Meskipun peperiksaan UPSR sudahpun usai menantikan sahaja keputusannya bakal di khalayak umum pada awal November, aku masih sibuk dengan pelbagai tugas. Peperiksaan akhir tahun bakal menyusul buat kelas -kelas tahun yang lainnya. Tidak boleh ditinggalkan juga.
Bagi anak-anak aku yang berada di tahun 6, pelbagai program telah disusun atur. Aku pun merancang dan melaksanakan pelbagai program khas untuk memastikan mereka hadir ke sekolah, dan tidak ponteng walaupun berbaki sebulan sahaja lagi, bagi mereka menghabiskan persekolahan mereka di sekolah rendah.
Belajar bukan untuk peperiksaan. Aku selalu percaya kepada prinsip itu. Malangnya, aku sebagai seorang guru sentiasa tersekat dengan tekanan masyarakat, kerajaan yang lebih mementingkan skor A daripada pembelajaran yang hakiki. Aku sudah banyak membebel tentang hal ini. Tidak perlu dilanjutkan lagi.

Kini, ialah masa aku untuk menanamkan sifat suka membaca. Peperiksaan sudah selesai. Antara program Pasca UPSR buat anak-anak aku ialah ; Membaca bukan untuk peperiksaan. Hari-hari aku membebel. Masalah anak kampung yang cukup malas membaca. Malah, banyak penghuninya malas benar membeli surat khabar. Disediakan surat khabar di sekolah pun, malas juga membaca.
Tidak, aku tidak akan kompromi untuk hal maha penting ini. They have to read, by hook by crook. Waktu kini, aku pastikan mereka membaca sebanyak buku yang boleh. Setiap waktu aku bersama mereka, aku istilahkan masa ZON SENYAP. Semua akan membaca.
Aku kumpulkan buku-buku awal remaja yang agak tebal, aku mahu menguji kecekalan mereka membaca buku yang di luar norma kebiasaan genre mereka. Biar mereka belajar membaca dan membaca. Alhamdulillah, setakat ini, program ini berjalan langsungnya dengan jayanya. Seminggu sekali, waktu ujung aku tayangkan juga filem-filem menarik buat tontonan mereka. Bertuahnya anak-anak murid aku, kerana aku tayangkan filem luar kebiasaan daripada genre kebodohan Nana Tanjung / Anak Mami atau yang sewaktu dengannya. Aku hidangkan mereka filem-filem istimewa dari Korea seperti The Way Home, dari Indonesia seperti Denias Senandung Di Atas Awan, Akeelah and The Bee dan banyak lagi. Kesemua filem ini memang dinantikan oleh mereka, kerana hakikatnya mereka tidak pernah mengetahui atau mendengar betapa hebatnya filem-filem inspirasi sebelum ini.
Usai menonton, kami akan berdiskusi tentang maksud dan cerita filem yang telah ditonton. Paling penting, mencari isi dan moral, atau semangat daripada inti patinya. Menarik bukan?
 Selain itu, aku adakan permainan bahasa buat mereka. Teka silang kata yang aku fikirkan sendiri dengan bantuan aplikasi crosswords yang aku peroleh daripada internet.Pada hari tertentu, teka silang kata tentang antonim atau sinonim, pada hari lain mungkin sahaja tentang artis kegemaran mereka. Aku juga mengambil hak cipta daripada rancangan Jangan Lupa Lirik, kali ini menguji kemahiran mendengar mereka. Aku perdengarkan lagu dan mereka harus mengenal pasti dan menulis liriknya sesempurna mungkin. Kemudian, selepas itu berdiskusi tentang maksud bait-bait lagu dan maksud bahasa dalam lagu tersebut. Pada akhirnya, menyanyilah lagu bersama-sama.  Dan, aku juga titipkan pengalaman dan pengetahuan buat mereka, oh ya bagaimana menulis kaedah Tulisan Berangkai. Tulisan yang cantik dan indah ini mempunyai falsafah keindahannya, menyambung huruf dan posisi yang condong itu sungguh menarik minat mereka.  Aku ajarkan mereka huruf-huruf besar, dan kemudiannya huruf-huruf kecil. Dan, akhirnya mereka membentuk perkataan, ayat. Paling akhir, aku tugaskan mereka menulis pantun, gurindam, puisi atau sajak dengan indahnya. Saat ini, tiada lagi cikgu Jimi yang garang dan tegas. Masa dalam kelas bahasa aku pasca UPSR disulami gelak dan tawa. Aku mahu meninggalkan mereka kenangan manis berbahasa yang cukup indah, sebelum mereka masuk ke alam menengah tahun hadapan. Semoga mereka dapat mengingati aku sebagai guru bahasa ; yang menanam sifat ingin tahu, mencintai bahasa dan akhirnya mencintai buku dan membaca sepenuh jiwa. Harapnya begitulah.Labels: cikgu Jimi |