Tidak sabar dan betah rasanya, memulakan musim baru persekolahan yang bakal bermula esok pagi. Menyaksikan anak-anak kecil yang bertambah besar akibat cuti panjang, yang asyik makan tidur di rumah sahaja. Melihat anak-anak hingusan kembali dengan malu-malu kucingnya sambil tersenyum sipu. Ataupun, merindui salam anak - anak murid yang tidak pernah jemu memberikan salam.
Memang aku rindukan semua itu.
Mengumpul semula rasa dan semangat. Meneruskan perjuangan yang pastinya belum berkubur dan berakhir. Tahukah kalian, tahun 2009 ini ialah tahun ke 8 aku menjalani hidup sebagai seorang guru. Dua tahun awal di sekolah menengah, dan selebihnya pula di sekolah rendah.
 Pada setiap awal tahun, rasa rindu menghidu buku baru itu. Ya, Buku Rekod Persediaan Mengajar. Setiap tahun, setiap guru dibekalkan buku ini. Buku maha penting bagi setiap guru, segala rancangan pengajaran dan pembelajaran ditulis tangan bagi satu sesi setahun persekolahan.    Aku membelek semula Buku Persediaan tahun 2008, tahun sebelumnya. Melihat tulisan tangan aku. Atau membelek tampalan-tampalan. Memerhatikan nama-nama yang kucatat markahnya yang sudahpun beralih ke persekolahan menengah seperti Azmil, Zaida, Hanim dan Shuhaida. Rindu sungguh aku akan kelibat mereka.
Aku rindu dan penuh berinspirasi untuk kembali beraksi semula. Melakukan musim baru dengan sehabis daya dan sebaik mungkin. Selamat kembali semula warga sekolah semua. Semoga tahun ini membawakan barakah, rezeki dan kejayaan yang berterusan.
Dalam sebuah buku yang kubaca menulis,
If you want to enjoy and be happy for a day, organize a party, If you want to enjoy and be happy for a week, go for a vacation, If you want to enjoy and be happy for a year, grow a garden, If you want to enjoy and be happy for a lifetime, develop human beings
Alhamdulillah, aku gembira hidup dan bernafas di muka bumi ini, mendapatkan rezeki hidup dengan menjadi seorang guru. Ada orang, sangat benci dan malas bangun pagi untuk meneruskan kerja seharian mereka. Tetapi, aku syukur aku bangun awal pagi, dan bercinta dengan kerja aku. Alhamdulillah. Apa lagi yang aku mahukan.
Labels: cikgu Jimi |