
sms diterima " jimi, lama sangat bercuti daripada menulis, pergi mana menghilangkan diri? "Prolog
Dalam sebuah filem kegemaran aku yang berjudul Life As A House, pendukung watak utamanya seorang lelaki pertengahan tahun. Seorang lelaki yang sudah kecewa akan hidupnya. Penceraian. Kebahagiaan jauh benar daripada hidupnya. Dipecat daripada pekerjaannya. Dan, akhirnya dia mengidap kanser yang bakal menemukannya dengan maut. Mahu membetulkan kesilapannya, dia mengajak anak lelakinya sama-sama membina sebuah rumah sebagai kenangan bersama. Dalam sebuah dialog antara dia dan anak lelakinya " Dah berpuluh-puluh tahun ayah tak bahagia dalam hidup "
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Letih dan Lelah
Aku teringatkan kata-kata ibuku satu hari yang sedang menangisi nasibnya
" Mak dah lama tak bahagia dalam hidup, mak hidup satu rumah ni kerana anak-anak mak, dah berpuluh-puluh tahun rasa sedih "
Aku hanya mendiamkan diri mendengar keluhan mak aku. Hanya membatukan diri tanpa meluahkan apa terbuku di hati. Ibarat keluhan dalam sebuah filem.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Pisah
Waktu itu aku masih kecil. Barangkali masih di persekolahan rendah lagi. Sedang aku dan adik beradik di ruang tamu, kedengaran bising dan pertelingkahan di dapur.
Akhirnya suara ayah dan ibu bertengkar semakin jelas dan rapat kepada kami. Ayah berdiri di hadapan tiang seri rumah.
" Kalau begini sudahnya, along, abah nak tanya kamu. Nanti kamu nak duduk dengan siapa? Abah atau emak? " Tanya ayah aku kepada abang sulung aku.
" Ngan mak " Along, abang sulung aku menjawab pantas.
Emak sudah menitiskan air mata. Sungguhpun masih kecil kami ketika itu. Tetapi kami sudah mengerti apakah maksud dan makluminya.
Anehnya, perkara besar yang kami nantikan itu tidak berlaku waktu itu. Tidak berlaku. Tidak berlaku. Tidak berlaku. Hari demi hari. Bulan demi bulan. Tahun demi tahun. Berpuluh tahun berlalu. Along sudah besar. Dah berkahwin. Ada anak. Aku sudah bekerja. Kami semua sudah besar.
Sehingga ia kembali menjengah.
Kenyataan: Ayah dan ibu aku sudah berpisah secara rasminya. Setelah sekian lama menahan kesabaran dan kepedihan hidup, ibu aku mahu aku dan adik beradik yang lain merelakan perpisahan ini. Setelah berpuluh tahun lamanya. Pisah akhirnya.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Endlog
Ya, untuk menjawab soalan yang bertanyakan kemanakah hilangnya aku dalam dunia blog. Aku ada. Cuma aku menghadapi kekusutan dan kegetiran paling besar dalam hidup. Ada hari aku menangis. Ada hari aku bungkam dan buntu. Ada hari, membilang hari berharap ianya tidak berlaku. Tetapi, ianya telah berlaku.
Pohon diberikan kekuatan. Labels: laments |