Thursday, December 31, 2009
|
Akhir 2009
|
Alangkah indahnya menjelang tahun 2010 ini, gerhana bulan bakal mewarnai langit kita kira-kira pada jam 1 pagi, 1 Januari 2010. Seolah - olah pasti menyinari dan mewarnai kehidupan baru kita. Harapnya begitulah.
Apakah resolusi dan azam kamu? Apakah yang kamu mahukan ? Apakah yang kamu citakan?
Aduhai, soalan demi soalan sebegini sering ditanya menjelang tamatnya perlumbaan kita bagi penggal ini. Kita mula memikir-mikir perubahan/azam/harapan yang baru agar dapat meneruskan kelangsungan perlumbaan kita.
Adakah kamu sudah letih untuk hidup lagi? Bagaimana dengan kesedihan yang dilalui? Apakah akan ada kemanisan lagi?
Seorang sahabat aku mempunyai pendirian yang lain tentang harapannya. Arghh...harapan? Katanya mengirim mesej di telefon.
" Aku rasa aku akan mati pada tahun 2010 ini , seolah - olah terbayang-bayang ini penamatnya. Takutnya aku, kerana banyak benar amalan yang belum kulakukan, dan banyak yang harus dilunaskan"
Serasa ada sesuatu yang sukar untuk dimengerti tentang dunianya, atau apakah itu sebenar azam barunya, mahu lebih beramal dan berbuat kebaikan kerana usia semakin menjangkau jauh dan sesungguhnya masih belum cukup menyediakan bekalan untuk di tanah sana.
Sana - sini orang memperkatakan tentang azam/harapan. Ini harapan atau apa sahaja yang terlintas di fikiran aku buat masa ini (semasa aku menulis saat ini ).
Aku harap dan berazam supaya aku lebih banyak mendengar daripada bercakap. Dengan ini, aku cuba memahami manusia yang bercakap.
Aku harap dan berazam supaya lebih kuat bekerja dan terus bekerja. Bekerja bukan kerana bekerja tetapi bekerja untuk yang terbaik.
Aku harap dan berazam dapat lebih banyak membaca banyak judul-judul buku lagi.
Aku harap kesihatan aku bertambah baik, tanpa menyusahkan insan- insan yang terhampir dengan aku.
Aku harap dapat sentiasa bersangka baik dan berfikiran positif dalam setiap dugaan dan cabaran yang mendatang.
Aku harap ibu aku diperoleh kesihatan dan dipanjangkan usia. Melihatnya merintih tentang kesakitannya menyebabkan aku sentiasa pilu.
Aku harap aku mampu memberikan keihlasan dan kejujuran sedaya mampuku kepada orang lain.
Aku harap dan berazam dapat membahagiakan suriku.
Apa ya? Adanya diri aku setahun yang lalu?
Aku yang bujang keseorangan, kini sudah berdua. Aku yang lelah dan letih dalam dunia, kini mampu berputar 10 kali putaran. Aku yang memiliki kedua-duanya, kini sudah tidak mampu memeluk kedua-duanya. Aku yang hitam dan kelabu, kini bersama rona hijau, coklat dan biru. Aku yang kesunyian, kini bertemankan tawa, gurau dan rajuk.
Aku? Alhamdulillah. Sudah mencari dan menemuinya. Temui apa ya? Temui kebahagiaan.
" Bahagia itu ada, kau tidak ketemu kerana kau tidak mencari, Bahagia itu ada, kau tidak berjumpa, kerana kau tidak cuba merasainya "
...... Menjadi pendidik yang lebih baik Menjadi pendengar yang lebih baik Berbicara dengan lebih baik Beramal dengan lebih gigih dan lebih baik .... insyaallah.. mudah-mudahan
Kerana, seperti kata teman aku " Tahun 2010 ini aku akan mati, jadi….. lebih baik….. "
Kerana seperti bait-bait lirik lagu " Apapun terjadi …berjalanlah tanpa henti "
Aku akhiri kalam 2009 ini dengan memetik ayat yang suci daripada kalam yang mulia, al – quran al karim
" Maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan? Surah Ar Rahman Ayat 75 "
 Labels: cikgu Jimi, laments |
posted
by Jimi Wiser @ Thursday, December 31, 2009

|
|
|
|
Monday, December 28, 2009
|
Dunia Buku Jimi
|
Apabila masuk ke dunia buku, pasti aku tertawan. Teruja dengan haruman bau buku yang sentiasa melekat di situ. Menyelak dan membelek satu demi satu bagaikan satu nikmat yang hanya mampu difahami oleh orang yang gila seperti aku.
