
Pabila aku berkecimpung dalam penulisan blog ini, aku memang tidak menyangka dapat mengumpul beberapa pembaca setia. Pembaca setia yang sungguh setia membaca apa jua yang aku tuliskan. Sebenarnya ada beberapa bahagian genre yang aku tuliskan di blog aku
Filem Genre Jimi
Hakikatnya sudah 8 tahun aku menulis tentang filem. Aku akui, aku memang "syok sendiri"apabila menulis tentang filem-filem aku. Filem-filem yang aku namakan " genre jimi ", ini melingkupi genre yang sangat aku gemari. Terkandung " feel good movie, inspirational, inspiring, ambiguous but inspiring ". Jadi, kamu mungkin bertanya mengapa bukan The Dark Knight atau Star Wars dan siri-sirinya. Hakikatnya, banyak genre filem aku tonton seperti seram, humor, indie, malah dari pelbagai negara namun hanya filem yang " bergenre jimi "sahaja yang aku tuliskan di sini. Aku mahu kamu semua membacanya dan memilikinya jika terjumpa mana-mana filem pilihan aku. Untuk menulis filem box office, hai buat apa membazir masa, banyak lagi laman memaparkan ulasan filem-filem sedemikian. Filem-filem box-office tidak sehebat filem-filem yang tersembunyi yang maha hebat. Kadangkala filem-filem ini singgah di festival filem antarabangsa seperti Denias, Senandung Di Atas Awan atau Diving Bell and Butterfly. Adakalanya, ia cukup tersembunyi , hanya aku fikir aku seorang sahaja yang mengetahui tentang filem itu seperti The Prize Winning of Defiance Ohio, My Life Without Me, Life As A House yang aku anggap antara yang terbaik pernah aku tonton. Tanggungjawab aku, ialah mahu memberitahu terlalu banyak filem yang bagus dan " berisi "daripada yang dipilih oleh pemilik panggung wayang yang banyak " melambakkan " filem-filem box office yang kebanyakannya dungu. Dan, percaya atau tidak, filem-filem genre Jimi sebenarnya pemangkin semangat dan inspirasi terhadap tugas aku sebagai seorang pendidik. Aku lihat kaitannya sangat rapat. Semasa aku menuntut di universiti dahulu, mengambil History of US, professor aku mewajibkan setiap kali kelasnya ditayangkan filem-filem yang berkaitan dengan sejarah Amerika. Terlalu banyak filem yang memaparkan tentang Native American Indian seperti Geronimo, Dances With Volves. Aku begitu kagum bagaimana professor mengaitkan subjek sejarah yang membosankan dengan filem-filem pilihannya.
Sesungguhnya, filem bukan sekadar mengenai prom night bodoh dalam siri American Pie, atau kereta pantas yang diubah suai dalam siri Fast dan Furious. Filemyang bagus melangkau jauh daripada lingkung stereotipikal itu semua.Aku benar-benar berharap, filem-filem yang aku tulis dapat menyentuh hati kalian untuk memilihnya dan menontonnya dan berfikir dalam hati
" hah, inilah filem yang ditulis dalam blog Jimi Wiser "
Dunia Cikgu Jimi
Setelah hampir bertahun-tahun lamanya menulis ulasan filem, hanya baru-baru ini sahaja aku banyak menulis tentang kerjaya aku. Ya, kerjaya aku sebagai seorang pendidik. Apa kaitan dengan mengulas filem dengan hidup seorang guru?
Buat kalian, mungkin tiada kaitan langsung. Tetapi buat aku, tentu sahaja ada wacana yang menyambungkannya.
Tentu sahaja hidup aku sebagai pendidik tidaklah menarik perhatian daripada penulis blog hiburan yang lain. Terpulang sahaja, atau terserah anda. Justeru, satu lipatan kehidupan yang merangkumi pelbagai peristiwa melodramatik dan lelucon, bagaimana aku mengisahkan peristiwa aku dengan anak-anak murid aku, diharapkan mampu memberi ruang inspirasi dan semangat tentang hidup. Sama dengan filem yang aku minati, supaya mampu mmberi ruang semangat tentang hidup.
Dalam kisah aku sebagai seorang pendidik, bukan aku sebagai heronya. Bukan aku sebagai pelakon utamanya. Aku hanya sebagai pencerita, hero dan heroinnya ialah watak-watak kisah benar yang aku ceritakan dan tuliskan. Itulah niat aku.
Jikalau kalian membilang aku seorang pendidik yang baik. Terima kasih atas pujian itu. Tidak berbekas sebenarnya. Hakikatnya, terlalu banyak guru atau pendidik yang lebih baik, yang tidak mempunyai blog untuk menulis kisah-kisah mereka yang lebih berinspirasi.
Saban hari, aku banyak meneladani kisah-kisah seharian yang mengukuhkan aku tentang teori sedemikian.Aku hanya seorang guru biasa. Mengajar tulis dan baca.
Sebetulnya, tujuan aku hanyalah untuk melampiaskan tekanan dalam kisah hidup aku sebagai seorang guru. Kisah seorang guru biasa, yang jarang kedapatan pada mana - mana media yang seringkali menimbulkan kontroversi seorang guru. Sesekali, apa salahnya kalian memahami jiwa dan perasaan seorang guru, bukan?
Museca Jimi
Catatan dan nostalgia Jimi tentang muzik dan lagu-lagu yang memenuhi citarasa Jimi. Sekadar mahu berkongsi jenis muzik yang sangat aku gemari. Tentu kalian dapat merasakan muzik yang aku ujarkan sangat lain, bukan?
Buku Jimi
Sesekali, terkandung buku-buku yang memberikan semangat inspirasi kehidupan. Dan, pada ketika itulah aku tuliskan ulasan buku yang telah aku baca. Hidup jika tidak membaca, tandanya terkebelakanglah segala nilai intelektual dan tamadun dalam diri kita. Hanya dengan membaca sahaja kunci bagi segala kematangan pemikiran dan taakulan yang bijaksana.
Empat cabang kisah entri tulisan blog aku inilah, intipati Jimi-Wiser. Kisah peribadi aku ataupun muka dan paras rupa aku biarlah ianya terlihat dalam sembunyi. Itu semua tidak penting. Apakah peri pentingnya melihat luaran, jikaulau hati kita hitam dan suka menilai kehitaman itu sebagai satu keindahan atau kecantikan.
Setidak-tidaknya, kalian dapat memahami, di dunia Malaysia bertuah ada seorang cikgu yang suka menonton filem-filem pilihanya, suka mendengar lagu-lagu nostalgia dan ironi, buku-buku yang berinspirasi. Kalian hanya mengenalinya hanya di dunia internet.
Sekiranya kalian gemarkan sensasi gossip picisan. Tidak gemarkan dunia utopia yang aku ciptakan dalam dunia blog ini. Tidak gemarkan ayat-ayat yang semi sastera bentuknya. Tidak gemarkan inspirasi yang terlalu berdakwah daripada penulisan aku. Maka, silalah pergi tanda pangkah sebelah atas kanan komputer kalian. Tinggalkan sahaja aku dan dunia aku sendiri.
Labels: laments