" Amirul nak balik dah ke? "
Tanyaku kepadanya. Aku melihatnya sedang menunggu neneknya mengambilnya untuk pulang. Amirul hanya mengangguk sahaja. Menjawab pertanyaan aku.
Amirul ialah anak yatim kematian ayahnya baru-baru ini yang ceritanya telah ku tulis di blog ini. Nasibnya lebih malang kerana dia seorang murid kurang upaya yang tidak mampu berjalan pantas. Kakinya cacat sebelah, yang sentiasa berjalan perlahan - perlahan.
Baru-baru ini guru kelasnya merungut kerana Amirul suka mencarut dan mengejek kawan-kawannya. Kadangkala diludah air liurnya kepada kawan-kawannya. Satu persatu murid-murid mengadu kepada guru disiplin dan guru kelasnya.
" Ya allah, bagilah saya kekuatan melayan karenah anak yatim yang seorang ni. " Mengeluh cikgu Norafizah setelah masuk ke dalam bilik guru, sesudah mengadu hal Amirul.
" Hari itu lagi dahsyat cikgu, dia boleh siap ejek neneknya, dia cakap apa tau… "
" Hei,orang tua, kamu ke mari sini "
Kami guru lelaki gelak besar tatkala mendengarnya, kerana kami tahu Amirul hanya mengajuk cerita-cerita klasik hitam putih Tan Sri P. Ramlee. Sungguhpun demikian, aku akui ejekan itu sangat membahayakan emosi jiwanya.
Amirul sebenarnya mahu melepaskan perasaan geram, marah dan lara hatinya. Fizikalnya, dia seorang kanak-kanak yang lemah, lantaran dia tidak mampu dan tidak dapat berlari apatah lagi mahu berjalan pantas. Kasihan memang kasihan. Tetapi, perangai dan kelakuannya memang menjengkelkan.
Aku tanya Amirul sekali lagi.
" Amirul nak balik dah ke ? "
" Mari cikgu angkatkan beg Amirul ya "
Beg sekolah Amirul memang tidak pernah dipikul Amirul. Selalunya setiap pagi ibunya akan membawa begnya dan meletakkan di dalam kelas. Pada waktu balik samada kawan sekelasnya atau neneknya yang mengangkatkannya.
Tetapi, kadangkala aku sentiasa mengangkat beg Amirul dan menyerahkan kepada neneknya. Itu sahaja yang aku buat bila aku ada kelapangan. Itupun sekali seminggu kerana aku mengajar di kelasnya pada waktu terakhir.
" Apa dalam plastik tu. Sedapnya kuih tu? " Aku bertanya.
" Kuih lepat, cikgu. Nenek kami yang buatkan pagi tadi. Tadi kami tak larat habiskan. Banyak sangat nenek masukkan " . Airil menjawab soalan aku.
" Cikgu nak? Ambillah cikgu, kami bagi " Amirul tiba-tiba berkata.
" Eh, takpe, cikgu tanya je lah " aku menjawab.
" Alah cikgu ambil je, kami dah kenyang " Amirul memujuk.
" Ok, cikgu ambil. Terima kasih ya. " Aku mengalah lalu mengucapkan terima kasih.
Aku mengangkat begnya yang berat dan menyerahkan kepada neneknya yang sudah menunggu dengan motorsikalnya.
Sepanjang aku mengajarnya, ironinya aku tidak pernah mempunyai masalah dengan perangai Amirul yang dikatakan keterlaluan oleh cikgu-cikgu yang lain. Mungkin sahaja sebab aku ini seorang guru lelaki, Amirul tidak berani membuat perangai kerana aku seorang guru yang tegas.
Seingat aku, ibu aku yang juga merupakan bekas seorang guru pernah menasihati aku, jika ada anak yatim atau anak yatim piatu selalulah mengusap belakang kepalanya sambil berdoa di dalam hati supaya Allah taala mengampunkan dosa- dosa kita dan dosa-dosa keluarganya.
Aku sentiasa mengusap belakang kepala Amirul dan aku selalu mengangkat begnya meskipun aku boleh sahaja menyuruh anak-anak murid yang lain tolong mengangkatnya.
" Hai, saya guru kelas dia pun tak pernah dapat apa - apa pun daripada Amirul, inikan cikgu Jimi dapat pulak lepat yang dibuat neneknya, alahai bertuahnya badan. " Kata Cikgu Norafizah apabila aku menceritakan tentang lepat pisang yang aku dapat.
Aku tersenyum sahaja. Barangkali berkat nasihat mak aku. Dalam hati berbisik, " mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa aku dan dosa-dosa keluarga Amirul yang lalu. "
Kalian jika ketemu kanak-kanak yatim, lakukanlah sepertimana yang ku lakukan ya. Inshaallah hatinya sejuk melihat senyuman dan merasai belaian kita. Belailah dengan penuh kasih sayang dan penuh simpati. Kasih sayangnya lebih manis daripada kuih lepat pisang.
 Labels: cikgu Jimi |