Tuesday, September 09, 2008
Azmil
Kamu percaya bukan, bahawa sesekali seseorang itu dilahirkan cukup istimewa kerana kebijaksanaan yang dimilikinya? Maksud aku, aku percaya bahawa kadangkala sesekali ada seorang dua anak murid aku, dilahirkan dengan otak yang bijak, meskipun mereka bukan daripada keluarga yang bijaksana?

Kamu percaya bukan? Bahawa kebijaksanaan itu bukan bersifat warisan keluarga. Tetapi anugerah. Kerana itu, inilah cerita anak angkat aku yang kedua.

Azmil namanya. Aku kenal dia semenjak ketika dia di tahun 3 lagi. Oleh kerana kebijaksanaannya, dia telah dilatih menjadi peserta pelapis pasukan catur sekolah aku. Dan, dia saban tahun sentiasa menggondol tempat satu atau dua dalam peperiksaan. Pada tahun empat, dia sudah pun menjadi Naib Johan Pertandingan Catur bagi daerah sekolah aku.

Bukan itu sahaja, keupayaan kinestatiknya sangat mengkagumkan. Sentiasa terpilih untuk sukan bola sepak, bola baling, bola tampar malah apa sahaja jenis sukan, dia mampu menjayakan teknik – teknik sukan ini dengan baik.

Mudah kata, dia ibarat permata berlian di sekolah aku kerana kecemerlangannya. Cumanya, aku fikir Azmil tidak tahu, ataupun tidak sedar, tidak pasti adakah dia sendiri mengetahui bahawa dirinya benar-benar berbakat dalam hidupnya. Yang mempunyai ' batu loncatan ' untuk keluar daripada tempurung kampung yang hulu ini, supaya menjadi orang yang lebih berjaya.

Apabila Azmil mencecah usia ke tahun 5 dan tahun 6, sifat kesahajaan dan spontannya sengaja diperbesar dan diperlebar, sehingga Azmil menjadi murid yang biasa. Yang terganggu dengan budaya dan persekitaran yang agak negatif.

Pada awal tahun ini, dia ditangkap kerana merokok di sekolah agama. Dia juga dikatakan melakukan satu perkara yang agak ' memalukan' sehingga membuatkan kami sebagai guru-gurunya, agak terkejut kerana membayangkan budak sebijak dan sebagus Azmil boleh terjebak dalam hal sedemikian. Dia pernah dilihat mengunjungi ke tempat arked video dan snooker, bersama remaja-remaja sekolah menengah yang lain. Hebat dan berani bukan, bagi remaja yang masih di sekolah rendah?

Keputusan peperiksaannya pula semakin hari semakin merosot. Malah, bayangkan semasa dalam peperiksaan percubaan, subjek Matematiknya telah gagal. Sungguhpun demikian, Azmil tetap bijak, kerana dia masih mengungguli mata pelajaran lain walaupun aku fikir, dia tidak pernah melakukan dengan bersungguh-sungguh.

Aku sebenarnya yakin, ini sebenarnya sifat seorang lelaki. Seorang lelaki yang ego. Seorang lelaki yang " denial " dengan perasaannya. Seorang lelaki seperti remaja lain yang aku lihat, yang telah terjerumus dengan persekitaran yang tidak baik. Ini tidak akan berlaku kepada remaja perempuan yang lebih mempunyai kekentalan disiplinnya.

Maka, di sinilah aku berdiri, sebagai mentor, guru pembimbingnya, malah yang lebih berat lagi, aku dipilih sebagai " ayah angkat " yang diharapkan dapat membimbing dia, dalam projek ini.

Sebelum aku menjelajah ke pelbagai peristiwa hidup aku bersama Azmil, perlulah aku perkenalkan kisah hidup Azmil secara ringkas. Masakan aku boleh berkata demikian. Ringkas?, sedangkan aku mengenalinya sejak hingusan di hidungnya lagi. Aku yang sentiasa menepuk belakang badannya setiap kali dia berjaya melakukan sesuatu. Aku yang sentiasa percaya dia pasti berjaya dalam hidup suatu hari nanti.

Azmil ialah seorang anak tunggal. Oh tidak. Maafkan aku. Dia bukan anak tunggal, tetapi pernah mempunyai seorang kakak. Malangnya, kakaknya itu meninggal dunia meninggalkan ibu, ayah dan Azmil. Orang bilang, kakaknya mengidap Thalessemia, kembali mengadap ilahi ketika dia belum sempat menjalani peperiksaan UPSRnya. Azmil waktu itu masih kecil. Orang bilang kepada aku

" cikgu tahu tak, masa arwah kakak dia sakit teruk, di wad hospital sanggup belajar lagi ni"

Itulah cerita yang aku dengar. Aku tidak tahu, kerana aku belum mengajar lagi di sekolah ketika waktu itu berlaku. Aku hanya mengenali Azmil seorang anak tunggal yang kehilangan kakak perempuannya.

