Lama benar kalian menanti, bukan? Kalian yang menanti aku menulis secebis kisah kehidupan aku. Maaf andai kita tidak bertemu acapkali di sini. Bukan merajuk atau menghilang, tetapi masa dan kehidupan telah dibelah-belah kepada beberapa bahagian. Masa untuk abah yang masih terlantar sakit. Masa untuk kerja. Sehinggakan masa untuk berehat agak sedikit. Jadinya, telah aku kesampingkan masa untuk menulis di sini.
Serasa benar mahu menulis. Rindu dan kepingin sungguh. Kerana menulis itu bagi aku satu luahan hati aku. Tetapinya, aku mahu berterima kasih kepada Allah yang kudus, kerana masih mampu setia di sini. Betapa ujian dan dugaan datang mendesah kiri dan kanan. Namun, masih berupaya mencelikkan mata saban pagi.
Terima kasih kepada suri aku. Kerana dia tonggak dan tiang hidup aku. Pada wajahnya seribu ketenangan, pil sedatif bagi setiap keresahan dan kebimbangan aku. Pada setiap kali keluh kesahku ucapkan, pada setiap kali itulah kata-katanya mententeram dan menyuluh jiwa.
Kadangkala, masa berlalu dalam hidupku terlalu perlahan. Entah apa adanya di sekitar hidup aku kurang aku maklumi. Dunia yang agak sempit. Pada keremang-remangan senja yang hadir. Pada kemunculan langit fajar pagi, pada langit senja nan merah. Pada putihnya awan kumulus, pada deruan angin, pada rintikan hujan hadir silih berganti. Dan pada panasnya sang matahari saling berucap rasa terima kasih.
Pada semuanya, kepada pencipta makhluk sekalian ada seisinya, aku memohon daripada keesaanNya, tenangilah hati ini, cekalkanlah jiwa ini, murnikanlah setiap detik fikiran akal ini, agar sentiasa diri ini berlapang dada, pada ketentuan qada dan qadarMu.
Labels: abah |
semoga semuanya akan beransur pulih...insya allah