Tuesday, May 25, 2010
|
Terima Kasih Hafira
|
" Cikgu, ni hadiah Hari Guru daripada Hafira. Kakak saya sampaikan salam pada cikgu. Selamat Hari Guru katanya. "
Safira, adik kepada Hafira menyerahkan bungkusan hadiah yang dibalut warna-warni, dengan iringan sekeping kad comel.
Aduhai. Terharu dan rasa sebak terus menyelubungi hati aku. Tidak sangka masih lagi mengingati aku. Begitulah aku yang hanya guru sekolah rendah sahaja.
" Sampaikan salam cikgu pada dia. Cakap pada dia, terima kasih sebab masih ingat cikgu lagi di sini, dan suruh dia rajin belajar selalu ya "
Hafira ialah bekas anak angkat aku semasa dia di Tahun 6 tahun lalu.Ak pernah menceritakan sedikit kisahnya di sini dan di sini. Hafira telah mencatatkan keputusan cemerlang 5A tahun lalu. Anak seorang tukang sapu yang begitu tekun belajar dan rajin berusaha memajukan dirinya. Anak murid yang sentiasa tahu menghormati cikgu-cikgunya. Setiap kali berselisih dengan guru-guru di mana-mana blok bangunan, pasti sahaja ditundukkan badannya lalu mengucapkan salam.
" Assalammualaikum cikgu " sambil menguntumkan senyumannya.
Kejayaannya menjadi buah mulut orang kampung. Kami guru di sekolah memasang kain rentang mengucapkan tahniah kepada Hafira. Bukan itu sahaja, masuk surat khabar pula. Kejayaannya dibalas dengan hadiah berupa wang daripada pelbagai pihak.
Hafira mendapat tiga tawaran ke sekolah berasrama penuh. Pertama, tawaran daripada SM Agama Raja Perempuan Taayah. Kedua, SMK Agama Bota Perak. Tawaran seterusnya daripada Maktab Rendah Sains Mara Pasir Salak.
Sangkaku dia memilih MRSM, namun rupa-rupanya jiwanya mahu dididik dan diasuh di sekolah agama. Sekolah agama negeri yang mahsyur dengan prestasi pelajarannya bernaungan Sultan Perak, Raja Perempuan Taayah menjadi pilihannya.
Kadnya tertulis
" Selamat Hari Guru. Terima kasih cikgu. Cikgulah cikgu yang terbaik. Cikgulah yang menyebabkan saya cintakan bahasa Melayu. Kerana cikgulah saya sentiasa mahu memperbaiki diri saya. Semoga Allah sentiasa memberkati usaha cikgu. "
Hafira, masih lagi kamu ingatkan cikgu ya. Cikgu pun tidak pernah lupakan kamu. Mengapa? Kerana kamu telah membuktikan pandangan sinis dan skeptikal bahawa anak-anak kampung sekolah ini tidak boleh berjaya. Kamu telah menepis semua halangan itu.
Mana boleh cikgu lupa. Keratan akhbar tentang kamu dan ayah kamu ada di hadapan meja tugas cikgu di sekolah ini. Kamulah yang "mengajar" cikgu. Terima kasih Hafira.
Labels: cikgu Jimi |
posted
by Jimi Wiser @ Tuesday, May 25, 2010

|
|
|
-
Tahniah Hafira...semoga manjadi ank yang soleh, kelak manjadi muslimah yang cemerlang dunia dan akhirat..
|
|
|
| Kembali
|
| |
|
|
Tahniah Hafira...semoga manjadi ank yang soleh, kelak manjadi muslimah yang cemerlang dunia dan akhirat..