
Aku masih lagi beraya. Kali ini menyambutnya di sekolah bersama anak-anak murid. Hari ini, mereka berbaju baru serba serbinya berwarna warni, ada yang ungu, biru, hijau.
Sungguhpun beraya, pembelajaran masih seperti biasa. Masih belajar meskipun berbaju cantik dan menarik. Yang berkerudung hijau, bajunya kuning dan berbunga kecil itu, ialah
Shuhaida. Baju yang dipakainya itu pemberian aku sempena raya.

Masing-masing membawa biskut raya, kuih raya yang berbekas-bekas. Siap bersila dan bersimpuh. Guru – guru sediakan ketupat, bihun sup untuk semua anak murid sekolah. Lagu-lagu raya berkumandang semula menimbulkan mood raya kembali.

Masing-masing beraksi bagai makcik-makcik di desa tercinta yang mahu bersalam-salaman. Ada yang sudah tidak sabar lagi, berebutkan biskut raya, sambil menilai yang manakah sedap atau sebaliknya. Serbuk biskut penuh di mulut, tetapi masih mahu berbual tanpa henti. Tawa dan riang kedengaran. Guru-guru sempat menyinggah, mahu tahu apakah biskut raya yang menarik dibawa anak-anak ini.

Pabila dikumpulkan bolehlah aku simpulkan berbagai-bagai jenis Bahulu atau Almond London, ada yang mengeras batu, ada yang lembut dan rapuh, malah ada yang tidak ada rasa langsung. Seorang murid, menghadiahkan sekotak kurma kepada guru-guru.

Senang sekali beraya bersama anak-anak ini. Melihatkan mereka ceria dan gembira meskipun raya yang sebenar sudah berlalu, tetapi semangatnya masih ada. Aku suka melihat kecomelan mereka bersampin, bersongkok dan tidak kurang pula ibu bapa mereka yang sudah mendewasakan anak-anak mereka dengan baju kurung bergaya hebat. Cuma, nampak tidak kena. Biarlah kanak-kanak dengan dunia mereka.

Ada rezeki dan dipanjangkan umur, bolehlah aku beraya bersama mereka tahun hadapan lagi.