
Aku mencari kata permulaan. Kata permulaan untuk membuka langkah setiap baris perkataan yang bakal aku tuliskan di blog ini. Sebetulnya, bukan kata mula, tetapi gerak hati dan mood yang tercari-cari sebenarnya.
Runsing benar-benar menyesakkan diri dan sanubari. Sehinggalah aku terdengar cerita ini. Cerita pengorbanan seorang guru yang kalian tidak dapat mengetahuinya di Harian Metro, Kosmo atau Buletin Utama.
Seorang bekas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah berhampiran rumah aku mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke universiti. Difikirkannya sudah tiada jalan lain. Latar belakang keluarganya yang susah. Jadi, dia membuat keputusan untuk menolak sahaja tawaran itu. Terserempak dengan bekas gurunya, bertanya khabar dan cerita. Alangkah terkejutnya guru itu pabila mengetahui, anak muridnya itu ingin menolak tawaran IPTA itu
" takpelah cikgu, rezeki ada di mana-mana. Saya kerja kilang pun dapat duit. Saya nak tolong adik-adik saya. Mak saya sakit-sakit " Persis tipikal drama Bersamamu TV3 yang agak klise. Tetapi begitulah suramnya makna dan maksud realiti kehidupan. Itulah hakikatnya.
Dua hari kemudian, datang guru tersebut ke teratak buruk bekas anak muridnya itu di hujung kampung.
" Cikgu nak kamu sambung belajar. Ini peluang kamu untuk berjaya. Pedulikan samada nanti kamu menganggur atau tidak "
Guru itu menyerahkan sampul kuning air kepada anak muridnya itu. Dalamnya ada sejumlah RM1, 000. Buat belanja permulaan di kampus sebelum mendapat duit pinjaman pelajaran semester berikutnya.
Dipinjamkan kereta kancilnya untuk menghantarkan bekas anak muridnya itu pergi mendaftar. Malah dia sanggup menghantar jauh ke selatan tanah air.
" Cikgu tak banyak duit nak bagi kamu duit belanja. Ini yang cikgu mampu berikan "
Anak murid itu terkedu dan terkelu lidah untuk mengungkapkan kata-katanya. Terima kasih mungkin tidak mencukupi, mungkin jasa dan budi itu tidak terhingga dihitung. Siapa sahaja yang sanggup memberikan duit sebanyak itu kepada " orang asing " tanpa meminta balasan?. Air mata terharu sahaja yang mampu dilelehkan. Sebak menyelubungi seluruh ruang kecil rumah yang usang itu. Tetapi, seribu rahmat dan kebahagiaan hadir menyelubungi seluruh rumah itu.
Aku kenal benar dengan guru itu. Sebalik senyuman malunya itu. Kak Imah yang aku panggil sewaktu aku bertugas di sekolah menengah lima tahun dahulu. Sama-sama berusaha mengajar anak-anak remaja Melayu Tingkatan Enam Atas dan Bawah yang liat dan degil untuk mengubah haluan hidup mereka.
Satu hari ketika berbual bersamanya, Kak Imah mengeluarkan dompetnya, mengeluarkan salinan slip keputusan STPM bekas anak muridnya. Bilangnya, itu keputusan bekas anak muridnya yang sudah berjaya, telah mengungguli 5A. Menjadi azimat serta tangkal buat dirinya menjadi seorang guru yang lebih dedikasi.
Aku kagum akan semangat dan keikhlasannya ketika itu. Dan, pabila aku mendengar cerita Kak Imah memberikan sejumlah besar wang sebanyak itu hanya untuk bekas anak muridnya itu, aku tidak gelengkan kepala kehairanan seperti orang lain. Kendatipun begitu, dalam hati berbisik yang sangat menghiris
" masyaallah, hebatnya kak Imah dengan keikhlasannya, bilakah aku akan menjadi sehebat seperti Kak Imah? "
Labels: cikgu Jimi |