Pada setiap tahun, setiap guru di sekolah aku akan menjadi
" ayah" atau
" ibu " kepada dua orang murid tahun enam. Dengan harapan, mudah-mudahan mereka yang dibimbing ini menjadi lebih berdisiplin dalam menghadapi tahun penting mereka. Iaitu tahun UPSR mereka.
Sepertimana kisah anak-anak angkat aku pada tahun yang lalu,
Hafiz dan
Khairil, kini aku memikul lagi beban membimbing dua orang anak angkat aku. Shuhaida dan Azmil.
Anak angkat? Sebetulnya aku tidak pernah menganggap mereka anak angkat aku. Hanya tuhan yang tahu betapa aku mengambil berat dan perhatian terhadap mereka. Lebih daripada menganggap seorang anak angkat. Aku ikhlas dengan
projek ini.
Shuhaida. Seorang yang sangat pendiam dan pemalu. Pernah seorang cikgu mengadu
“ Shuhaida tu, bila kita pandang mata dia nak bertanya, perasan tak dia tak pandang mata kita?”
Mungkin kerana dia sesungguhnya sangat pemalu. Atau,
teori firasat aku dia seorang yang sangat rendah diri. Rasa rendah terhadap kekurangan dirinya?
Kerja ayahnya tidak menentu. Sesekali bertanya, kerja menolong di kebun sayur. Sekejap - sekejap menoreh getah, mengambil kesempatan untung harga getah yang tinggi. Sesekali pula, apabila ditanya sudah bekerja di tempat lain.
Bayangkan dengan kerja yang tidak menentu, menyuapkan 10 mulut manusia, kerana Shuhaida ada 8 adik beradik semuanya. Ibunya siang malam berhempas pulas menjaga adik-adiknya. Yang di sekolah menengah, sekolah rendah, dan yang masih di buaian lagi.
Seperkara yang menyentuh hati aku ialah, sungguhpun mereka keluarga yang susah, tetapi semangat mahu mengubah nasib dan hidup mereka meluap-luap. Pelajaran anak-anak di sekolah sentiasa diambil berat dan diberikan perhatian.
Jika sesekali bertemu dengan aku, aku dapat berasakan
aura yang ibu bapa Shuhaida sangat menghormati aku. Kadangkala, sengaja mereka menundukkan kepala, tanda hormat. Malu sungguh rasanya diri aku kerana aku tidak layak dilayan sebegitu.
" Shuhaida, berapa ringgit kamu belanja sehari ? " tanya aku suatu hari." Selalunya tak de duit. Tapi kadang-kadang 50 sen sahaja." Jawabnya dengan malu.
Jawapan itu memang sangat menyentuh perasaan aku. Masih ada murid zaman dunia sekarang yang berbelanjakan 50 sen. Pabila ditanya yang lain, semuanya membelanjakan duit sebanyak RM1 atau RM1.50, sedangkan Shuhaida tiada duit ataupun pada hari bertuahnya diperoleh 50 sen sahaja.
Mujurlah dia terpilih antara yang dibantu sarapan pagi percuma yang diberikan oleh kerajaan setiap hari. Dapat juga mengurangkan beban ayah dan ibunya. Sesekali aku lipatkan duit seringgit kecil - kecil, dan meminta dia membuka tangannya dan menutup tangannya cepat-cepat dan menyuruh dia membelikan makanan. Ataupun kadangkala, aku hanya belikan kuih sepotong dua dan memasukkan dalam plastik, dan menyerahkan kepada Shuhaida.
Perasaan rendah dirinya itu sukar dibendungkan. Setiap kali soalan ditanya, suaranya sangat perlahan. Kadangkala, dia tidak mahu menunjukkan mukanya. Orang bilang, mungkin dia sombong dan pasif, tetapi aku kenal benar anak sedemikian.
Untuk Shuhaida, pada awal tahun aku sudah belikan satu set buku kerja,latihan soalan 5 subjek UPSRnya, aku ikatkan kemas - kemas. Dan, aku berikan kepada dia. Sumbangan aku supaya dia rajin melengkapkan diri dengan latihan soalan-soalan sebenar.
Untuk seorang yang sederhana pencapaiannya, alangkah girangnya hati aku apabila pada peperiksaan percubaan yang lalu, dia memperoleh
3A2B. Aku sudah berkira-kira samada dia boleh memecut kepada 5A atau 4A1B pada peperiksaan sebenar nanti.
Dua minggu yang lalu, aku bungkuskan sebotol pil vitamin
Memorax. Pil untuk kecerdasan otak. Aku juga belikan sebotol kismis minda besar. Aku mengambil sehelai kertas berwarna kuning. Aku tuliskan sepucuk surat dengan tulisan aku sendiri. Aku tujukan surat itu buat ayah dan ibu Shuhaida. Aku sisipkan surat itu pada bungkusan. Aku serahkan bungkusan kepada Shuhaida.
Abang dan Kakak,
Bagaimanakah persediaan UPSR Shuhaida di rumah? Saya harap anakanda Shuhaida dapat mendisiplinkan diri supaya lebih berusaha gigih kerana tarikh peperiksaan semakin hampir.
Saya sertakan pil vitamin dan kismis minda ini buat anakanda Shuhaida. Ini sahaja yang mampu saya tolong untuk persediaan terakhir.
Akhirnya, saya doakan anakanda Shuhaida peroleh keputusan yang baik nanti. Inshaallah.
Sekian, terima kasih.
Kelmarin, ayahnya datang singgah ke sekolah. Ayahnya memeluk erat diri aku.
" Terima kasih, cikgu. Cikgu sanggup bersusah payah kerana anak saya. Sanggup belikan anak saya macam-macam. "Encik Kamil seperti sebak mengucapkan kata-kata itu. Seperti selalunya, aku hanya tersenyum dan mengatakan yang aku akan doakan kejayaan Shuhaida dunia dan akhirat.
Kini, tinggal 5 hari lagi baki peperiksaan UPSR. Aku idamkan Shuhaida peroleh keputusan yang baik. Dengan keputusan itu, Shuhaida boleh masuk ke sekolah berasrama penuh, dan pada saat itu jalan kejayaan dia boleh dipermudahkan. Itulah misi aku.
Kalian doakan ya. Supaya Shuhaida belajar tidak berasa rendah hatinya pabila berbicara dengan orang. Mungkin, dia akan jadi sebijak pensyarah atau guru yang boleh berbicara tanpa kegentaran. Supaya Shuhaida tidak malu lagi, dan menjadi seorang insan yang baik, yang boleh memberi balas budi kepada keluarganya nanti.
Aku kini terfikir-fikir bagaimana mahu mengukur badannya, supaya aku dapat belikan sepasang baju kurung baru sempena hari Raya Aidilfitrinya nanti. Apakah warna yang sesuai kerana seumur hidup aku, aku tidak pernah membelikan pakaian untuk perempuan.
tanya aku kepada Shuhaida, kerana aku marahkan dia mendapat markah yang sederhana satu ketika dahulu.
katanya terketar-ketar kerana sebak mengenangkan nasib keluarganya.Ditutup mukanya menahan tangis.
aku membakar semangatnya lagi.
Ayuh Shuhaida, dongakkan kepala kamu. Berdirilah tegak penuh keyakinan. Masa depan kamu bermula tidak lama lagi.