Ibunya hanya bertugas sebagai pembantu di restoran. Bayangkan, membasuh pinggan, mencuci mangkuk, mencuci lantai, atau mungkin sesekali membantu memasak di dapur restoran. Ayahnya pula, dengar khabar hanya bertugas sebagai pencuci botol - botol plastik.

Ya, kamu semua tidak percaya? Botol-botol plastik dikumpulkannya lalu dibersihkan lalu dijual semula untuk tujuan pengisisian semula. Kadang-kadang, menoreh getah, pabila mata pencarian tidak mencukupi.

Orang bilang, anak dah seorang. Tidakkah itu sudah mencukupi sebagai belanja hidup? Siapalah aku, kamu dan lain-lain untuk mengkritik kehidupan seseorang, walaupun hakikatnya kita sebetulnya terdorong untuk berkata sedemikian, bukan?

Jadi, apabila orang mengatakan kebijaksanaan atau keintelektual manusia itu daripada faktor keluarga? Aku mungkin tidak bersetuju. Baru-baru ini, Azmil telah pun menjadi Johan Catur di daerah aku, malah menjadi wakil daerah ke Kejohanan Catur ke peringkat negeri. Malah, dia juga telah terpilih dalam kelompok 50 pemain yang dilatih untuk menjadi pemain bola sepak sekolah-sekolah daerah aku.

Kebijaksanaan Azmil kadangkala mengkagumkan aku sendiri. Tatkala murid lain berhempas pulas mencari jawapan, dia yang kurang belajar, masih boleh mendapat markah yang sederhana, malah kadangkala lebih tinggi daripada yang lain.

Tetapi, sebalik semua yang kutuliskan ini, Azmil pasti mempunyai kekurangannya

Dia mempunyai kekurangan dalam Emotional Quest (EQ), mungkin disebabkan dia telah kehilangan kakaknya. Mungkin juga dia menjadi anak tunggal. Dia tidak boleh atau tidak mampu, mengalirkan perasaannya dengan baik. Sudah beberapa kali aku melihat dia sengaja " menahan " perasaannya, supaya tidak dilihat orang lain. Apabila orang lain menangisi sebuah kematian, dia hanya mempersendakannya. Apabila orang lain tunduk diam apabila ditegur cikgu, dia masih menolak perasaanya seperti tiada apa yang berlalu. Sikapnya yang suka melawak adalah satu " defence mechanism " yang dilakukan untuk menyimpan kesunyian, kesepian dan lara hatinya. Sikapnya yang sebegitu menyakitkan hati, tetapi bagi aku yang pernah mendalami dunia Child Psychology, dia telah pun mempunyai tanda-tanda penafian yang tinggi.

Disebabkan itu, dia memiliki sikap kelam kabut. Ketakutan dan kegentaran hatinya disimpan dalam hati, tetapi hasil pencapaian pelajarannya menunjukkan sebaliknya. Tumpuan terhadap pelajaran semakin jauh semakin merudum. Dan, kerana itu, aku amat sedih pada tahun lalu dia mengungguli tempat pertama tetapi pada tahun ini, tahun ini hanya menduduki tangga kelima sahaja. Dan, Matematik gagal sama sekali.

Sayang bukan, budak sebijak itu telah tenggelam dengan dunia keegoaan, penafian yang ketara. Apalah yang boleh aku lakukan untuk Azmil, anak aku yang seorang ini?.

Apa yang aku lakukan ialah, aku telah memasukkan diri aku, cikgunya dalam dunianya dan kehidupannya. Setiap pagi waktu persekolahan, sebelum loceng persekolahan berbunyi, Azmil duduk di sebelah aku di bilik guru. Azmil dibimbing belajar bersama dengan aku. Malah, kebanyakan masa, hanya perbualan tentang hidup dia, perasaan dia, dan ketakutan dia.

Disebabkan dia sentiasa " menolak" orang lain dalam perasaannya. Tugas aku ialah supaya menjadikan hatinya menjadi lembut dan menerima aku.Supaya satu hari nanti, pabila kematangan telah mendewasakannya, mungkin dia teringat ada seorang cikgu yang mungkin telah memahami jiwanya.

