Ini ialah kelas Suri. Suri aku mengajar kanak-kanak awal tahun. Ataupun digelar kanak-kanak pra - sekolah. Kanak-kanak seawal 4, 5 dan 6 tahun. Sudah 5 tahun suri bertugas di sekolah ini. Jauh di ladang kelapa sawit, jauh juga merantau dari tanah asal kelahirannya.
Sehinggalah aku hadir dalam hidup suri, lalu mencuri suri dan ingin membawa suri dari situ.
Selama perkahwinan aku yang masih dikira singkat ini, kami hanya bertemu pada setiap hujung mingg sahaja. Akhirnya, suri berjaya mendapat pertukaran sekolah di tempat yang hampir di sisi suaminya. Bermaksud hampir denganku, sebagai suaminya, dan akhirnya tinggal serumah denganku.
Jauh di sudut hati aku, aku mengerti kegusaran hati suri. Maklumlah, bertugas di tempat baru, semuanya baru, guru besar baru, kawan-kawan guru yang baru, dan anak-anak yang baru dikenali.
Apatah lagi terkenangkan kenangan lima tahun di sekolah lama. Kenangan demi kenangan pastinya kadangkala tersentuh hati dan menitiskan air mata. Namun, demi aku, suri terpaksa berkorban.
Selama dua minggu ini, aku dan suri bersiap sedia menyiapkan kelas masing-masing. Setiap hari pada cuti sekolah, aku pulang dari sekolah dengan segala kekotoran cat di tangan mengecat dinding kelas, dan suri tidak kurang pula, menghumban segala sampah sarap dalam kelasnya. Membuang segala yang tidak perlu. Segala posisi perabut disusun atur semula.
Inilah kebahagiaan namanya. Mempunyai pasangan yang memahami erti perjuangan dan falsafah hidup. Memahami kerjaya yang dipilih bukan sekadar retorik dan idealistik. Rasa aman dan bahagia kerana memiliki suri yang memahami jiwa aku sebagai seorang pendidik kerana suri juga seorang pendidik.
Apatah lagi, pengorbanan suri lebih besar daripada pengorbanan aku sendiri.
Hari ini ialah hari pertama sesi persekolah 2010. Hari ini juga hari pertama suri bertugas di tempat baru.
" Yang, terima kasih kerana telah banyak berkorban untuk abang. Semoga allah membalas segala jasa dan budi Yang telah berikan. Marilah sama-sama kita bulatkan tekad dengan usaha yang ikhlas tahun ini "Memetik daripada
blog ini
Kepada warga pendidik, diucapkan selamat menempuh lagi cabaran mendidik anak bangsa. Berbekalkan azam dan semangat baru pastinya. Mendidik anak bangsa tidak pernah ada titik akhir. Titik akhirnya adalah apabila sampai saatnya kembali kepadaNya.
Sewaktu menghadiri mesyuarat guru pertama tempoh hari, Guru Besar ada menyebutkan tentang amalan guru beretika. Bagi yang tidak ambil endah, ia bagai angin lalu. Namun, bagi yang ingin bermuhasabah diri, juga dengan niat membaiki diri, senarai amalan guru beretika ini adalah satu imbas kembali yang kadang-kadang tidak diambil berat. Boleh juga amalan guru beretika ini ditukar kepada amalan pekerja beretika. Sekadar ingin berkongsi:
Amalan Guru Beretika
1. Mempunyai niat yang betul.
2. Tahu tugas adalah amanah.
3. Menjadi teladan yang baik.
4. Ikhlas dan jujur menjalankan tugas
5. Berbaik-baik dengan semua orang.
6. Berkomunikasi dengan berkesan.
7. Menerima mereka yang berada di sekeliling seadanya.
8. Tidak berkira.
9. Bijak mengurus masa.
10. Bersedia menerima teguran/pandangan.
11. Bersedia memohon maaf dan memberi kemaafan.
12. Bersedia menambah ilmu dan pengalaman/belajar daripada orang yang berjaya.
13. Sentiasa bersedia meningkatkan iman dan amal soleh/cari pahala dan hapuskan dosa.
Apabila melihat ke dalam diri-sendiri, kadang-kadang amalan di atas tergelincir juga. Manusia biasa dan lemah, itulah alasan yang selalu kuberi. Namun, mudah-mudahan tahun ini dapat membaiki diri dan sentiasa terpandu dalam setiap langkah dan nafas. Semoga ada kebaikannya. Semoga langkah makin bermakna dan sentiasa mendapat keredaanNya.
Aduhai. Beratnya tugas aku dan suri. Mudah-mudahan kalian doakan kami berdua ya supaya dapat menjalankan tugas sebaik dan sehabis daya kami pada tahun ini.
Hmmm alahai, bertuahnya sesiapa yang menjadi anak-anak murid suri aku. Jadi anak muridnya dapat pula kek cawan. Seharian di dapur membakar kek cawan.
Kek cawan ini dibuat istimewa untuk setiap anak murid di dalam kelas suri hari ini. Aku pun tidak dapat merasanya, teman. Tentu anak-anak kecil tidak menangis datang ke sekolah lagi esoknya
Bagus idea suri, bukan?