
Ini sebahagian kad Hari Raya yang aku terima daripada anak-anak murid aku tahun ini. Mereka memberikannya pada hari-hari terakhir persekolahan, sementalahan aku pun tidak sempat membalasnya. Mujurlah hari ini, hari pertama setelah lama bercuti raya, aku pun memberikan mereka balasan daripada aku. Bukan apa, sebelum ini aku selalu abaikan balasan kad Raya, sehinggalah tahun ini aku berasakan aku patut membalasnya. Biarlah mereka berasa seronok menerimanya. Teringat zaman anak kecil dulu, kepingin benar mengharapkan cikgu-cikgu aku memberikan balasan kad Raya.
Membalasnya pun satu hal. Mula-mula ingin pula menulis panjang, tetapi nampak masih banyak tidak tertulis dan terbalas, cukup menulis ringkas dan bertandatangan sahaja. Kini, baru aku rasa perit pula membayangkan jadi kenamaan yang tidak putus-putus membalas kad-kad raya. Wah, berangan pula ya.

Dalam banyak-banyak kad yang diterima, satu kad raya yang dibaca begitu terkesan di hati. Penulisnya bernama Hanim. Murid tahun 6 yang baru sahaja selesai menduduki UPSR. Mahu tahu apa antara yang ditulisnya?
" Cikgu, kenapa saya berasa takut untuk ke sekolah menengah?"
" Saya merasakan lebih baik saya bersekolah rendah sahaja."
Kedengarannya aneh dan pelik, tetapi hakikatnya aku tahu Hanim begitu takut untuk melangkah ke alam yang baru dan hendak menyesuaikan diri pula. Sebenarnya, bukankah kita juga berperasaan begitu juga, takut kepada sesuatu yang baru dialami. Ada seorang teman berkata, dia cukup fobia untuk berkahwin kerana itu alam yang selalunya negatife yang didengarinya.
Kelihatannya, Hanim seakan merintih. Mengenangkan nasibnya. Mampukah dia meranduk segala lalang cabaran hidupnya dan meredah segala kekusutan, biar tidak tersungkur nanti.
Bukankah alam remaja yang banyak menguji kita selama ini?. Aku selalu percaya, alam remaja ialah alam kehidupan yang sukar ditempuhi. Kalau kita tidak bisa stabil dengan emosi, dan kebal dengan keimanan kita, punah dibuatnya.
Mungkin, pada kalian rintihan Hanim itu hanya rintihan biasa. Tetapi, Hanim ialah seorang murid yang cemerlang. Dia memikul harapan menjadi pelajar terbaik sekolah aku. Pada dirinya banyak kualiti seorang manusia yang baik dan berbudi pekerti.
Tetapi, rintihan yang ditulis pada kad raya itu membayangkan ketakutan, kegusaran serta keresahan hatinya.
Aku selalu menyuruh anak-anak murid aku, jika ada yang mahu menceritakan perasaannya, samada ketakutan, kebencian atau apa sahaja, tuliskan sahaja dalam sehelai kertas, tidak payah ditulis nama, kalau tidak berani meluahkan perasaan dengan bercerita lisan, tuliskan sahaja, dan letakkan atas meja cikgu Jimi.
Nah, kini ada juga yang sudah meluahkan rasa isi hatinya.Hanim oh Hanim.Kamu terlalu muda untuk dibebani dengan tekanan mahu berjaya dalam hidup. Sedangkan orang lain masih tidak matang dan kanak-kanak sifatnya, Kamu Hanim, begitu dewasa dalam sekelip mata, dan telah mengubah persepsi cikgu terhadap kamu.
Nanti, akan aku dedikasikan satu sesi kelas menanam semangat tentang menempuhi alam remaja dan alam sekolah menengah, agar kamu tidak bisa lelah dan goyah lagi.