Monday, October 12, 2009
|
Mendidik Puasa
|
Tentu sahaja kalian sudah selesai menyempurnakan Puasa Enam Syawal yang digalakkan buat kita, bukan? Alhamdulillah, kita yang sudah dewasa pun kadangkala agak berat juga untuk menghabiskannya. Apatah lagi, sana - sini semuanya menganjurkan, rumah terbuka, sambutan raya, hai apalah lagi. Ada juga yang menggabungkannya dengan majlis pertunangan, perkahwinan dan lain lagi.
Alhamdulillah, aku sudah menyempurnakan puasa sunat ini. Tunggu. Cerita ini bukanlah tentang cerita aku. Ini cerita puasa enam Syawal anak-anak murid aku.
Satu hari, aku masuk ke dalam kelas. Memerhatikan segelintir anak murid aku yang masih lagi tidak hadir. Menyambung raya barangkali.
" Cikgu puasa hari ini. Puasa enam. Puasa yang disunatkan dalam bulan Syawal "
" Kamu tahu tak apa kelebihannya ? "
Aku tidak putus-putus bercerita. Panjang dan meleret. Kelebihan dan segala ilmu cetek yang aku tahu tentang Puasa Enam.
" Siapa nak ikut cikgu, kita puasa esok. Hari ini masuk hari kedua cikgu berpuasa. Cikgu tunggu sampai kamu habis, sampai habis hari keenam. Nanti kita beraya sama-sama. Kita bawak makanan sama-sama dan kita makan sama-sama. Tak pun cikgu bagi duit raya untuk kamu lagi sekali. Tapi ingat, kita puasa sunat ni kerana Allah "
Tiada siapa yang mahu mengangkat tangan. Mungkin sudah penat agaknya setelah sebulan berpuasa. Ada yang cuma tersenyum. Ada pula yang tersengih-sengih seolah sudah pasti tidak mahu melakukannya.
Tidak mengapalah. Tahun hadapan aku pujuk mereka lagi. Aku memujuk begitu dalam hati kecil aku.
Minggu berikut berlalu, aku tiada di sekolah. Menghadiri kursus Penandaan Kertas UPSR BM. Rasa rindu bersarang melihat wajah-wajah anak kecil itu. Masuk semula ke dalam kelas. Sibuk bertanya itu dan ini. Memulakan sesi pengajaran. Loceng untuk waktu makan pun berbunyi. Masing-masing beratur ke kantin sekolah. Aku lihat ada empat lima orang murid perempuan yang seperti malas ke kantin.
" Kamu kenapa? Dah makan ke? "
Sambil tersenyu malu.
" Kami puasa enam cikgu " Jawab Sarah.
" La, ye ke ? Hari ini yang ke berapa ? "
" Baru hari pertama "
" Alhamdulillah.Nanti kita raya sama-sama ya. Dah habis sampai hari enam nanti, beritahu, cikgu belanja makan kat kantin ek "
Masing - masing seronok mendengarnya. Bukan main lagi. Oh tidak. Bukan mereka yang seronok, aku yang sebenarnya teruja. Alhamdulillah. Tidak habis-habis aku mengucap syukur.
Andainya aku tidak mampu mendidik semua murid aku, cukuplah seorang yang menyempurnakan misi aku, aku masih puas hati. Cita-cita aku bukan mahu menjadi cikgu, aku mahu menjadi pendidik. Menanam nilai dalam diri mereka.Labels: cikgu Jimi |
posted
by Jimi Wiser @ Monday, October 12, 2009

|
|
|
|