Sedari tidak, kalian yang telah bersama aku selama ini, yang menjadi pembaca setia blog aku, ku khabarkan sudah 3 bulan aku menjadi suami bagi suri aku. Perjalanan hidup baru yang singkat dan tidak layak untuk dikomen panjang-panjang. Apa yang berlaku sehari demi sehari, aku dan suri pelajari dan jadikannya landasan untuk membina hubungan yang lebih kukuh.
Jjurnya, masih banyak lagi kawan-kawan aku yang masih membujang sehingga kini. Mereka hampir semuanya golongan professional muda dengan gaji beribu-ribu angka, hmmm memang jauh lebih berjaya daripada aku. Ada yang sudah mahu membeli rumah kedua, dan sudah selesai pun membayar rumah yang pertama. Alhamdulilah rezeki mereka, kenapa pula aku yang mahu persoalkan, bukan?
Mungkin rezeki aku bukan pada mata wang ringgit. Gaji seorang guru cukuplah untuk makan pakai sahaja. Tiada kesempatanlah untuk Hush Puppies atau Levis Original, Nak merasa Dockers Khakis atau Timberland aduhai tak payahlah bercita-cita tinggi. Laptop aku cuma bercapkan Acer sahaja, kerana ia paling murah.
Merungut itu tidaklah tapi seperti yang aku katakan tadi, aku percaya rezeki aku di tempat lain.
Aku percaya salah satu rezeki yang aku dapat baru-baru ini ialah suri aku. Suri aku ialah rezeki yang Allah berikan kepada aku. Dahulu, aku tidak fikir hidup aku akan dijaga oleh orang lain.
Aku masih duduk di rumah sewa. Belum mampu pun untuk membeli walaupun sebuah rumah teres. Rumah yang aku duduki kini masih tidak bersofa. Hanya beralaskan tikar buluh sahaja, tempat kami beristirehat menerima tetamu yang sesekali datang. Kalau bercakap melaung sahaja bunyinya kerana tiada barang atau perabot jatimas yang memenuhi ruang mungkin ada bagi sesetengah di rumah orang lain.
 Tapi aku bahagia. Sungguh. Foto yang kutampalkan di atas menunjukkan segalanya. Aku bersyukur punyai suri yang pandai memasak. Kuih karipap yang diuli, dibuat inti dan dimasak suriku sendiri, lauk paprik yang cukup dengan rasa sosnya. Meskipun kami hanya bersila atas safrah sahaja tapi alhamdulillah. Rezeki.
Kadangkala, rasa mahu mentis air mata. Rasa syukur nian atas nikmat pemberiannya. Ada orang punyai gaji beribu-ribu, duduk atas mahligai "penthouse" tapi masih rasa gelisah. Alhamdulillah, rasanya aku tidaklah gelisah seperti itu.
Hari ini, rezeki datang lagi. Tahun ini aku akan menjadi Pemeriksa Kertas Bahasa Melayu UPSR yang dilantik oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. Aku anggap ini rezeki sungguhpun orang lain menganggap ini beban tugas. Setidak-tidaknya, anak-anak murid aku akan mendapat untungnya kerana mereka akan mendapat seorang guru bahasa Melayu yang juga seorang pemeriksa kertas awam. Aku akan membimbing mereka supaya dapat mengungguli kertas Bahasa Melayu dengan cemerlang.
Alhamdulillah. Rezeki tu. Mohon dimurahkan lagi rezeki. Walaupun rezeki itu kita tidak dapat melihat dengan mata kasar kita.
Kawan-kawan, bisikkanlah dari kata hatimu. Allah maha mendengar, dan Allah maha pemurah.Labels: cikgu Jimi |