Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani
Demi Allah, yang Maha memiliki, Maha mengatur jagat semesta raya ini. Dan, Demi Allah jua, perasaan dari dalam ini perlu dilepaskan, daripada tubir mulutku, yang asalnya jauh daripada lubuk hatiku. Sebuah alegori hati ini perlu ditintakan, bukan untuk sesiapa pun, lantaran demi diriku suatu hari kelak.
Bukan mudah sebenarnya memulakan hari aku saat-saat ini. Kerana jutaan rasa yang menerpa menyelubungi jiwa rasaku, yang akibatnya aku telah " hilang " dari mata orang lain. Sukarnya melelapkan mataku. Kerana selama enam bulan yang lalu, aku sering dikejutkan dengan panggilan daripada abah. Pasti ada sahaja yang diminta dan ada sahaja yang tidak kena di hatinya. Panas. Terlalu sejuk. Mahu mandi sekitar jam 3 pagi. Atau, sekadar mahu memeriksa jika aku masih ada berbaring di sisinya. Jika aku tidak mampu dikejutkan, Suri pula yang dipanggil.
Dan, saat ini. Malam ini . Sepi dan sunyi amat. Tiada lagi panggilan daripada abah. Dan kesepian tanpa panggilan daripada abah itu begitu tajam hatta tertusuk hingga ke dalam mata hati. Dahulu, apabila tiba saat menjelang subuh, permintaannya menjadi-jadi. Selalu arwah abah menceritakan soal mahu mati. Kadangkala pelbagai pesan ditinggalkan
" Abah nak disembahyangkan di masjid tempat kita. "
" Nanti kamu beritahu pak imam Hassan, abah nak mintak dimandikan oleh dia ya "
Pesanan-pesanan itu aku diamkan sahaja, tidak mampu dibalas. Acuh tak acuh aku mendengarnya. Tetapi, apabila sudah menjadi nyata kini, aku terkenang-kenangkan luncuran kata-kata arwah abah itu. Alhamdulillah, semua pesanannya telah aku tunaikan.
Fakta yang memilukan:
Aku bukanlah seorang anak lelaki yang baik. Ya, mungkin aku seorang guru yang konon - kononnya seorang yang berjiwa mulia bak kata-kata orang. Tetapi, hakikatnya kehidupan aku seringkali dibayangi kepedihan dan penderitaan , menyaksikan kehidupan abah dan mak yang tidak bahagia lalu sampai akhirnya berpisah juga takdirnya. Namun demikian, terdetik dalam hati saat itu, apakah selamanya aku mahu bermasam muka dengan abah. Apakah selamanya aku harus begini? Dalam diam hati merintih sejauh-jauhnya. Kadangkala rintihan itu tak dapat ditahankan. Air mata beruntaian di pipi. Aku berdoa saban malam
" Ya Allah kau ampunkanlah dosa aku. Jadikanlah aku seorang anak yang soleh. Kau rapatkan hubungan aku dengan ayah aku sebelum terlambat. Sebelum kesampaian waktu. Lembutkanlah hati aku untuk melupakan segalanya, dan kau pupuklah kasih sayang antara aku dan ayah aku "
Dan, Dia yang Maha berkuasa, Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Itulah kuasaNya yang mentakdirkan abah jatuh sakit. Abah tidak upaya untuk bangun sendirian. Apatah lagi tidak upaya untuk membersihkan dirinya sendiri. Aku dan adik beradik lain berhempas pulas. Keluar - masuk hospital. Mencari pilihan dan penawar yang ada. Sebetulnya sukar, dengan kesibukan masing-masing dengan pekerjaan dan kehidupan. Siapa yang pula harus menjaga abah?
" Abanglah yang jaga abah, siapa lagi…kita yang paling dekat dengan abah " Itulah kata-kata Suri memujukku.
Dan, sejak itulah aku dan suri, dan adik beradik yang lain bergilir. Tetapi, kebanyakan masa ialah ketika bersama aku dan adik aku. Setiap selang malam aku akan tidur di sisi abah. Begitu juga dengan Suri. Memenuhi permintaan abah setiap hari. Memandikan abah. Menunggu dan melayan bual dan rungutan abah.
