Kalaulah insan di dunia ini tahu dan maklum akan makna tidak berputus asa. Kalaulah insan di dunia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah itu maha mengetahui dan maha mendengar.
Dengan limpah dan kasing sayang Nya, aku mulakan kisah iniā¦
Masih kalian ingat lagikah pada kisah
Azmil?. Kisah kasih sayang aku sebagai seorang guru kepadanya? Kalian berkata kisah yang ku tulis itu menyebakkan hati kalian semua.
Tetapi, kisah Azmil tidak berakhir setakat di situ sahaja. Setakat aku membiarkan dia pergi meninggalkan alam persekolahan rendah ke alam persekolahan menengah. Ironinya, Allah itu tidak mahu aku melepaskan dirinya begitu sahaja. Allah mahu menguji aku, sejauhmanakah aku sanggup
berlengan basah untuk menyelamatkan jiwa Azmil yang hampir lemas di lautan.
Pada bulan 11 cuti tahun lalu, saat aku berhempas pulas menyelesaikan masalah peribadi hidup aku. Menghabiskan cuti semester persekolahan 2008 yang menyiksakan, ibu dan ayah aku yang menyelesaikan saki - baki hidup bersama yang tertinggal. Ku kutip bersamanya lanar dan pedih dan kulempar, ku buang sehari demi sehari mengajar aku tabah.
Dan, aku lupa ada sebuah jiwa yang telah aku abaikan. Telah aku tinggalkan. Aku ingatkan dia sudah bersedia untuk menghadapi dunia persekolahan menengah dengan tabahnya. Siapa sangka, tuhan telah menduga dirinya menjadi berubah sekelip mata.
Awal 2009, desas - desus yang ku dengar mengatakan bekas anak angkat aku, Azmil sudah kehilangan arah. Sudah sesat dalam kehidupannya. Dalam usia baru mencecah 13 tahun, rupa -rupanya sudah tersesat jauh. Begitulah sekiranya jiwa dan dirinya diabaikan, cuti yang panjang itu telah mengubah jiwanya berkawan dan berteman dengan remaja-remaja kampung yang sudah rosak. Rosak dalam makna tidak meminati alam persekolahan. Berpeleseran malam dan siang dengan motor kapcai membuang masa dengan merokok, mengangkat tayar hadapan motosikal mereka atau apa sahaja kebodohan mereka.
Dan lagi. Dan lagi. Pelbagai versi kisah buruk Azmil yang aku dengari.
" Bekas anak angkat cikgu tu, Azmil bergaduh dengan geng budak cina di sekolah menengah. Dengan geng budak - budak kampung. Tak sedar diri, ayah bilal di surau, anak dah menjadi makin teruk "Aku dengar dan mendengar cerita -cerita orang di telinga. Pedih benar mendengarnya. Mengapa ya? Azmil itu anak orang lain. Bukan ada darah daging apa-apa dengan aku. Bukan sesiapa pun. Arghhh program anak angkat - mento-mentee itu pun sudah berakhir. Azmil pun sudah mendapat 3A 2B dan sudah pun memasuki sekolah menengah. Biarkan. Biarkan dia dengan dunianya.
Tetapi mengapa ya. Mengapa Allah sebakkan hati aku?. Meresahkan jiwa aku tatkala aku mendengar semua keburukan Azmil?. Aku menjadi kecewa, kadangkala murung dan tidak bermaya mendengarkan semua itu. Ada sekelumit perasaan yang jauh rasa tersinggung dengan cerita-cerita itu.
" Hai, cikgu Jimi, takkanlah cikgu anggap Azmil tu macam anak betul-betul ? " Tanya seorang guru apabila aku menyatakan kesedihan aku dengan perubahan sikap dan kelakuannya.
Mustahil aku berpura-pura mengambil berat dan prihatin akan dirinya yang lalu. Mustahil aku melakukannya hanya semata-mata kerana aku mahu gaji aku pada setiap hujung bulan sahaja. Demi Allah, bukan kerana semua itu.
