sakitnya aduh, memulas-mulas.
Mak Suri disindir oleh abang ipar aku kerana begitu risaukan menantu barunya (aku), sedangkan ada menantu lain yang sakit perut tidak diendahkannya. Aku senyum sahaja. Tekad dan azam tahun ini, jaga makan dan jangan makan jeruk (yang sering dihidangkan oleh masyarakat Jawa pada hari Raya). Jangan menyusahkan orang lain lagi. Banyakkan minum air.
Azam Ramadhan
Aku sudah menunaikan azam aku untuk tidak pergi lagi ke Bazaar Ramadhan sepanjang bulan Ramadhan, dan Alhamdulillah berjaya juga. Banyak sebabnya. Pasti kalian sudah mengerti maksud azam yang kulaksanakan ini. Cukuplah, satu mata lauk, satu jenis kuih dan air minuman. Dan, Alhamdulillah juga, Suri melaksanakan permintaan aku.
Aku juga berjaya melengkapi bacaan Al- Quran 30 juzuk dalam Ramadhan tahun ini. Mungkin, tahun hadapan akan aku sertakan bacaan Tafsirnya sekali. Namun, sayangnya, aku tidak berjaya melengkapi solat Tarawih setiap hari pada Ramadhan tahun ini. Ralat dan agak mengecewakan.
Entah menjelma lagikah Ramadhan buatku sekali lagi?
Duit Raya Anak- Anak
Rudy tidak pernah berhenti memberikan inspirasi kepada aku sebagai seorang Cikgu. Buat sekian kalinya, Rudy berusaha mengutip derma buat anak-anak sekolah aku. Terima kasih Rudy. Oh Ya, kalaulah kalian seorang jutawan atau hartawan atau kalian mengenali jutawan dan hartawan, yang berhasrat untuk menderma. Aku dengan rendah dirinya mahu meminta didermakan sebuah surau kecil yang comel untuk sekolah aku. Jika ada yang berminat silalah email jimiwiser@yahoo.com.
Duit Raya cikgu Jimi hanyalah untuk anak-anak yang memenuhkan puasa mereka sahaja. Inilah galakan aku buat mereka melatih memenuhkan puasa yang kebelakangan ini sering dipermudahkan oleh orang-orang muda. " Tak puasa penuh, tak da duit raya dari Cikgu ". Itulah kata-kataku selalu.
Hmmmm apakah ada lagi yang perlu aku coretkan di sini lagi?
Sebentar lagi, aku akan menyiapkan diri. Beg-beg sudah dimasukkan. Singgah ke kubur sebentar. Bacakan tahlil buat abah. Singgah di rumah emak. Minta ampun, minta maaf. Harap janganlah ada titisan air mata lagi. Kek Buah dan biskut raya daripada Suri buat mak. Lalu , terus menelusuri jalan jalan kampung, Bidor, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sekinchan dan seterusnya. Berhari raya di kampung Suri.
Jadinya, terima kasih kerana singgah bertamu di blog ini. Salam AidilFitri buat semua pembaca Jimiwiser. Kalau ada tersalah tersilap, mohon semuanya disucikan dengan kemaafan daripada hati yang tulus. Terima kasih kerana selama ini ber"sahabat" dengan aku selama ini.
Aku doakan bahagia dan gembira buat kalian semua ya. Jumpa lagi dan selamat bercuti.
Labels: cikgu Jimi
Salam hari raya juga.minta ampun maaf.sy pernah b'dendam dgn ckgu.tp itu dulu.kini tidak lg.maaf byk2.