Selain itu, aku juga harus memenuhi tuntutan tugas. Akhirnya, aku menjadi begitu tertekan. Pernah aku terpaksa mengambil cuti lebih lima hari kerana penjaga abah tidak pulang-pulang ke rumah. Tidak pernah nada dering telefon aku dibunyikan selama tempoh abah sakit. Senyap. Tanda aku tidak mahu diganggu. Tidak pernah sms rakan aku jawab dengan seikhlas hati. Aku lebih senang mereka tidak mengusikku dengan sms yang separuh masak bunyinya. " Ko per khabar, ayah ko macam mana? " Betapa buruk sangkanya aku terhadap pertanyaan mereka.
Jujurnya, aku kagum dengan jiwa suri yang penuh dengan kelembutan nur kasih. Tidak hairanlah, abah lebih senang bersama dengan suri. Pernah satu hari, suri jatuh terduduk di bilir air kerana memapah abah ke bilik air. Akibat lantai yang licin dan lantaran kudrat fizikal yang lemah tidak mampu memapah abah ketika itu.Suri tidak kekok menyuapkan kotiaw goreng kegemaran ayah, atau mereneh sup lalu disudukan ke mulut abah.
Terlalu banyak kepayahan dan kesukaran yang aku dan suri hadapi. Terlalu banyak untuk dihikayatkan di sini. Kesukaran mencari penjaga abah waktu kami bekerja pada waktu siang. Kepayahan mencari kesefahaman adik-beradik. Kesusahan memahami diri abah yang sakit yang memerlukan perhatian. Ibarat anak kecil yang mahukan perhatian dan manjaan.
Apa yang lebih sukar ialah;
Memaafkan abah atas apa yang telah terjadi. Atas segala kehidupan kami adik beradik. Atas segala kehidupan emak. Memaafkan atas kejadian yang telah disuratkan. Memaafkan takdir dan belajar meredhai ketentuanNya. Dan, seterusnya merelakan lalu melepaskan segala dendam amarah itu sejauh – jauhnya. Sebenarnya, itulah yang paling sukar.
Aku telah mempelajari tiga kalimah sakti. Redha. Maafkan. Sabar. Itulah kalimah - kalimah sakti yang sentiasa berdesit daripada bibirku. Sabarlah. Redhalah atas apa jua. Maafkanlah segalanya ya. Itulah mantra hidup aku ketika itu. Tiga kalimah sakti itu berupaya menjadi adiratna yang mulia seperti dalam hikayat-hikayat ceterawara purbakala.
Dan, itulah mujahadah aku yang paling besar setakat ini . Namun, sesekali pernah juga aku merintih kepedihan dan kesukaran. Mengeluh dan merungut. Sesekali, iman dan kontrak janji itu mahu dibubarkan sahaja, namun aku tahu inilah dugaan yang perlu aku tempuhi. Sesungguhnya, penat dan lelah tidak terkata. Besarnya dugaan Allah, dalam melentur hatiku ini.
Aku selalu menuntut doa dalam hati. Agar dipermudahkan segala urusan. Mengapa Allah memilih aku dan suri yang banyak menghabiskan masa bersamanya? Tentu ada hikmah sebalik semua itu.
Doa aku. Doa suri. Malah setiap hari tanpa henti aku menunaikan solat Dhuha di tempat kerja. Merintih supaya segala-galanya dipermudahkan. Bacaan Mathurat dan Yaasin sentiasa basah di bibir. Malah, ketika waktu sedarnya, sudah berulang kali aku menyatakan daripada isi hati
" Abah, saya mintak maaf atas segala kesalahan saya , saya mintak ampun ya "
" Ya, abah pun macam tu juga "
" Saya tak mampu jaga abah sebaiknya , buat yang terbaik untuk abah "
Malam itu . Malam itu sangat berbeza. Abah sudah lain. Dipegang tanganku erat- erat. Sejuk kaki dan tangannya. Aku bacakan surah Yaasin di tepi kakinya. Entah bagaimana, bacaan Yassin kali itu paling memilukan dan paling menghiris hati. Linangan air mata jatuh tanpa disekat-sekat.