Tidak akan sama darjatnya mendengar audio book atau e-book.Buku tetap buku, ada satu kenikmatan dan keunikan jika kalian tahu memahami jiwa " buku ".
 Menapak kali pertama ke dunia pts.com.my di Batu Cave, memasuki bilik penuh dengan segala buku keluarannya, seperti Charlie yang masuk ke dunia Willy Wonka dengan dunia coklatnya " Chocolate Factory nya ".
Satu demi satu dibelek. Banyaknya pilihan terutama untuk dijadikan hadiah. Hadiah buat anak-anak murid aku. Supaya mereka terus terangsang untuk berusaha, mengecapi nikmat berbahasa dan membaca dalam ilmu bahasa yang aku ajarkan.
" Ini buku yang bagus.Siapa dapat keputusan bahasa Melayu yang baik, akan cikgu hadiahkan buku ini. "
Itu hadiah buat yang terbaik.
" Siapa yang berusaha untuk menjadi lebih baik, tulisan daripada comot kepada kemas, dia tumpukan perhatian dalam kelas, dia buat kerja rumah dengan baik, daripada lemah kepada baik, cikgu akan bagi buku ini. "
Itu hadiah buku buat perangsang kumpulan lemah dan sederhana, supaya dapat dilonjakkan semangat dan usaha mereka.
Begitulah saban tahun. Alhamdulillah, menjejaki bangunan pts.com.my ini satu tuah dan rezeki. Selepas ini sekiranya pulang ke kampung suri, pasti aku mengunjunginya.
Usai di situ, ke dunia buku Kinokuniya yang mengasyikkan.Satu partisan demi partisan aku jelajahi. Hanya gedung buku yang sebesar ini pasti menjanjikan pilihan yang banyak. Namun, harga yang agak mahal membataskan nafsu untuk memiliki kesemuanya.
Di partisan Education, banyak buku memoir - kisah kisah seorang guru. Ini buktinya.
Tunggulah ya. Aku pasti memiliki kamu semua.
 Aku juga mahu memiliki semua tulisan Haruki Murakami. Ya, semua. Aku baru sahaja memiliki Blind Willow, Sleeping Woman sahaja. Murakami antara penulis terbaik yang memiliki nuansa cerita yang tersendiri.  Dan kini, ke mana sahaja, di dalam kereta Sam Pickering, Letters To A Teacher. Kisah memoir seorang guru yang memberikan inspirasi kepada watak seorang guru hebat dalam filem Dead Poets Society. Happy Reading, Cikgu Jimi. " Kalau mahu membaca, usah tunggu sehingga : Setelah saya bekerja, kononnya, saya akan ada duit sendiri jadi akan membaca lebih banyak;
Setelah saya kahwin, kononnya, saya akan dapat suami yang boleh tolong sponsor pembelian bahan bacaan;
Setelah saya ada anak, kononnya, saya boleh membaca dengan anak-anak.
Lupakan sahaja contoh-contoh MITOS di atas. Semua itu tidak akan berlaku.
Saya juga tambah kasihan kepada guru-guru masa kini yang terus sekali dihambat masa kerana kerja guru sudah ditambah sebagai kerjaya pentadbir sekolah, urusan pengkeranian dan bukan sahaja mengajar.
Mereka menjadi golongan yang dihimpit masa untuk memiliki ruang waktu tersendiri (dulu-dulu, guru habis sekolah paling lewat pun pukul 1.30 petang, sudah boleh buat kerja sendiri).
