Thursday, November 05, 2009
|
Teruskan Berdoa
|

Dipetik daripada majalah SOLUSI, keluaran OKTOBER 2009
Ibu, Teruskan Berdoa
Cucu - cucu yang dimuliakan,
Selama ini kita sering mendengar anak-anak digalakkan berdoa untuk ibu dan ayahnya. Tetapi, kali ini nenek ingin mengajak cucu-cucu supaya selalu mendoakan anak-anak kita.
Nenek tahu ramai ibu yang berdoa bersungguh-sungguh ketika mengandung supaya mendapatkan bayi comel dan cerdik. Rajin berdoa supaya anak-anak yang bakal dilahirkan nanti menjadi anak soleh dan solehah. Kemudian kerap membaca surah Maryam, surah Yusuf dan sebagainya.
Namun apabila anak-anak sudah dilahirkan dan membesar, amalan berdoa ini semakin dilupakan. Maklumlah setelah sihat, si ibu kembali ke alam kesibukan bekerja. Terlupa meneruskan doa-doa untuk si anak. Mereka tinggalkan anak di bawah jagaan pembantu rumah, asalkan selesa makan minum sudah mencukupi.
Semakin hari anak-anak semakin membesar dan si ibu mungkin kurang memantau. Maklumlah tugas ibu di tempat kerja pula semakin banyak dan meletihkan. Sehinggalah satu masa kita terdengar sana-sini anak-anak remaja telah menimbulkan banyak masalah kepada ibu bapa, guru-guru di sekolah dan di pusat pengajian tinggi.
Dimanakah silapnya? Surah Maryam berulang kali dibaca semasa mengandungkan si anak, dibuat aqiqah selepas melahirkan, namun mengapa si anak tidak menampilkan akhlak yang baik?
Cucu-cucu yang bergelar ibu dan bapa,
Kita mesti selalu mendoakan anak-anak dalam situasi apa sahaja. Misalnya ketika mereka hendak mengambil peperiksaan, menjalani sesuatu pertandingan atau ketika menjalani temuduga.
Seeloknya kita kerap berdoa untuk anak-anak kita ketika mereka sedang belajar di sekolah, di universiti, sekalipun mereka sudah berumah tangga. Mengapa? Sebab doa ibulah yang paling mustajab.
Sesungguhnya Allah s.w.t mengetahui segala isi doa dan keinginan yang ada di dalam hati kita sebagai ibu. Namun sebagai makhluk yang amat lemah, nyatakan harapan dan hajat kita kepada Nya setiap hari. Inilah talian hayat yang tidak boleh terputus. Bayangkan anak-anak, mereka bukannya selalu berada di hadapan mata kita. Mereka berada di sekolah, di kolej lebih lebih lagi jika mereka berada di luar negara. Dapatkah kita melihat atau memantaunya sepanjang masa? Tentu tidak berbanding Allah s.w.t yang Maha Melihat. Pandangan kita terbatas. Pengetahuan kita tidak meluas. Allah s.w.t tahu apa yang sedang berlaku dan bakal berlaku. Oleh itu, berhubunglah selalu dengan Nya melalui doa-doa.
Berdoa tidak semestinya dilakukan di tikar sembahyang. Misalnya ketika menghantar anak-anak di sekolah, semasa mereka turun kereta, doakan keselamatan imannya. Ketika memasak, doakan supaya makanan itu bakal menguatkan fizikal dan merajinkan mereka beribadah. Ketika di ofis pula, doakan keselamatan dan akhlak anak-anak dan sebagainya. Nenek yakin, tidak rugi jika terus berdoa dan berdoa…. Dengan penuh ikhlas.
Cucu-cucu yang dikasihi,
Ada seorang ibu bertanya, di mana hendak mencari ustaz-ustaz yang boleh menjampikan anak-anak remajanya yang semakin liar. Anak-anaknya ada yang panas baran, ponteng sekolah, selalu bergaduh dengan orang, keluar melepak rumah kawan dan sebagainya.
Nenek ini pula kurang tahu siapa di kalangan ustaz yang boleh dalam hal mengubat menjampi ini. Tetapi, apa yang nenek tahu, masa kanak-kanak dahulu, kami ini nakal juga. Ibu kami ini ambil air dan bacakan Surah Muhammad. Kemudian dberinya kami adik-beradik minum. Kata ibu, “ Ini air kebal “. Kebal daripada syaitan agaknya. Dulu kenderaan pun tak ada, hendak mencari ustaz di mana?
Nenek percaya ibu ketika itu telah pasrah dan meletakkan segala pengharapan kepada Allah s.w.t . Berhasil atau tidak, bukan manusia menentukannya. Apa yang boleh ibu buat terus berusaha dan berusaha.
Cucu-cucu yang dikasihi,
Kita pernah mendengar salah seorang ibu Mithali yang dicalonkan itu mempunyai ramai anak (melebihi sepuluh orang). Dan anak-anak itu kebanyakannya berjaya memasuki pusat pengajian tinggi. Sedangkan si ibu dan ayah pula hidup susah dan bukan dari kalangan terpelajar. Di manakah kelebihan si ibu dalam mendidik anak-anaknya? Walaupun nampak pada mata kasar anak-anak telah berusaha gigih, namun nenek percaya ada satu kekuatan pada keluarga itu iaitu doa si ibu. Kemudian makanan yang diberikan kepada anak-anak walaupun tidak mewah tetapi hasil bersih daripada titik peluh mereka sendiri.
Zaman dulu, ibu-ibu rajin berzikir ketika mengacau lauk atas dapur. Mereka rajin berzikir ketika mendodoikan anak-anak tidur di buaian dan sebagainya. Namun tabiat ini sudah semakin hilang, kerana ditelan kesibukan agaknya.
Marilah kembali memperbanyak doa dan zikir supaya sekalipun anak-anak ini telah dewasa atau bercucu. Semoga anak-anak kita ini terus mendapat perlindungan daripada Allah s.w.t.
Mak, terima kasih kerana selalu mendoakan untuk anakmu ini. Ketika aku selalu menghadapi zaman peperiksaan di sekolah atau ketika di universiti dulu, aku akan menelefon " Mak, doakan kita berjaya. Kita nak ambil periksa esok " Mak kata, mak akan solat hajat dan berdoa untuk anak mak berjaya.
Anak mak ini pernah jadi Pelajar Terbaik SPM di sebuah daerah, masuk universiti dan berjaya. Anak mak ini mungkin kata ini hasil usaha gigih dan berdikari, tapi anakmu terlupa ada yang sentiasa mendoakan kejayaan dan kesenangan dalam hidup.
Ketika mak mahu menunaikan haji, aku pernah berkata
" Mak, doakan kebahagiaan anak mak ini ketika mak di hadapan Kaabah. Mak belikan quran dan bacakan untuk anak mak ini "
Inilah hasil doa daripadamu Mak. Kadangkala hidup ketika zaman remaja adakalanya tersasar jauh daripada garisan yang lurus. Tetapi, dengan IzinNya aku kembali semula berada di garisan itu dan aku bersyukur kerana doamu Mak, aku masih di sini.
 Mudah-mudahan Mak, aku sentiasa dirahmatiNya. Teruskan berdoa untuk anakmu ini.Labels: cikgu Jimi, laments |
posted
by Jimi Wiser @ Thursday, November 05, 2009

|
|
|
|