" Along mana? "
" Along di Penang, nak saya suruh Along balik? "
Abah diam.
" Angah? Uda? Su mana? "
Pertanyaan demi pertanyaan. Kemudian abah tanyakan adik beradiknya.
" Mak Yang?, Mak Su? "
" Nanti saya panggilkan ya. "
Satu jam kemudian , keadaan abah nampak tenat. Abah cuba bercakap tetapi butirannya tidak diketahui. Aku cuba meneka apakah maksud yang ingin disampaikan tetapi gagal. Akhirnya, aku dan suri membuat keputusan memanggil ambulans.
" Abah,…abah…. ni saya ni… ingat tak ? "
Abah mengangguk lemah sambil matanya memandang ke bumbung rumah.
Sesampai sahaja di Hospital, abah sudah tidak sedarkan diri. Kali kedua ketika dipanggil doktor, doktor mengatakan nafas abah sudah hampir tiada. Sambil dibantu alat pernafasan, abah seperti nyawa-nyawa ikan hanya mampu mengerang. Aku bacakan kalimah Syahadah di telinga abah berkali-kali. Begitu juga aku ingatkan abah tentang keesaan Allah selalu, aku ucapkan perkataan ampun dan maaf buat kali terakhir.
" Ampunkan dosa kami, abah… halalkan semuanya ya " Aku sudah pasti adik beradik lain tidak sempat untuk bertemu abah untuk terakhir kalinya. Aku wakilkan diri aku buat semua yang tidak hadir di sisinya. Untaian air mata suri mencurah - curah dengan lajunya. Dan, akhirnya abah pergi juga.
1.20 pagi. Masa yang ditinggalkan abah.
Yang tersukar dalam hidupku ialah menelefon adik beradik aku, berita itu.
" Abah dah meninggal " kataku ringkas sambil diiringi esakan yang bersahut-sahut. Telinga mendengar ratapan adik aku yang separuh menjerit. Aku menyerahkan notis lainnya pada suri untuk memaklumkannya. Tangisan aku kuat memecah suasana hospital pada pagi itu. Sambil diperhatikan orang lain, aku ditenangkan oleh Suri dan pembantu rumah.
" Abang, Abah pernah cakap, abah nak meninggal dengan saya " Suri memecah kesunyian dan kesepian.
"Yang, ini nikmat kita. Allah telah takdirkan kita berdua. Dari abah sakit sehingga ke nyawa yang terakhir, kita telah bersama abah. Abang rasakan, Allah telah memakbulkan doa abang, yang "
" Abang dapat berbakti sehingga habis upaya abang , Alhamdulillah " Kata Suri memujuk hatiku.
Sekali lagi air mata turun lagi. Tanpa dipaksa, aku meraung sekuat-kuatnya. Tetapi, hanya dalam hati. Mudah-mudahan, aku membisikkan padaNya, mahu membenarkan kata-kata Suri itu.
Sehingga baris ini ditulis, ada sebak dan tangisan dalam hati. Panasnya tengah hari ini, tidak mencerminkan rasa dalam hatiku. Sebaliknya ada rasa redup dan tenang.
Setenang awan 3 Julai 2010, ketika ayah dimandikan. Ketika aku mengangkat jenazahnya, ketika aku memerhatikan bajunya digunting. Ketika titisan air mata along, angah bertali arus mengalir sepi, sambil kami membantu membersihkan abah buat kali terakhir. Saat aku merenjis air mawar. Saat aku mengucup dahi dan pipi abah buat kali terakhir. Saat aku di dalam van jenazah sehingga sampai di masjid. Sehinggalah aku dan angah berada di dalam liang lahad, menyambut jenazah dan ketika aku letakkan di atas tanah yang lembut dan peroi itu, air mata ini tidak henti-henti mengalir. Syukur, Alhamdulillah sehingga ke fasa yang terakhir dapat aku berbakti dengan tulus ikhlas. Tanpa disuruh, tanpa dipaksa oleh abah.