Jadi, apa-apa yang hendak anda lakukan, buat SEKARANG bukan sekejap lagi. Entah-entah, selepas ini, segala-galanya sudah terlewat! "
Labels: cikgu Jimi |
posted
by Jimi Wiser @ Monday, December 28, 2009

|
|
|
|
Thursday, December 17, 2009
|
Cuti Sekolah Cikgu Jimi
|
Ramai pula yang sering bertanya, apakah yang aku lakukan sepanjang cuti persekolahan yang panjang setiap hujung tahun.  Aku banyak menghabiskan masa dengan membaca buku dan majalah. Ada yang baru sahaja dibeli lalu terus membacanya, ada juga yang telah kubaca dan kubacanya sekali lagi. Tidak cukup dengan itu, majalah demi majalah aku baca sampai selesai.  Waktu pagi dan petang cuti yang ku habiskan dengan berlari. Berlari, berlari sampai kasut aku sudah haus dan uzur fizikalnya. Seringkali diberitahu dan disaran doktor supaya berlari untuk meluahkan ekspresi dalaman yang agak tertekan barangkali. Aku fikir serasanya aku sukar untuk melelapkan mata atau melenakan tidur setiap malam. Jadinya, apabila tidak cukup tidur sedangkan aktiviti seharian berlangsung, sehinggalah tekanan darah naik pula. Namun, inilah yang aku lakukan demi kesihatan. Berlari. Ada sesiapa yang sudi sumbangkan " sport running shoes " untuk aku? Ha ha.  Arghhh, cuti juga aku lampiaskan untuk aktiviti kejiranan yang jarang dihadiri, hmmm seperti menghantar rombongan kahwin dan sebagainya. Makan nasi minyak, menggemukkan badan aku sesekali sesekala.  Aku juga menghantar Azmil ke program Motivasi Alihan Pelajar. Menghantar dan mengambil Azmil pulang. Bergilir bersama umi dan ayahnya. Dengan niat bersedekah dan memberi, aku membayar yuran penyertaan program ini, mudah-mudahan ada kesannya sepanjang tahun belajar  Oh ya, ramai yang tidak tahu, aku berpeluang menghabiskan cuti dengan mengadakan kelas tambahan. Yalah, pentadbiran sekolah sudah tidak sabar-sabar mahu menyambut lembaran semester persekolahan yang baru, sampaikan kelas tambahan juga dibuat. Demi mahu memastikan semua anak murid hadir, aku sogokkan dengan jajan atau makanan supaya mereka hadir dan seronok untuk hadir. Kadangkala, suri aku gorengkan buah cempedak, gorengkan donut dan entah apa lagi.  Kerani di sekolah berkata " Semalam kelas cikgu Azian, empat orang je yang datang, kalau kelas cikgu Jimi, hampir semua yang datang, apa rahsia cikgu? "Aku tersengih, " Saya ugut dioranglah siapa tak datang kelas saya, siaplah dan sakitlah diorang bila masuk awal tahun depan. Sehari tak datang lari padang 10 pusingan, " . Aku melawak dengannya. Tetapi, betul. Aku akan denda mereka, tetapi bukan acara larian marathon ya. Sebaliknya, yang hadir aku menyeronokkan mereka pula dengan bersedekah sedikit supaya mereka tahu habuan apabila bersungguh-sungguh. Cuti juga aku habiskan dengan membuat " class makeover ". Seusai mendapat tahu, kelas yang aku pegang pada tahun hadapan, aku bersiap sedia untuk menata rias kelas yang suram dan bermuram durja itu. Ha ha. Ini wajah kelas waktu sebelum (bukan kelas aku dahulunya). Buruk dan comot, kan?

 Dan, ini pula waktu selepas. Ha ha ha. Warna epal hijau dipilih sesuai menggemburkan penajaman minda dengan warna alami, warna lestarian alam yang menghijau. Sebenarnya, projek masih belum selesai lagi. Aku masih ada dua mingu lagi, untuk menyelesaikannya.
Nanti aku tampalkan di blog ini kelas yang sudah menjalani proses " class makeover " ini ya. Nantikan.
 Cuti panjang ini juga, aku dijadikan bahan eksperimen suri. Aku menjadi subjek untuk menikmati masakan pastri dan entah apa lagi, yang dimasak oleh suri, yang hobinya memasak hidangan yang cukup untuk satu battalion lasykar atau soldadu tanahair. Ha ha.
Nak rasa, " resipi chicken pie" suri? Jemput datang ke rumah ya.
