Semenjak abah terlantar sakit sehingga saat ini, abah sudah dua bulan tidak lena tidur. Tidur yang hanya sekejap-sekejap. Tiada tidur yang berkualiti. Siang dan malamnya diganggu oleh racau yang entah tentang apa-apa. Lima minit selepas melelapkan mata, kemudian terjaga dek racau.
" Batu Gajah…Batu Gajah…. Batu Gajah " Berpuluh puluh kali abah menyebut perkataan itu.
" Kenapa dengan Batu Gajah, bah? " tanya aku setelah mengejutkannya.
" Haaa….. tempat abah masa kecik-kecik dulu , dulu tok kamu kerja di pejabat agama di situ, abah dibesarkan di situ, abah nak pergi sana balik, dah lama tak ke sana ".
Sebegitu sekali racau yang menghantui abah, lipatan demi lipatan kenangan zaman lampau dibuka kembali. Menjengah semula. Kadangkala mengingatkan tentang peristiwa-peristiwa penting dalam hidupnya.
Apakah begini orang yang sakit menghadapi hari-hari sakitnya? Mengingati ataupun teringatkan sesuatu sehingga terganggu lena tidurnya.
Apabila bangun daripada tidur, diceritakan tentang zaman mudanya. Kadang-kadang diceritakan perangai anak-anaknya satu persatu.
" Kamu jemputlah Haji Sudin masuk tu. Bukakan pintu, Hj Sudin, Hj Tarmizi nak ziarah abah ni " Kata abah suatu hari.
Haji Sudin, Haji Tarmizi yang disebut-sebut abah hari itu sudah lama meninggal dunia. Mengapa nama teman-teman lama abah diungkit dalam racau tidurnya?
" Jap lagi abah nak kut Haji Sudin dan Haji Tarmizi ke sana, ada kenduri doa selamat, abah nak ikut, dah lama abah tunggu ni "
Aku kaget dan sebak seketika.
Labels: abah, laments |
Salam Cikgu Jimi,
Nenek saya juga begitu sewaktu mula2 dia jatuh dulu. Racaunya yang tidak2. Ayat paling biasa disebut "nak balik, nak balik' walhal dia berada di rumah sendiri. Anak-anak ingtkan itu racau biasa org2 tua yg mula nyanyuk. Namun lama kelamaan racaunya makin menjadi2. Tidurnya tidak tenang. Sampai satu ketika dia tidak tidur dan minta disuapkan makanan jam 3 pagi walaupun 2 jam sebelum itu sudah disuapkan makanan. Anak-anak usahakan mencari ikhtiar.
Nenek kini masih terlantar (hampir 3 tahun rasanya), ingatannya seolah2 terarah ke lipatan dahulu, seringkali menyebut mereka2 yang telah tiada, seringkali memandang anak2nya muda dan cucunya seperti masih kanak2 dahulu. Cucunya yang terkini mmg tiada dalam ingatannya, apatah lagi cicitnya. Tapi kadang2 nenek sedar, dia di masa kini. Namun, alhamdulillah, tidurnya kini tenang. tiada lagi racau yang bukan2.
Pesan yang mengubati nenek, 'Bila terlantar begini, jiwanya kosong, lalu 'benda2' lain suka mengganggu malah menumpang.'. Anak-anak dinasihatkan sentiasa melagukan ayat-ayat Al-Quran di sisinya.
Bukan maksud saya menyamakan keadaan ayah cikgu dgn nenek. Namun , mungkin ada yang boleh diambil iktibar. Moga tidur ayah cikgu kembali tenang dan dia kembali sembuh.
Allahua'lam.