Alhamdulillah, kerana aku pernah berjanji jika dia memperoleh 2A dalam subjek yang aku ajar, aku bawakan dia bersiar-siar. Malah, semenjak setiap pagi itu, dia belajar bersama aku, dia sudah mencapai markah yang agak tinggi berbanding yang lain. Kadangkala, aku membebel, berleter, memarahi sedikit tetapi kebanyakan masa, aku bimbing dia dengan lembut. Malah, semua teknik pujukan aku buat supaya dia tetap fokus.

Kalian tahu, seorang pengkaji psychology mengatakan, menyapu belakang tengkuk ke atas bahu belakang manusia dikatakan memberikan kesan sentuhan dalaman kepada seorang manusia. Bukan itu sahaja yang aku lakukan, aku pernah memberinya minum air Yasin, air bacaan al-quran, malah jika tidak sibuk aku mengajaknya bersolat berjemaah Zohor bersama aku.

Semuanya aku lakukan. Malah, guru-guru di sekolah aku kagum dengan kekentalan semangat aku dalam membimbing Azmil. Sungguhpun, guru Matematiknya merayu aku supaya memujuk Azmil supaya meningkatkan markahnya dalam subjeknya, maka itulah misi aku kepada dia.

Mungkin kerana dia sudah akrab dengan aku, subjek yang aku ajar pencapaiannya sudah mencapai tahap tertinggi. Malah, untuk rekod selama 5 tahun aku mengajar subjek Bahasa Melayu Tahun 6 ini, inilah kali pertama seorang murid berjaya mendapat markah 100 dalam Kertas Satu. Satu sejarah yang hebat.

Dan, ini dilakukan oleh Azmil. Cukup bangga melihat sejauhmana otak dan kebijaksanaannya mampu mencapai tahap maksimum jika dibimbing dan didorong dengan betul. Penulisan esei jawapannya sangat matang dan bersahaja, meskipun tulisannya seperti cakar ayam dan seringkali melakukan kesalahan ejaan, namun aku terpaksa menyerah kalah kepada kandungan hujah dan isi eseinya. Malangnya, aku tidak nampak kehebatan Azmil dalam Matematik yang menyebabkan aku rasa hairan, kerana seorang yang bijak dalam catur boleh keliru dengan nombor.

Aku telah berjanji kepadanya, kepada ayahnya, kepada uminya, sekiranya dia memperoleh 4A sekalipun aku tetap akan merayu kepada sesiapapun, untuk meletakkan Azmil dalam Sekolah Berasrama Penuh. Hanya di sekolah sebegitu, dia tidak akan hanyut. Dengan persekitaran itu, dia boleh cemerlang dalam sukan. Malah, aku sendiri dapat membayangkan dia menjadi unggul dalam bidang itu.

Aku mengunjungi ibunya,di restoran tempatnya bekerja. Kerana aku semakin bimbangkan Azmil. Luahan hati seorang ibu terhadap kasih anaknya, yang sudah tinggal seorang sahaja. Dititip kenangan arwah anaknya yang sulung. Menitis air mata, mengenangkan sikap Azmil yang degil. Tidak mahu mendengar katanya.

Menurut ibunya, Azmil suka dan gemar berkawan dengan kawan-kawan dari sekolah menengah yang suka merokok, melepak di kaki lima, membuang masa, malah rumah pun lupa untuk pulang.

" akak dah tak tahu nak buat apa, hari itu akak dan pukul dia dengan tali pinggang, pergi ikut memancing dengan budak-budak, akak tahu, mesti dia dah merokok. Bila akak pukul dia, dia sengaja tahan perasaan dia, sikit pun dia tak menangis. Tangan akak ni dah luka-luka dengan tali pinggang tu "


" kalaulah tuhan nak ambil anak akak yang sorang ni, akak pun tak tahu lah cikgu" dia bercerita lagi.

Astaghfirullah. Aku menghela nafas ketakutan. Janganlah didoakan seperti itu. Takut aku mendengar kisah sumpah seorang ibu sebegini. Mungkin harapan ibunya terlalu tinggi, sudahlah kehilangan seorang anak, anak yang seorang lagi sudah semakin berubah menjadi orang lain. Mendengar dan mengetahui betapa Azmil seorang yang semulajadi bijak, dan akhirnya semakin merudum akibat pengaruh persekitaran.

" akak, kalau di sekolah, saya boleh jaga dia. Saya cuba tengok-tengokkan dia. Tapi kalau di rumah, di luar saya tak mampu " Aku berkata.

Hujung-hujung bulan Ogos, aku belikan pil vitamin paling mahal. Aku belikan sebotol kismis minda yang telah dijampi. Aku tuliskan surat buat ayah dan ibunya.