Oh ya. Kita sudah pun berada di ambang tahun yang baru. Tahun hijrah 1431. Aduhai. Pantas benar masa berlalu ya. Banyak benar yang berlaku. Lewat sore sebelum maghrib ini, kita bacakan doa awal tahun dan akhir tahun ya. Marilah kita sama-sama mendoakan keberkatan sepanjang tahun baru 1431 nanti. Untuk kaifiat dan doanya, sila klik di sini.
Awal Muharram begitu ironi dan penting dalam hidup aku. Pada tanggal itu, aku dan suri mengikat tali pertunangan kami. Memang sengaja aku pilih tanggal itu. Supaya mudah aku mengimbau dan muhasabah diri setiap tahun. Dan, apabila diimbas aku lega memilih tarikh itu walaupun ditentang oleh saudara mara kerana cuti yang hanya sehari. Dan, pada tanggal itu jugalah aku telah berjanji akan menjadi sehabis daya yang mampu, memperbaiki segala bentuk kesalahan dan kesilapan diri.
Salam Maal Hijrah buat semua pembaca Jimi Wiser. Selamat beramal ya. Aku doakan semua mendapat keredhaan Allah sepanjang tahun. Amin.Labels: cikgu Jimi, laments |
posted
by Jimi Wiser @ Thursday, December 17, 2009

|
|
|
|
Thursday, December 10, 2009
|
Terima Kasih Pembaca
|

Aflah (12/9/09 10 28 PM ) : Salam cikgu jimi… sy selalu juga ke blog cikgu..dan apabila baca catatan cikgu..sering buat sy sebak dan tersedu sendiri..terima kasih cikgu..semoga terus menabur bakti buat anak2 murid cikgu..
Duhai pembaca - pembaca blog Jimi Wiser,
Terima kasih tidak terhingga kerana masih setia meluangkan masa dengan membaca dan singgah di blog Jimi Wiser.
Hal sebenarnya, laman blog Jimi Wiser ini adalah satu evolusi episod kehidupan dari beberapa sisi diri kehidupan Jimi Wiser.
Jimi berasa seronok dan terharu kerana blog yang dibangunkan ini mampu memberi inspirasi nurani di hati kalian pembaca setia.
Daripada seleksi filem-filem pilihan Jimi, sehinggalah kepada hasil nukilan peribadi dan kebanyakannya catatan – catatan kehidupan Jimi sebagai seorang cikgu.
Percayalah, Cikgu Jimi bukanlah seorang HERO dalam pengkisahannya dalam blog ini. HERO sebenarnya adalah milik semua guru dan cikgu yang berdedikasi di seluruh negara ini.
Pohon dijauhi daripada penyakit hati yang jijik. Penyakit sum'ah iaitu penyakit mengharapkan pujian atas kebaikan yang dilakukan. Pohon dijauhi penyakit riak. Berbangga-bangga dengan amalan yang dilakukan.
Sesungguhnya, aku pohon dijauhi semua penyakit dalaman yang kotor itu. Dan, tuntas serta jujurnya, pengkisahan entri demi entri tentang hidup aku sebagai seorang guru, ialah sekadar untuk meluahkan tekanan, rasa, persepsi, emosi, empati, kemarahan atau apa jua sebagai terapi dalam hati aku.
Tahukah kalian, jumlah pesakit mental dan emosi yang tegar dilaporkan adalah kebanyakannya bekerja sebagai seorang guru. Aku mahu meluahkan segala juta rasa dalam hati aku pada kanvas putih ini, agar bisa ku lepaskan semua rasa ini, supaya menjadi benih hidup justeru membajai dan menuai rasa kasih sayang sesama kita.
Terima kasih sekali lagi. Selagi terdaya, dengan izinNya, doakan aku cikgu Jimi Wiser dan SURI hatinya yang juga seorang guru, agar tabah, cekal dan bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa dengan seikhlas hati. Doakan selalu ya.
Jemput datang selalu ke laman blog yang tidak sepertinya ini ya. Jangan serik-serik. Mungkin ada satu atau dua permata yang kalian temui sebalik jutaan kaca yang terterpa.
