Pernahkah saudara, ketika berada di pantai, merenung jauh pada lautan yang tidak bertepi? Atau ketika mendaki gunung yang tinggi atau berada di pinggir sawah padi menghijau luas, saudara memikirkan mengenai alam ini?
Berfikir mengenai kecantikan alam, keunikan, keharmonian dan kedamaiannya?
Perhatikan juga pada warna-warna alam yang bercampur-campur antara hijau, kuning, biru, merah, kelabu dan hitam yang pendek kata, dengan bermacam-macam yang cukup mempesonakan.
Pernahkah terlintas di fikiran saudara, bagaimana insan seperti saudara yang asalnya dilahirkan sepanjang 6 inci dan buta huruf tetapi kini sudah boleh membaca, menulis dan mengitung? Justeru, dengan kebolehan itu, saudara berupaya membina bangunan yang tinggi-tinggi, gedung-gedung yang indah dan kota-kota besar? Tentu rasanya saudara pernah memikirkan perkara-perkara yang disebutkan ini. Maknanya saudara adalah makhluk ciptaan tuhan yang cukup istimewa.
Kita bukan sahaja boleh merenung dan mengambil iktibar mengenai keindahan alam. Kita juga boleh menggunakan ciptaan tuhan itu untuk menghasilkan sesuatu mengikut cita rasa kita. Ertinya, kita boleh membangun dan mengubahsuai alam tabii ini mengikut cita rasa kita.
Itulah keistimewaan insan secara mudah kita terjemahkan. Manusia adalah satu-satunya makhluk tuhan yang berupaya menyimpan dan mengembangkan ilmu pengetahuan. Kata Aristotle tokoh falsafah Yunani, satu-satunya sifat manusia yang tidak boleh dikongsi dengan haiwan adalah keupayaan mencari ilmu.Manakala seorang ahli sastera dan ahli fisiologi Islam bernama Abu Hilal al Askari berkata,
“ Semenjak kami tahu mengenai kelazatan ilmu, tidak ada lagi kelazatan lain yang dapat menyenangkan kami lagi “
Jika ilmu itu sama penting dengan makan dan minum, maka tentunya pengorbanan dan curahan ilmu para guru juga sama penting dan sama mulia dengan makanan dan minuman. Jika ilmu itu membolehkan kita merenung alam dan mengambil iktibar dari alam, tentulah para guru juga sama pentingnya dengan lakaran alam maya yang kita saksikan ini. Sebab itu, Islam meletakkan taraf guru lebih tingi daripada orang lain.
Jika para ahli sufi menghubungkan ikatan rohani mereka dengan para “ guru mursyid “ mereka dengan “ rabitah syarifah” iaitu ikatan mulia dengan guru, apalah janggalnya jika kita juga menghubungkan ikatan rohani kita dengan para guru kita. Caranya adalah kita mengingati guru kita, menghadiahkan pahala bacaan doa dan kebajikan kepada mereka, mengunjungi mereka.
Amat malang, jika kita kadang-kadang bersua dengan guru sendiri, tetapi menjauhkan diri. Malu untuk menyapa guru. Malu memberitahu kita adalah anak muridnya. Malah, kadang-kadang malu itu muncul kerana kita sudah berjawatan tinggi, sedang guru itu sudah pencen, masih menggunakan kereta lama, kurus, sakit yang rasanya tidak layak disapa lagi.
Tetapi, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, jika bukan atas usaha guru itu, di mana kita pada ketika ini?
Daripada buku Cerita-cerita Motivasi untuk Jiwa. Labels: cikgu Jimi |