" Ikhlas daripada saya, mohon kemaafan sekiranya saya terlebih pukul, rotan, dan menegur serta memarahi anakanda Azmil. Niat saya ikhlas, untuk mendidik supaya dijauhi sikap yang malas dan culas."

" saya doakan anakanda Azmil peroleh kejayaan dan yang terbaik dalam hidupnya. Yang lebih penting, saya mahukan anakanda Azmil menjadi anak yang SOLEH, taat dan boleh membalas jasa ayah dan ibunya satu hari nanti. "

" kalaulah, pada masa tahun mendatang, anakanda Azmil mempunyai masalah. Apa masalah sekalipun, jangan segan bertemu dengan saya. Saya tetap anggap dia sebagai " anak" saya. Bolehlah bertemu dengan saya selagi saya masih bertugas di sekolah ini "

Hakikatnya, tahun ini sungguh mencabar aku membimbing seorang anak yang kini berada di tengah persimpangan. Persimpangan baik ataupun buruk. Dan, sungguh sebanyak mana sekalipun teguran dan nasihat yang aku berikan, hanya Azmil sahaja yang boleh membuat keputusan itu.

Aku menjangkakan, samada keputusan itu akan menguntungkan hidupnya atau putus sama sekali. Guru di sekolah berkata

" cukuplah cikgu Jimi, kita dah buat yang termampu, nanti bila dia dah matang dan besar, dia akan sedar kesilapan "

Aku menjawab

" tidak, bila dia dah matang atau besar, dia menyesal tetapi dia dah HANYUT. Dia yang sepatutnya mungkin jadi jurutera, atau pemain bola sepak Perak, mungkin kerja di Tesco sahaja, sambil dengan motor dia dan awek minah rempit. Dia dah merokok dan mungkin minum arak macam remaja Melayu sekarang lain. Nauzubillah "

" itu yang saya takutkan. Saya takut saya tak jaga dia. Saya nak dia sedar nanti, bila dia nak buat semua benda tu, ada seorang cikgu di sekolah rendah, pernah sayangkan dia, pernah jaga dia, pernah nampak dirinya sendiri ".

Guru itu entah mengapa sedikit menitiskan air mata mendengar keluhan aku.

Barangkali, kerana dia " anak angkat " aku, dia semakin mempercayai bahawa hanya aku yang memahaminya. Sedangkan guru lain hanya mengadu tentang kelakukannya, tetapi pabila Azmil dengan aku, dia tidak mempunyai apa-apa masalah. Malah, sehingga kini, dia seorang murid yang mencapai markah tertinggi dalam dua subjek yang aku ajar.


Aku hanya mahukan yang terbaik. Untuk dia.

" Kalau azmil dah besar nanti, bila Azmil ingat balik apa yang dah cikgu buat semua untuk Azmil, Azmil datanglah carik cikgu. Masa tu cikgu dah tua. Azmil kenalkan cikgu dengan isteri dan anak Azmil. Cikgu harap Azmil masa tu dah berjaya."

" Kalaulah Azmil dengar cikgu dah tiada di dunia, dah mati, datanglah carik kubur cikgu ya. Cikgu tak banyak buat amalan sunat dan pahala. Doakan supaya cikgu dapat jadik orang yang diredhai Allah "

" Jangan kamu sesekali lawan cakap umi, ya. Jangan derhaka cakap umi kamu. Kesian umi kamu, basuh sisa pinggan orang makan. Kesian ayah kamu. Kerja macam-macam. Alih-alih kamu bakar duit dengan merokok. Azmil, jadilah orang baik, ya."


Azmil menangis teresak-esak perlahan. Ketika itu aku sedang memotong kuku jari kirinya yang sengaja disimpannya panjang. Barangkali, mengikut idea budak-budak sekolah menengah yang suka menyimpan kuku yang panjang.

Itulah kali pertama dia tidak menahan perasaannya. Kalaulah dia tahu betapa berbakat dan berkebolehan akan dirinya itu, serta mampumengubah nasib dirinya, apatah lagi datang daripada keluarga dan keadaan yang sebegitu. Tidak mengikut haluan angin dan lalang yang sia-sia tunduk ke kiri dan kanan.




Antara komen aku pada buku tulisnya, tulisannya yang cakar ayam.





Orang lain menulis memegang antara ibu jari, tetapi dia memegang pensil antara jari tengah dan yang keduanya, azmil...oh azmil.


