
Aflah (12/9/09 10 28 PM ) : Salam cikgu jimi… sy selalu juga ke blog cikgu..dan apabila baca catatan cikgu..sering buat sy sebak dan tersedu sendiri..terima kasih cikgu..semoga terus menabur bakti buat anak2 murid cikgu..
Duhai pembaca - pembaca blog Jimi Wiser,
Terima kasih tidak terhingga kerana masih setia meluangkan masa dengan membaca dan singgah di blog Jimi Wiser.
Hal sebenarnya, laman blog Jimi Wiser ini adalah satu evolusi episod kehidupan dari beberapa sisi diri kehidupan Jimi Wiser.
Jimi berasa seronok dan terharu kerana blog yang dibangunkan ini mampu memberi inspirasi nurani di hati kalian pembaca setia.
Daripada seleksi filem-filem pilihan Jimi, sehinggalah kepada hasil nukilan peribadi dan kebanyakannya catatan – catatan kehidupan Jimi sebagai seorang cikgu.
Percayalah, Cikgu Jimi bukanlah seorang HERO dalam pengkisahannya dalam blog ini. HERO sebenarnya adalah milik semua guru dan cikgu yang berdedikasi di seluruh negara ini.
Pohon dijauhi daripada penyakit hati yang jijik. Penyakit sum'ah iaitu penyakit mengharapkan pujian atas kebaikan yang dilakukan. Pohon dijauhi penyakit riak. Berbangga-bangga dengan amalan yang dilakukan.
Sesungguhnya, aku pohon dijauhi semua penyakit dalaman yang kotor itu. Dan, tuntas serta jujurnya, pengkisahan entri demi entri tentang hidup aku sebagai seorang guru, ialah sekadar untuk meluahkan tekanan, rasa, persepsi, emosi, empati, kemarahan atau apa jua sebagai terapi dalam hati aku.
Tahukah kalian, jumlah pesakit mental dan emosi yang tegar dilaporkan adalah kebanyakannya bekerja sebagai seorang guru. Aku mahu meluahkan segala juta rasa dalam hati aku pada kanvas putih ini, agar bisa ku lepaskan semua rasa ini, supaya menjadi benih hidup justeru membajai dan menuai rasa kasih sayang sesama kita.
Terima kasih sekali lagi. Selagi terdaya, dengan izinNya, doakan aku cikgu Jimi Wiser dan SURI hatinya yang juga seorang guru, agar tabah, cekal dan bersungguh-sungguh mendidik anak bangsa dengan seikhlas hati. Doakan selalu ya.
Jemput datang selalu ke laman blog yang tidak sepertinya ini ya. Jangan serik-serik. Mungkin ada satu atau dua permata yang kalian temui sebalik jutaan kaca yang terterpa.
Salam. Labels: cikgu Jimi |