Salam. Labels: cikgu Jimi |
posted
by Jimi Wiser @ Thursday, December 10, 2009

|
|
|
|
Tuesday, December 08, 2009
|
Hidup Untuk Memberi
|
 Kalian sudahkah membaca topik bulanan majalah Solusi bulan Disember ini? Kali ini berbicara tentang maksud memberi. Memang kena pada masanya, zaman manusia yang semakin individualistik dan mementingkan diri sendiri, sudah sampai masanya kita menghargai nikmat memberi daripada meminta-minta. Sebenarnya, pabila berbicara tentang maksud memberi ini, ada beberapa kisah yang ingin aku ceritakan Aku selalu memberi intensif kepda anak-anak murid aku setiap kali mereka mencapai apa yang mereka dapat dalam kelas aku. Aku yakin dan percaya, banyak lagi guru di luar sana yang berbuat demikian, bukanlah aku seorang sahaja.  Coklat sentiasa ada dalam laci ataupun beg aku. Mungkin pabila ada yang berjaya menjawab soalan aku dengan kesungguhan mereka untuk berusaha mencari jawapan yang betul, pasti mereka mendapat habuan coklat mulut ini.Pastikan mereka tidak menjangkakan mendapat coklat seumpama ini, atau pastikan hal ini dibuat selang seli supaya mereka tidak terlalu mengharapkan habuan, tetapi lebih kepada usaha yang dilakukan. Dan, pada setiap kali kelas tambahan juga, aku akan membelikan makanan atau kuih, manalah tahu jika mereka tidak berkesempatan sarapan atau tidak sempat menjamah apa di mulut. Alhamdulillah, kelmarin sewaktu di kelas tambahan Bahasa Inggeris aku, suri sudah siap masakkan donut yang digoreng untuk setiap 10 orang mulut kecil yang sentiasa lapar itu.  Setiap bulan juga aku memperuntukkan sedikit jumlah wang untuk memberi. Membelikan insentif hadiah seperti buku. Selalunya, buku, buku,buku dan buku kerana aku mahu menginspirasikan diri mereka dengan amalanmembaca. Sebulan yang lalu, aku hadiahkan seorang sebuah buku yang mendapat 2A dalam subjek Penulisan dan Pemahaman Bahasa Melayu UPSR. Pada hari itu, aku lihat sorang anak murid aku itu begitu riang dan teruja sampai meloncat-loncat, bibirnya penuh senyuman seolah sudah menang loteri besar. Aku rasa sungguh seronok melihat kegembiraan itu. Kadangkala, sentiasa sahaja ada rezeki yang ku simpan buat mereka.Katakanlah, jika ada tiba-tiba menangis kerana kehilangan duit RM1, tiada duit untuk dibelanja di kantin. Wang 1RM daripada kocek lebih berharga diberi kepada mereka. Oh bukan. Aku tidak pula mengatakan aku seorang sahaja yang suka memberi. Kadangkala, aku lihat seorang cikgu di sekolah aku suka belanja cikgu-cikgu lain makan. Mungkin sebulan sekali atau dua kali. Entah alasan apa, kadang-kadang pabila ditanya mengapa mahu belanja " Sempena anak saya yang sudah pandai berleter pada saya "" Hari ini saya belanja sempena kereta saya dilanggar akak cina di bandar semalam "Ada pula yang sanggup membayarkan yuran sekolah anak murid mereka demi mahu menyelesaikan urusan tertangguh. Asyik diminta suruh membayar yuran tetapi hingga ke hujung tahun masih belum datang ke sekolah untuk menjelaskannya. Jadinya, bayar yuran untuk anak murid tanpa diketahui sesiapa. Mungkin, sekarang kalian pembaca sudah tahu rahsia terdapat guru-guru di sekolah yang sanggup membayar yuran anak murid mereka. Ada juga yang sanggup membayar duit kertas fotostat yang beratus ringgit jumlahnya. Apabila ditanya, " Sedekah je lah, kerana Allah ". Jawabnya. Mungkin sepanjang kita memberi, kita jarang menerima ucap terima kasih daripada orang yang menerimanya. Mengapa pula kita membantah dan membentak sombong, kita yang hidup ini jarang sekali mengucapkan alhamdulillah kepada Allah ! Sedang Dia yang banyak memberi memberi memberi sehinggakan kita tidak mampu menghitungnya! Bayangkan seteguk air dapat menyelamatkan diri seorang pelacur kerana memberikannya kepada anjing yang kehausan ! Pernah aku terbaca di suatu buku bahawa ada hadis menyebut menziarahi ibu atau memandang wajah ibu itupun satu amalan sedekah!. Percayalah, tiada ruginya jika kita memberi. Tetapi pastikan niat memberi itu ikhlas dan tulus untuk Nya. Lagipun, mana milik kita? Tiada satu pun milik kita. Nafas yang kita hirup inipun bukan milik kita, pemberian daripada sang pencipta. Ayuh teman. Jangan lupa dapatkan majalah Solusi ni ya. Seribu kali lebih baik daripada sejuta majalah hiburan yang ada di pasaran.  " Ketika anda diliputi kesedihan dan kebimbangan, berbuat baiklah terhadap sesama manusia, nescaya anda akan mendapat ketenteraman dan kedamaian hati.
