Tarikh hari ini keramat nian. Keramat yang bukan menyesatkan. Keramat yang maksudku sungguh meninggalkan rasa dalam hati aku. Tarikh hari ini ialah ulangtahun perkahwinan aku dengan suri.
Seandainya dibukakan kembali ikatan dan simpulan kenangan, pasti sahaja tergambar foto-foto kenangan. Ya, kenangan sewaktu debaran pernikahan. Berdegap-degup debaran jantungku dengan kencangnya bergerak. " Apakah aku sudah bersedia menjadi suami suri? "
Foto kenangan, sewaktu menciumi tangan isteri sambil memerhatikan linangan air mata yang beruntaian jatuh di pipi ibuku. Foto kenangan, ibu suri yang tersenyum menerima kehadiran aku sebagai anak lelaki menantunya. Foto kenangan, menyaksikan suri dengan litupan dan kerudung berona putih krim yang pertama kali kulihat beza paras rupanya. Terfikir di hati ini, wajah suri aku telah " dilukis, dilorek " sehinggakan tidak kukenali sepenuhnya, suriku.
Foto-foto kenangan ini tersusun kemas dan rapi dalam lipatan ingatan. Penuh dengan warna - warninya. Ada air mata, senyuman dan tawa, emosi yang merungkai dan mengungkapkan satu fasa penting dalam kehidupan aku.
" Apa bezanya ya, dulu orang bujang dan kini suami orang? "
" Apakah kau bahagia sekarang, Jimi ? "
Soalan-soalan sedemikian acap ditanya, daripada teman-teman rapat.
Alhamdulillah, sungguh sekali. Senang sekali. Aku bahagia tanpa syarat dan tanpa tapi. Dunia baru ini kendatipun baru dihuni namun sudah indah dan molek perinya. Cumanya, tiangnya perlu diperkukuh dengan tonggak kayu jati atau meranti. Dapurnya pula mesti digauli selalu. Rempah ratusnya, masam dan manisnya mestilah saling dimesrai, agar mesra rasanya. Anjung serambinya pula perlu didatangi tetamu, kerap - kerap, agar membawa keberkatan dan kemurahan rezeki. Manakala, kebun buahnya harus dibajai dan disirami selalu supaya bergugus-gugus lebat hasilnya kelak.
Alhamdulillah, alhamdulillah dan alhamdulillah. Semuanya atas kehendak Dia. Yang menghadiahi aku " Buah Cinta "
Labels: laments, suri |
tahniah jimi & suri...semoga berkekalan hingga ke akhir hayat