Kelmarin, ialah hari terakhir musim persekolahan 2008. Murid-murid akan bercuti selama hampir dua bulan, tetapi sebagai guru masih banyak lagi tugas pendokumentasian yang perlu disiapkan. Pelbagai laporan, penyelesaian borang dan statistik markah peperiksaan dan sebagainya.
Buat mereka yang mengambil berat membaca catatan blog aku, keputusan UPSR telah pun diumumkan. Alhamdulillah, secara peribadinya subjek yang aku ajar mencatatkan rekod pencapaian kualiti yang paling tinggi dalam 5 tahun ini.
" Tahniah cikgu Jimi, budak cikgu ramai yang dapat A dalam subjek yang cikgu ajar " kata Guru Besar kepada aku.
Saat memandang slip kertas, keseluruhan debaran itu telah lerai dan akhirnya, aku bersyukur usaha keras selama ini berbaloi dan menuaikan hasilnya. Faktanya, tahun ini jumlah yang memperoleh 2A dalam subjek aku iaitu Pemahaman dan Penulisan ialah yang tertinggi. Alhamdulillah.
Tapi, pada satu sudut yang lain, keputusan subjek Matematik dan Sains tidak seperti yang diharapkan. Rasa kasihan pula kepada cikgu-cikgu yang mengajarnya, sedangkan aku tahu betapa mereka berusaha keras lebih daripada usaha aku.
Pak Menteri dan orang-orangnya sibuk mencanangkan berita "gembira" di media tentang keyakinan penggunaan bahasa Inggeris dalam dua subjek tersebut. Apa yang mereka khabarkan, hanyalah khabar benar tentang pencapaian anak-anak kota. Bukan anak-anak desa seperti di sekolah aku. Bukan anak-anak di pedalaman Sarawak dan Sabah. Sedangkan, keputusan UPSR bagi hampir semua sekolah yang berjiran dengan sekolah kecil aku dengar khabarnya, jatuh merudum bagi keputusan dua subjek tersebut. Sekolah elit yang berhampiran dengan sekolah aku pun hanya memperoleh seorang calon 5A sahaja.
Aku culas mahu mengomen isu ini. Sedangkan aku rasa orang yang layak ditanya tentang keberkesanan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ialah guru dan muridnya. Tetapi, lazimnya guru-guru hanyalah balaci yang mengikut arahan si tikus yang mahu membaiki labu-labunya.
+++++++++++++
Hari terakhir aku himpunkan semua murid tahun 6 yang hanya berjumlah 14 orang itu. Aku titipkan nasihat dan amanat yang terakhir. Satu-persatu nama mereka disebut, dan aku menyampaikan kata-kata terakhir secara khusus.
" Setiap tahun, hari terakhir adalah hari yang sedih bagi cikgu. Kerana apa? Sebab tahun hadapan cikgu tidak lagi menyebut nama-nama kamu lagi, dan cikgu tidak nampak lagi kelibat kamu, makan di kantin, mendengar celoteh dan suara kamu lagi "
" Cikgu memohon maaf daripada kamu semua, cikgu tahu mesti ada yang terasa di hati, sebab cikgu ni tegas orangnya. Tapi, ketahuilah kamu semua, cikgu sayangkan kamu semua"
" Cikgu minta maaf juga, kalau-kalau ada yang rasa cikgu ni tak pandai mengajar kamu, nanti pasti ada cikgu yang lebih bagus daripada cikgu kamu ni "
Antara kata-kata aku yang terakhir. Aku ucapkan syabas bagi yang telah merealisasikan kecemerlangannya. Bagi mereka yang kurang berjaya, aku titipkan semangat supaya lebih mencipta kejayaan lagi pada masa akan datang.
Hadiah ini, buat
dia yang telah mencapai keputusan Pelajar Terbaik UPSR tahun ini. Tidak ada sesiapa yang menyuruh. Aku beli dengan duit aku sendiri, dua buah buku supaya kelak dia rajin menambah ilmu dengan rajin membaca.

Untuk kesemua 14 murid tahun 6 di sekolah kecil aku ini, aku berikan setiap seorang sampul yang berisi foto kelas, dan foto aku bersama mereka ketika jamuan Hari Raya yang lalu.
Akhirnya, aku bertemu
Shuhaida dan
Azmil, dua anak angkat aku yang dimanahkan dalam program anak angkat tahun ini, bertemu secara peribadi dan bersendirian. Memberikan ucapan tahniah dan nasihat yang akhir yang agak meleret.
Begitu sudah. Semusim persekolahan berakhir kini. Sudah lima generasi tahun 6 yang sudah aku ajar. Ini bermaksud sudah 5 tahun aku mengajar kelas peperiksaan tahun 6. Setiap kali selesainya akhir tahun, aku berbisik di dalam hati
" have I done my very best to them?"Mudah-mudahan aku telah berikan yang terbaik. Dan, kini secara rasminya aku lepaskan kembali "anak-anak" aku ke laut. Terserah sudah kepada mereka untuk cekal berenang mengharung lautan yang luas. Lautan kehidupan remaja dan dewasa.
Labels: cikgu Jimi