Kebaikan itu sebaik namanya, keramahan itu seramah wajahnya, dan keikhlasan itu sesuci rupanya. "
Jangan Bersedih. Aidh Bin Abdullah Al Qarni Labels: cikgu Jimi, laments |
posted
by Jimi Wiser @ Tuesday, December 08, 2009

|
|
|
|
Wednesday, December 02, 2009
|
Janji Cikgu Jimi
|

Allah memakbulkan impian aku. Masih ingat lagi tidak dengan entri ini, tentang hadiah pen mahal yang ingin aku hadiahkan kepada yang mengungguli UPSR tahun ini? Ya, Allah telah menyatakan dan memakbulkan impian aku. Aku balut semula hadiah ini, bersama iringan sejambak bunga. Hati aku puas. Sesungguhnya, aku bersyukur kerana masih tidak lupa dengan janji dengan nazar aku. Erti hidup ialah pada memberi. Labels: cikgu Jimi |
posted
by Jimi Wiser @ Wednesday, December 02, 2009

|
|
|
|
Tuesday, December 01, 2009
|
Bercuti
|
 Inilah yang berlaku setiap kali pulang daripada bercuti di kampung suri. Setandan pisang yang diambil belakang rumah mak. Kadangkala, daun pisang pun dibawa pulang. Seikat bunga kantan, daun pandan atau serai. Mak suri yang membuat kerepek pisang yang rangup untuk anak-anak dan menantu-menantunya. Tidak cukup dengan itu, kerepek yang dipesan daripada kilang IKS berdekatan rumah suri juga dibawa pulang.
 Melihat dunia keluarga suri daripada perspektif seorang menantu atau suami. Aku melihat suriku seorang yang dipilih sebagai anak yang memasak untuk semua adik beradik ketika di kampung. Pagi cuti itu, nasi dagang yang dimasak suri mendapat pujian daripada kakak-kakak. Padanlah sentiasa diiringi keberkatan, orang yang sentiasa bersedekah dengan memasak dan memberi makan kepada orang lain pastinya akan dimurahkan rezeki. Setiap kali pulang ke kampung suri, sentiasa terharu dan sebak dengan penerimaan mak suri kepada aku, menantunya yang aduhai banyak benar kelemahannya. Senyuman mak suri dan kemurahan hati mak suri mengingatkan aku erti kasih sayang yang juga wujud dalam setiap hati seorang ibu yang tulus dan ikhlas setiap saat dalam kehidupannya. Labels: laments |
posted
by Jimi Wiser @ Tuesday, December 01, 2009

|
|
|
|
|
|
|
|
Bagaimana
mahu merungkai JIMI?. Pada DNA nya, kelakuannya, sifat mazmumah
atau mahmudahnya?. Mungkinkah JIMI itu sebuah ciptaan, atau
persepsi bagi sebuah realiti? Jujurkah atau hipokritkah JIMI,
tetapi bukankah semuanya begitu?. Mari mendalami JIMI..
:: Mengapa
Jimi menulis?
