Mungkin. Mungkin ia tidak bererti bagi kalian. Hanya sekadar nombor. Atau gred. Alah, apa bezanya 48, 000 ribu calon telah mendapat semua A dalam UPSR di Malaysia pada tahun ini. Lagipun, ia hanya UPSR.
What is the different that can make?Itu bagi kalian yang duduk dalam kotak kubisel yang berhawa dingin. Yang duduk atau berkerjaya di kota kosmo. Atau, bagi kalian yang tahu anak doktor, peguam atau pensyarah mendapat 5A di sekeliling hidup anda.
Big deal. Kata kalian.
Apalah yang nak dimegahkan sangat UPSR 5A itu, bukan?
Tetapi, tunggu. Mungkin seorang daripada calon yang telah mendapat 5A itu boleh memberi bekas terhadap keluarganya, ibu dan bapanya atau dia mungkin bakal merubah hidup kesusahan ayah dan ibunya?
Jika dia anak seorang tukang sapu di sekolah. Seorang bapa yang bekerja diarahkan buat itu dan ini. Hanya memerhatikan gelagat anak-anak remaja melawan guru. Yang sentiasa memerhati anak-anak remaja merokok di tandas sekolah, atau lari ponteng sekolah mengikut belakang pagar sekolah.
Kerana dia hanya seorang tukang sapu, dia berjanji bahawa anaknya pasti tidak akan mengabaikan pelajarannya. Dia pasti akan membimbing anaknya supaya menjadi cemerlang. Tidak perlu bersekolah di sekolah menengah harian yang banyak benar masalahnya.
Dia yang tidak mempunyai kereta, hanya dengan sebuah motor buruk berjanji dengan aku, bahawa dia akan sedaya upaya memberikan perangsang kepada anaknya itu. Setiap malam Isnin, Selasa akan dihantar ke kelas tambahan. Dia juga bersolat jemaah bersama isteri dan anak-anaknya mendoakan kesejahteraan dan keberkatan hidupnya.
Susah. Perit. Sukar. Katanya tentang hidupnya. Dia berjanji anaknya tidak akan mengulangi hidup sesusahnya.
Hari ini, dia yang seorang ayah menangis tersedu-sedu. Keharuan. Anak sulung perempuannya berjaya mendapat 5A di sekolah. Lebih mengharukan, anak itu ialah anak angkat aku dalam program
Anak Angkat tahun ini.
Air mata seorang lelaki. Air mata seorang ayah yang tahu pengorbanannya telah dibalas dan difahami oleh anak perempuannya.
" En. Amin, maaflah, kami cikgu-cikgu dah berusaha sedaya upaya, tetapi ini sahajalah hasilnya, keputusan Hafira... " Aku sengaja bergurau supaya saspens wujud di hatinya. Sambil menggulungkan slip aku menyerahkannya kepadanya.
Slip dibuka, kelima-lima subjek terpampang gred A. Serta merta air mata berlinangan.
" Alhamdulillah, alhamdulillah " itulah kata-kata pertama yang keluar daripada bibirnya.
Cikgu Zuraida di sebelah aku sudahpun mengesat air matanya yang berlinangan. Begitu juga Cikgu Zamri. Tanpa disedari jua, aku pun terharu melihat air mata seorang ayah yang mengalir laju.
" Tahniah, En. Amin. Maaflah, saya bergurau tadi. " aku bersuara memecahkan suasana.
Dia hanya tersenyum. Kemudian memeluk aku.
" Terima kasih cikgu. Cikgu banyak bimbing anak saya. Saya terhutang budi. " En. Amin bersuara.
" Tak de apa, saya lagi bangga dapat menolong " Aku cuba menahan sebak.
Aduhai. Alangkah syukur di hati aku. Misi aku berjaya.
Ya, di sekolah kampung di tempat aku bertugas. Hanya 80 orang murid. Hanya 12 orang murid tahun 6. Dan, seorang telah mendapat 5A. Seorang lagi mendapat 4A1B.
Ya, apalah sangat beritanya dengan kejayaan di sekolah aku berbanding anak-anak kakitangan awam di sebuah sekolah hebat di Putrajaya. 30 atau 50 orang mendapat 5A di sekolah itu?
Tetapi, pencapaian
Hafira paling manis di sekolah kami. Anak seorang tukang sapu sahaja. Sekolah kampung. Sekolah buruk. Cikgu-cikgu pun hanya sepuluh orang sahaja. Sekolah luar Bandar. Tidak ada sesiapa pun sedar dan memerhati atau prihatin.
Ironinya, aku dan guru-guru lain tidak pernah putus asa. Meskipun di pertengahan adakalanya kami berasa lelah dan tertekan, namun inilah hasilnya. Paling mengharukan, kali pertama aku melihat guru kanan sekolah aku menitiskan air mata lelakinya. Ustaz Amri yang terkenal dengan jenaka humornya pun menitiskan air mata.
Ada kenangan perjuangan, kerana sebenarnya sudah lebih 5 tahun kami tidak mempunyai calon yang berjaya mendapat 5A. Akhirnya, usaha kami tanpa putus asa itu berjaya juga diizinkan oleh Allah taala.
Hafira boleh memasuki ke sekolah berasrama penuh MRSM. Dia boleh mendapat bantuan biasiswa pelajaran. Dia boleh belajar tanpa gangguan. Dia boleh mengembangkan kemahiran dan jati dirinya. Dia boleh cemerlang 9A PMR atau 20 A SPM jika dia mahu. Dia boleh memasuki jurusan perubatan atau Sains Forensik.
Pulang ke kampung menjadi anak kampung yang berjaya. Dr. Hafira pakar bedah di Hospital Selayang 15 tahun lagi.
Pada saat itu, aku sudah pun mencecah angka 50 an. Mungkin. Aku pun tidak menghitung betul-betul. Masih lagi guru biasa. Tetap dan berpencen. Hanya sekadar guru cabuk sahaja. Masih lagi berkereta Wira sahaja yang sudah uzur ketika itu.
Harap-harap Dr Hafira tidak lupakan aku sebagai gurunya.
" Singgah sebentar di sekolah ya. Tanyakan khabar cikgu-cikgu di sini. Cikgu-cikgu tidak pernah cemburukan anak-anak murid cikgu. Malah, cikgu berasa bangga lagi."Tahniah Hafira kerana telah memperoleh 5A.
Ya, untuk kalian. Itu kisah seorang yang mendapat 5A daripada puluhan ribu yang kalian baca di surat khabar atau di tv.
Kisah seorang sahaja. Tetapi, percayalah kisah seorang 5A ini sangat berharga. Terutama bagi seorang anak tukang sapu yang berjihad memerangi kesusahan dan kesukaran hidupnya.
Kerana itulah, kalian mungkin tidak mampu memahaminya.Tidak mampu untuk memahami perasaan aku seorang guru biasa seperti aku, yang melihat seorang ayah tersedu-sedan menangis kegembiraan atas kejayaan anaknya mendapat 5A.
Perasaan seorang lelaki yang menangis bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih kepada aku.
Paling aku tidak lupakan.
Aku bersyukur dan berterima kasih kepada Allah tidak terhingga, yang menginsafi aku, kerana aku hanya seorang guru " cabuk" biasa di sekolah kampung ini.