" Biarkan dia. Budak-budak lelaki kampung ni memang macam ni. Masuk sekolah menengah dah jadik haprak. Merempit, merokok, melawan cikgu-cikgu di sekolah menengah, pmr dapat teruk, spm nanti lagilah teruk, lepas tu kerjalah setakat kerja-kerja bodoh. Sedangkan bekas murid perempuan kita kental jiwanya, ada yang masuk IPT. "
" Cikgu Jimi, kan saya dah kata. Azmil tu akan tetap dipengaruhi dengan rakan kampung dia. Budak-budak lelaki kampung ni memang dah tak boleh diselamatkan lagi " panjang lebar cikgu itu menerangkan kepadaku.
Begitukah kesudahannya? Begitukah akhirnya perjuangan aku membela dan mendidik seorang manusia yang rapuh jiwanya seperti Azmil. Bekas juara catur daerah aku?, menjadi satu-satunya atlet sekolah yang layak dalam pemilihan bola sepak negeri Perak bawah 12 tahun ?
Ya, Azmil yang aku hadiahkan coklat Crispy setiap kali kertas Pemahamannya tertinggi daripada kawan-kawannya. Azmil yang kuhadiahkan set catur baru kerana memperoleh 100 markah dalam ujian pemahaman. Satu rekod yang belum pernah dipecahkan oleh mana-mana bekas murid aku selama tujuh tahun aku bertugas di sekolah ini. Azmil yang menangis hiba di bahu aku tatkala sedih meninggalkan aku guru sekolah rendahnya pada hari terakhir persekolahannya.
Begitukah sudahnya Azmil, anak kampung yang akhirnya terpaksa menyerahkan jiwa rapuh hormon remajanya kepada budaya yang sangat picisan sedangkan aku tahu Azmil boleh pergi jauh melangkah dunia tanpa sempadan, dan menjadi anak kampung yang berjaya.
Aku merintih hiba. Dalam hati aku menangis. Menangis semahu-mahunya. Kadangkala lena tidurku diganggu dengan rasa beban yang menikam jiwa aku. Terasa disiat-siat mayang halus hati aku. Akhirnya, mata aku bergenang juga mengenangkan senyuman sengih Azmil yang terkocoh-kocoh mahu menjawab soalan yang aku tanyakan di dalam kelas. Azmil oh Azmil. Mengapa menjadi begitu sekali?
Dapatkah aku membayangkan dirinya, bermalam embun malam melepak di kaki lima kampung. Dengan kawan-kawan kampungnya menceritakan tentang babak-babak filem vcd lucah yang ditonton mereka. Atau menceritakan dengan sia-sia hidup mereka yang tidak bertujuan. Akhirnya bila dewasa kerja mengangkat kayu dan simen membuat rumah orang, dengan hanya bermodalkan motor ayahnya meneruskan hidup menjadi Melayu yang sia-sia. Yang akhirnya beranak-pinak keturunan mereka dengan kemiskinan persis tidak mahu mengubah nasib dengan pelajaran. Mengulangi kitaran kehidupan yang sebegitu. Ya, kitar kehidupan anak kampung yang begitu klise. Terbiar bukan kerana kemiskinan alami, tetapi kemiskinan akibat tersilap memilih kawan, memilih hitam daripada putih. Inilah kebodohan orang Melayu. Yang mengabaikan pelajaran dan pendidikan walhal itulah jalan keluar dirimu Azmil.
Azmil, sedarilah ayah kamu hanya bekerja mengutip botol-botol kosong, lalu dicuci dan dijual semula? Azmil, sedarilah ibumu hanya kerja mencuci pinggan di restoran? Azmil, sedarlah kamu, arwah kakakmu yang meninggalkan kamu, sebagai satu-satunya harapan tunggal ayah dan ibumu? Aduhai, alahai mengapa budak sebijak kamu wahai Azmil boleh terjebak dengan dunia yang tidak matang ini?
Begitulah rintihan aku.
Apakah aku akan menuruti dan membiarkan sahaja Azmil menjejaki dunia barunya yang silap dan salah itu? Demi Allah, cikgu Jimi tidak akan membiarkan sekali-kali ianya berlaku. Demi Allah.
Biarlah aku masuk dan campur tangan dalam keluarga dan rumahtangga orang demi anak muridku. Demi
Azmil.