Dalam keremang-remangan tengah hari itu, berbalam-balamku lihat tangisan adik perempuanku mengaminkan doa. Ku lihat sungguh ramai yang hadir medengarkan bacaan talkin. Dalam lipatan kenangan itu, bagai dimbas kembali, satu demi satu, diriku yang mengangkat abah dari katil.
" Abah, kita mandi ya bah " Aku turunkan kaki-kakinya. Aku papah dan dudukkan di atas kerusi roda. Aku capai tuala. Aku basuhkan badannya. Aku sabunkan badannya. Dan, aku lapkannya. Aku pakaikan baju dan kain pelikat.
" Ikat kuat-kuat nanti tanggal " kata abah. " Ambil tali pinggang " abah berkata lagi.
" Tak yah Abah, cukup dah ni " Aku memujuk abah melupakan ideanya.
Aku sikatkan rambut abah dan berikan air minum.
" Kami pergi kerja dulu ya bah, " kataku ringkas. Suri mengucup tangan ayahku.
" Terima kasih, malam ni sapa jaga abah? " Abah bertanya.
" Sayalah, siapa lagi? Anak-anak abah lain jauh , tak de sini " aku menjelaskan.
" Ok..ok…terima kasih " jawab abah. Abah memerhatikan aku dan suri keluar dari rumah.
Sekiranya berkesempatan dan berkelapangan, akulah yang membimbing abah berjalan semula menggunakan tongkat. Aku juga menuntun abah dengan kerusi roda mengelilingi jalan di taman perumahan ini.
Aduhai, kenangan demi kenangan. Ingatan itu silih berganti hadir berbalam-balam diganti dengan kenangan lain. Sambil mulut mengaminkan doa talkin itu, aku sedar abah sudah tiada. Seorang tokoh dan susuk tubuh yang tak pernah padam dalam hidup aku. Pada kehidupan aku dan dirinya, ada duka, suka, pahit dan dendam tetapi pada akhirnya Allah telah menutup kesemuanya. Allah menutup dan mengaburi semua lubang hina itu. Kesemua nanah dan noda itu diganti dengan kasih-sayang yang tulus dan murni.
Allah telah memakbulkan permintaan aku, untuk kembali bertaut.
" Ya Allah, kaulah tuhan yang Maha Esa. Maha Mengetahui dan Maha Pemberi. Terima kasih Ya Allah atas kesempatan ini. Engkau telah menciptakan aku dengan tujuan dan maksud. Untuk berbakti kepada dunia selagi terdaya. Engkau telah permudahkan segalanya. Dan, engkaulah yang sentiasa mendengari keluhan dan rintihan aku. Engkaulah yang sentiasa kabulkan doa dan permintaan aku. Aku memohon kepadaMu, Ya Allah, ampunilah segala dosa abah aku sedari beliau kecil hinggalah ke nafas terakhirnya. Tempatkanlah abah di kalangan para solihin. Juga, Kau ampunilah aku, seandainya terdapat sedetik sekalipun, atau sekecil zarah sekalipun keluhan, rungutan aku ketika menjaga abah. Sesungguhnya aku mengerti dan sedari betapa aku manusia dan hambaMu yang lemah. Ampunilah dosa-dosa aku ya Allah. "
Tatkala berlabuhnya hariku. Bertemu pula bulan putih menyapa.
Tinggallah dulu ya, Abahku. Kelak kami menyusul pula.
Tiada abadi , juga yang kekal di dunia kita.
Usah gundah, usah gerhana, doa anakmu di bibir sentiasa.
Mengirim rindu buatmu abah, sedikit amal jariah dan pahala.
" Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan "Kami telah beriman" sedangkan mereka tidak diuji lagi? Dan, sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang Benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang Dusta. " Al – Ankabut : 2-3
Abah dan aku, usia 10 tahun
Labels: abah, laments
Takziah Cikgu Jimi. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.