
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam memerintahkan seorang pensyarah universiti yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat. Hakim Mohd Nadzri Abdul Rahman Ibrahim, juga memerintahkan Raja Suzana Kassim, 39, dan suaminya, Zulazli Hashim, 43, memenuhi lima tuntutan lain yang difailkan Kassim Othman, 74, dan isterinya, Fatimah Salleh, 66, iaitu membenarkan mereka sepanjang hayat tinggal di sebuah rumah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan.
Mahkamah turut memerintahkan pasangan warga emas itu diberi kebebasan bergerak dan melakukan aktiviti dalam rumah itu serta kawasan persekitaran; diberi kebebasan dilawati anak lain pada bila-bila masa sepanjang hayat; menghormati dan menjaga kebajikan mereka serta membiayai mereka mengerjakan haji. "Saya juga memerintahkan defendan pertama membayar nafkah RM500 sebulan, iaitu RM250 kepada plaintif pertama (Kassim) untuk membayar bil utiliti dan kos penyelenggaraan kawasan rumah serta RM250 kepada plaintif kedua (Fatimah) untuk kos perbelanjaan harian pada setiap akhir bulan sepanjang hayat mereka. "Saya fikir bayaran nafkah itu mencukupi untuk pasangan warga emas seperti mereka kerana anak lain juga perlu bertanggungjawab menanggung mereka. Perintah ini berkuat kuasa serta-merta," katanya dalam penghakiman ringkas kes itu.
Bagaimanapun, hanya Zulazli hadir ketika hakim membacakan keputusan itu. Raja Suzana, anak kelima daripada lapan beradik tidak hadir kerana mahkamah diberitahu peguamnya, Norzaini Nordin, bahawa anak guamnya terpaksa mengendalikan peperiksaan akhir semester penuntutnya. Pada April 2007, Kassim dan Fatimah yang diwakili Haniff Hassan, memfailkan enam tuntutan termasuk nafkah sepanjang hayat daripada anak perempuan dan menantunya kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya itu.
Pada 1993, Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu.
Jimi: Bergaji 5 angka tapi tidak mampu menyara ibu dan ayah kandung sendiri? Apatah lagi berkelulusan dan berpendidikan tinggi?
Sayang, sayang seribu kali sayang, alahai kepada guru-guru yang pernah mengajar dan ilmu yang diperoleh setinggi langit ke tujuh tetapi tidak mampu mendidik jiwa puan pensyarah ini. Sanggup mengusir mak dan ayah sendiri setelah nama tanah dan rumah dipindah milik?
Puan dan Tuan, mengucaplah dan beristighfar. Sebelum ditarik nyawa mintalah ampun dan maaf daripada ibu dan bapa tuan dan puan. Apalah gunanya duit berguni-guni kalau tidak diperoleh redha ibu dan bapa. Tuan dan puan tahukah makna dan maksud anak derhaka?
Lupakah puan dan tuan, susu badan ibu kandung yang diredha mengalir dalam tubuh puan. Puan lupakah darah daging puan hasil percantuman benih, darah daging asal jiwa puan daripada perut ibu puan?
Rupa-rupanya, masih relevan lagi ceritera rakyat Si Tanggang di kalangan kita.
Kepada kita yang membaca kisah ini, marilah kita mengambil iktibar , aku sarankan
1. Jumpalah dan ziarahilah ayah dan mak kita selalu. Takkanlah kita sibuk sampai lupa untuk menelefon.
2. Hadiahkanlah sebanyak mana yang mampu, duit walaupun lima ringgit, walaupun dengan senyuman atau walaupun dengan doa sekalipun, doakanlah kesejahteraan mereka.
3. Setiap pagi hadiahkanlah al fatihah untuk ibu bapa kita walaupun mereka masih hidup.
4. Sentiasa meminta mereka mendoakan kebahagiaan kita. Dan, yang penting bukan kebahagiaan dunia tetapi kebahagiaan di akhirat.
5. Layanlah mereka dengan sebaiknya walaupun mungkin ibu bapa kita tidak sepandai kita yang berijazah sarjana atau berdoktor falsafah tetapi mereka tetap ibu dan ayah kita.
6. Jika kalian mempunyai anak, doakanlah keberkatan ilmu yang diperoleh, supaya ilmu yang diperoleh tidak menghina diri mereka serendah-rendahnya, sebaliknya ilmu yang diperoleh menyelamatkan iman mereka.
7. Jika kalian mempunyai anak, sayangkan mereka dengan mendidik bukan dengan memanjakan mereka tanpa dimarahi atau tanpa ditegur. Sayangkan mereka dengan ajaran agama. Agama akan menyelamatkan diri mereka.
8. Kalau kita berbuat baik kepada ibu bapa kita nescaya anak-anak kita pasti akan berbuat baik kepada kita. Ingatlah selalu.
9. " Tiada bantal yang lebih lembut melainkan ribaan ibu sendiri " Pernahkah kalian merindui meletakkan kepalamu di ribaan ibu kamu?.
10. " Air susu ibu bagaikan aliran sungai di dalam Syurga yang membesarkan kita sehingga mengenal erti kehidupan. Oleh itu agungilah jasa ibu " .
Dalam sebuah hadith ada meriwayatkan, hak yang harus dilaksanakan oleh anak terhadap ibu dan ayah ada sepuluh iaitu:
* Jika orang tua berhajat kepada makan harus diberi makan.
* Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian. Rasulullah s.a.w. ketika menerangkan ayat (Yang berbunyi): " Wa sha hib huma fiddunnya ma'rufa. (Yang bermaksud): " Bantulah kedua orang tua di dunia dengan baik, yakni supaya diberi makan jika lapar dan pakaian jika tidak berpakaian.
* Jika berhajat bantuan harus dibantu.
* Menyambut panggilannya.
* Mentaati semua perintahnya asalkan tidak menyuruh berbuat maksiat dan ghibah (Kasari orang).
* Jika berbicara kepada keduanya harus lunak, lemah lembut dan sopan.
* Tidak boleh memanggil nama kecilnya (Jambal/ gelaran).
* Jika berjalan harus dibelakangnya.
) Suka untuk orang tuanya apa yang ia suka bagi dirinya sendiri, dan membenci bagi keduanya apa yang tidak suka bagi dirinya sendiri Mendoakan keduanya supaya mendapat pengampunan Allah s.w.t. dan rahmatNya Sebagaimana doa Nabi Nuh a.s dan Nabi Ibrahim a.s (Yang berbunyi): " Robbigh fir li waliwalidayya robbanagh fir li waliwalidayya wa lil muminin wal mu'minati yauma yaqumul hisab. (Yang bermaksud): " Ya Tuhan kami, ampunkan kami dan kedua ibu bapa kami dan semua kaum muslimin pada hari perhintungan hisab/hari kiamat.
Aku mulakan dan mengambil nasihat ini untuk diri aku dahulu ya. Marilah sama-sama kita mengambil iktibar daripada kisah ini. Sejauhmana tinggi pelajarannya tidak akan menjamin mulianya seseorang manusia/anak itu. Ya Allah, aku pohon agar dijauhi segala akhlak yang buruk dan keji.
Labels: cikgu Jimi |