Ibuku seorang yang penuh dengan kasih sayang. Dalam jiwanya penuh dengan rasa belas dan kasih. Ketika ibu menjadi seorang guru dahulu, pernah dikumpulkannnya pakaian - pakaian lama yang masih boleh dipakai lalu disedekahkan kepada anak-anak murid yang miskin tegar.
Kasih dan belas serta sifat pemurah ibuku masih berpanjangan sehingga kini. Kini hadapan rumah ibu sering dikunjungi makhluk Allah yang berterbangan.Pada asalnya, hanya sekawan burung merpati yang sekadar tersesat atau mencari lebihan makanan terbuang. Namun, lihatlah kini serasanya jemputan makan burung-burung ini sudah terlalu banyak.
Cucu-cucu ibu yang sesekali datang gemar bermain dengan burung-burung ini begitu juga dengan jiran-jiran ibu.

Suatu hari, ada seorang budak lelaki datang berbasikal. Dibawanya lastik burung. Memerhatikan burung-burung yang banyak lalu dihendap seekor burung Merpati putih. Puas dilastik dan dilastik sehingga berterbangan beburung yang lain.
Ibu keluar dari rumah. Memarahinya.
" Kenapa kamu lastik dia? "
" Makcik, saya nak burung Merpati warna putih tu. Ayah saya nak jadikan daging burung untuk dibuat ubat kampung " Jelas budak itu.
" Kamu tak kasihan ke, sakit lah dia kena lastik. Kamu ni lebih macam binatang. Pergi balik." Ibuku marah.
" Tapi burung-burung ni bukan sesiapa punya. Saya boleh lastiklah " Budak itu melawan cakap.
" Memang bukan sesiapa punya. Tapi makcik yang berikan makanan. Ini kawan-kawan makcik. Makcik kena jaga kawan - kawan makcik. Burung-burung ini ada tuannya. Allah tuannya, DIA yang punya. Kamu jangan menyeksa binatang. Berdosa. Kalau kamu tak balik, mak cik baling dengan batu ni, biar kamu rasakan macam mana sakitnya dibaling batu "

 Rasa sebak yang amat apabila mendengar cerita ibu. Rasa sebak kerana sifat belas ibu yang sungguh mendalam. Kucing -kucing liar dipelihara sampai sepuluh ekor dan dibawa masuk ke dalam rumah, dan kini seminggu sekali sanggup membeli gandum untuk diberi makanan kepada kawan-kawannya, burung-burung yang dianggap temannya. Semoga Allah memberikan rahmat yang berpanjangan untuk ibuku. Dalam hati, selalu berkata sendirian, ibu rindukan cucu-cucunya yang hanya sesekali balik melawat opahnya. Baliklah Along, Kak Long, Abang Ngah dan Kak Ngah. Aduhai burung-burung, khabarkan kepada Ilahi, sebarkan rahmat dan berkat buat ibuku ya sepanjang hidupnya ya.
Labels: laments |