Aduhai, rasa sebak mahu meninggalkan Ramadhan yang hampir menemui hujungnya.
Membayar zakat fitrah sepertimana yang telah difardhukan. Mudah-mudahan akan diberkati keseluruhan kehidupan aku dan suri.
Menerima layangan kad raya daripada anak-anak murid aku. Aku juga menerima kad-kad daripada bekas-bekas murid yang pernah menuntut dengan aku dahulu. Kini, mereka semua sudah belajar di sekolah menengah. Sudah pandai menulis dengan bahasa puitis, bahasa cintan cintun remaja sekolah menengah. Harapnya, tidaklah cepat terbuai dengan virus-virus yang jahat itu.
Seperti lazimnya, barulah tergesa-gesa aku mencari kad-kad " kitar semula " untuk dibalas semula kepada yang mengirimkannya.
Aku juga sibuk menukarkan duit kertas sebagai "duit raya" untuk anak-anak murid aku yang berpuasa penuh tahun ini.

Sibuk-sibuk berbual dengan anak-anak murid kelmarin, seorang demi seorang aku bertanyakan hal-hal sambutan raya seperti persiapan raya, balik kampung dan sebagainya.
" Balik raya mana tahun ni? "
" Kampung belah ayah/mak kat mana ? "
Ada seorang murid lelaki, sementara aku menandakan buku latihannya, dia berdiri bersebelahan aku.
" Dah beli baju raya? "
" Hmm tak. Tak beli. Mak kata pakai je baju raya yang lepas-lepas "
" Oh ye ke? Mak bulan puasa ni tak kerja kat restoran tu ke ?"
" Mak dah tak kerja dah, mak duduk rumah, mak tak sihat "
" Ooo kirim salam kat mak ya."
" Puasa penuh tak ni, ada yang ponteng? "
" Belum lagi "
" Alhamdulillah. Tunggu sampai hari terakhir sekolah ya. Cikgu bagi duit raya kat kamu "
Aku menguntumkan senyuman paling manis sambil menepuk belakangnya beberapa kali. Dalam hati rasa sebak, Shukri beraya tahun ini dengan baju tahun lalu. Tidak seperti kawan-kawannya yang telah kutemu bual semuanya berbaju baru.
Pasti ada sahaja yang menginsafkan diri aku tahun ini.

Akhirnya aku sematkan dalam hati untuk tidak membeli apa-apa untuk aku tahun ini. Pakaian baju Melayu tahun ini, suri yang belikan. Untuk pakaian tambahan lain, tidak payahlah.
Untuk suri, aku belikan jubah labuh buatnya. Untuk ibu, berikan duit belanja kerana tidak mampu memahami citarasa ibuku, untuk ayah sudah kubelikan baju.
Untuk Azmil dan keluarganya sudah juga aku belikan sedikit pemberian.
Untuk aku sendiri, tidak mengapalah. Aku sudah ada apa yang aku inginkan.