:: Di
sebalik wajah
|
 |
Skrip
Kehidupan
Anak
Kilang
Muhasabah
Jimi
Laman
Rumah Jimi
Terima
Kasih
Nikmat
Kenangan
Nikmat
Kejayaan
Nikmat
Tangisan
Puasa
dan Kesibukan
Cuti
- Cuti Cikgu Jimi
Pergi
Dulu
Erti
Lelah dan Keikhlasan
Seputar
Kehidupan
Rayuanmu
Musim
Berkurung
Cakar
Kucing
Buku
Raya
Anekdot
Ramadhan dan Syawal
Anak-Anak
dan Mercun Raya
Nikmat
dan Rezeki
Kembali
Sebuah
Alegori Buat Abah
Abah
Telah Pergi
Rindu
Buah
Cinta
Terima
Kasih Hafira
Hadiah
Hari Guru 2010
Selamat
Hari Guru
Rasa
Itu
Racau
Tangan
Jahat
Hujan
Panas
Cetusan
Hati
Ayah
oh Ayah
Melayu
Yang Layu
Dicerap
Teman-Teman
Ibu
Mendobi
Baju
Berlari
Terima
Kasih, Suri. Selamat Bertugas
Akhir
2009
Dunia
Buku Jimi
Cuti
Sekolah Cikgu Jimi
Terima
Kasih Pembaca
Hidup
Untuk Memberi
Janji
Cikgu Jimi
Ayah
dan Ibu III
Ayah
dan Ibu II
Ayah
dan Ibu
Teruskan
Berdoa
Jutawan
Virus
M
Sang
Rasa
Bencana
Makanan
Mendidik
Puasa
Pen
Hadiah Cikgu Jimi
Nasi
Lemak Best Giler
Harapan
25 September
Baju
Raya
Macam
Mana, Cikgu?
Wajah
- wajah UPSR
Alhamdulillah
Kerja
Sekolah, Cuti Sekolah
Tahniah,
Madihah
Virus
dan Stress
Generasi
2009
Cikgu
Jimi dan Bahasa
Van
Hijau Itu
Kejantanan
Yang
Terbaik
Lepat
Pisang Amirul
Belated
Hari Guru
Demi
Azmil III
Demi
Azmil II
Demi
Azmil I
Mudah-Mudahan
Warna-Warna
Alam
Cikgu
Siti
Terima
Kasih Kembali,
Shahril
oh Shahril
Terima
Kasih
Hamba
yang Lemah
Berkirim
Salam
Ingat
Tak Lagi Cikgu?
Kekentalan
Jiwa
Hari
Pertama
Hari
Terakhir
Lepaskan
Aku ke Laut
Debaran
yang Kencang
Soal
Selidik Cikgu Jimi
Guru
Biasa, Guru Murabbi
Nasib
Guru-guruku
Kad
Raya Hanim
Salam
Alifi
Misi
Gigi
Pasca
UPSR
Raya
Lagi
Selamat
Semuanya
Laskar
Pelangi
Duit
Raya
Agen
Perubahan Sosial
Anyway
Cikgu
Bukan Sekadar Cikgu
Azmil
Kehilangan
Shuhaida
Kamala
Melankolia
Lagi
Memoir
Seorang Guru
Tunai
tetap ditunaikan
Berbuih-buih
Choral
Speaking Bermadu
Kak
Imah
Anak
Kampung
Masih
Berbaloikah Lagi?
Surat
Cinta Monyet
Tunai
Janji
Meja
Cikgu Jimi
Cikgu
Jimi
Terima
Kasih
Menunggu
dan Menanti
Hari
Guru Bahagian 3
Hari
Guru Bahagian 2
Hari
Guru Bahagian 1
Teman
Sejati
Kelas
Antonim
I
am Staying Put
Tinta
Merah Cikgu Jimi
Hadi
Haziq
Jerayawara
Sufiyah
oh Sufiyah
Hadiah
Buku
Destinasi
Tugas
Kain
Pelikat
Cuti
Sekolah
Nikmat
Kesyukuran
Hafiz
Khairil
Carpediem
Just
Go and Fly Kite lah!
Perempuan
Melayu Terakhir
Jimi
di Pangkor
Hamimah
Cerita
Hantu
Cinta
Monyet
Puisi
Anak Kecil
Anak
Kecil Beraya
Anak
Bangsaku Malaysia
Aku
Yang Dihina
Duri
Berduri
Bad
Teachers 1
Bad
Teachers 2
Cikgu
Jimi 1
Cikgu
Jimi 2
Kembaraan
Harianku
Tunjuk
Ajarku, Sifu
Guru
Ibarat Lilin
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|