Kejayaan bersejarah, 100 markah peroleh dalam satu ujian




Surat yang aku tulis buat ayah dan ibunya

Labels: ,

posted by jimi wiser @ Tuesday, September 09, 2008







<< Home

Bagaimana mahu merungkai JIMI?. Pada DNA nya, kelakuannya, sifat mazmumah atau mahmudahnya?. Mungkinkah JIMI itu sebuah ciptaan, atau persepsi bagi sebuah realiti? Jujurkah atau hipokritkah JIMI, tetapi bukankah semuanya begitu?. Mari mendalami JIMI..

:: Tentang JIMI I, II, III
:: Tentang JIMI dan sinema nya
:: Mengapa Jimi menulis?
:: Di sebalik wajah



Baju Raya
Macam Mana, Cikgu?
Wajah - wajah UPSR
Alhamdulillah
Kerja Sekolah, Cuti Sekolah

Tahniah, Madihah
Virus dan Stress
Generasi 2009

Cikgu Jimi dan Bahasa

Van Hijau Itu
Kejantanan

Yang Terbaik
Lepat Pisang Amirul
Belated Hari Guru
Demi Azmil III
Demi Azmil II
Demi Azmil I
Mudah-Mudahan
Warna-Warna Alam
Cikgu Siti
Terima Kasih Kembali,

Shahril oh Shahril
Terima Kasih
Hamba yang Lemah
Berkirim Salam
Ingat Tak Lagi Cikgu?
Kekentalan Jiwa
Hari Pertama
Hari Terakhir
Lepaskan Aku ke Laut
Debaran yang Kencang
Soal Selidik Cikgu Jimi
Guru Biasa, Guru Murabbi

Nasib Guru-guruku

Kad Raya Hanim
Salam Alifi
Misi Gigi
Pasca UPSR
Raya Lagi
Selamat Semuanya
Laskar Pelangi
Duit Raya
Agen Perubahan Sosial
Anyway
Cikgu Bukan Sekadar Cikgu
Azmil
Kehilangan
Shuhaida
Kamala
Melankolia Lagi
Memoir Seorang Guru
Tunai tetap ditunaikan
Berbuih-buih
Choral Speaking Bermadu
Kak Imah
Anak Kampung
Masih Berbaloikah Lagi?
Surat Cinta Monyet
Tunai Janji
Meja Cikgu Jimi
Cikgu Jimi
Terima Kasih
Menunggu dan Menanti
Hari Guru Bahagian 3
Hari Guru Bahagian 2
Hari Guru Bahagian 1

Teman Sejati
Kelas Antonim
I am Staying Put
Tinta Merah Cikgu Jimi
Hadi Haziq
Jerayawara
Sufiyah oh Sufiyah
Hadiah Buku
Destinasi Tugas
Kain Pelikat
Cuti Sekolah
Nikmat Kesyukuran
Hafiz
Khairil
Carpediem
Just Go and Fly Kite lah!
Perempuan Melayu Terakhir
Jimi di Pangkor
Hamimah
Cerita Hantu
Cinta Monyet
Puisi Anak Kecil
Anak Kecil Beraya
Anak Bangsaku Malaysia
Aku Yang Dihina
Duri Berduri
Bad Teachers 1
Bad Teachers 2
Cikgu Jimi 1
Cikgu Jimi 2
Kembaraan Harianku
Tunjuk Ajarku, Sifu
Guru Ibarat Lilin





Brick Lane
Tokyo Tower: Me, Mom and Sometimes Dad
Grace Is Gone
Sepi
La Misma Luna
Ayat Ayat Cinta
August Rush
Diving Bell and Butterfly
Gone Baby Gone
The Eye - revisited
Broken English
Juno
The Great Debaters
The Kite Runner
Secret Sunshine
Atonement
Freedom Writers
881 Papaya Sisters
Once
Waitress
Anak Halal
Denias; Senandung Di Atas Awan
Dead Poets Society
Evening
Sad Movie
Breakfast on Pluto
Lust, Caution
Driving Lessons
B
ushi No Ichibun
Tegami from Niraikinai
After Brylluppet
Starter For 10
Becoming Jane
Secrets
Anak The Movie
The Ultimate Gift
The Fountain
Miss Porter
Akeelah and the Bee
Paris Je T'aime
After This Our Exile
Snow Cake
Stage Beauty
Pan's Labyrinth
Mukhsin
Apocalypto
Children of Men
Little Miss Sunshine
Half Nelson
Dreamgirls
Babel
Pursuit of Happyness
Be With You
Prize Winning of Defiance Ohio
Confession of Pain
Curse of Golden Flower
Cinta
A Prairie Home Companion
The Wind That Shakes
The Barley

Goodbye Boys
The Banquet
Mistress of Spices
Heart


* Ulasan filem Jimi di gubuk lama