
Ini ialah sebuah filem yang telah menang besar dalam Festival Anugerah Filem Jepun pada tahun 2007 yang menggondol kategori Filem Terbaik, Sutradara Terbaik, Skrip Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.
Ini ialah sebuah filem yang dipadankan daripada buku terlaris,sebuah buku autobiografi Lily Franky, tentang kisah dan hubungannya dengan ibu kandungnya.
Ini juga sebuah filem yang dipadankan daripada drama TV Jepun popular juga daripada judul yang sama, Tokyo Tower; Mom and Me and Sometimes Dad.
Aku fikir sekiranya filem itu telah mengutip kutipan tertinggi, dan membolot banyak anugerah untuk anugerah-anugerah utama pasti mempamerkan filem yang baik dan bagus untuk tatapan penonton.
Sebuah kisah biasa yang biasa dipaparkan dalam kebanyakan filem. Mungkin kalian boleh mengelaskan sinopsis ceritanya ini sebagai satu daripada hal-hal cerita Hallmark, atau feel good movies, yang berinspirasi yang sentiasa sahaja menjadi genre kegemaran aku. Tetapi, aku fikir juga, sekalipun ia masih kisah cerita yang sama - tentang pengorbanan seorang ibu terhadap anak lelakinya, sama sekali tetap sutradaranya berjaya menampilkan kesegaran dalam penghasilan cerita yang berbeza.
Ia tentang kisah suka-duka seorang ibu yang bernama Eiko. Meninggalkan suaminya yang kaki mabuk pulang ke kampung asalnya, membesarkan anak lelakinya Masaya di sana. Kisah tentang perjalanan pahit dan manis mereka. Sedari kecil Masaya digambarkan dengan kenakalannya, sehingga remaja bagaimana ibunya sanggup berkorban wang dan keringat demi menyekolahkan Masaya.Masaya akhirnya berjaya memasuki universiti, tetapi ketika waktu itulah Masaya berubah menjadi terumbang ambing dengan budaya orang muda. Melupakan pengorbanan ibunya di kampung.
Namun, mujurlah Masaya cepat sedar dari kemabukannya, dan kembali ke jalan asal. Masa itulah betapa dia sedar betapa teguhnya ibunya berada di sisinya selama ini.
Namun, apa yang dilihat selamanya ini betapa ibunya gagah sebagai seorang ibu yang menaungi hidupnya, terhempas apabila mengetahui ibunya menghidap penyakit barah yang membawa maut.
Menyedari mahu menebus kesalahan dan kesilapannya, Masaya mengambil keputusan membawa ibunya tinggal bersamanya di Tokyo, dan menjaganya sehabis daya. Sungguhpun demikian, ibunya dengan perit dan berani seperti selalunya menempuh kesakitannya.
Ini sebuah filem tentang kasih seorang ibu. Ibu yang dimaksudkan di sini bukanlah sempurna seperti malaikat. Tetapi, ibu yang sentiasa melucukan dan berjenaka. Sentiasa bersikap keanak-anakan. Unik dan tersendiri karakternya. Namun, di dalam hatinya penuh ketabahan melawan kesakitan yang meracuni dirinya. Tetapi, pada saat yang sama mencintai dan menyayangi anak lelakinya sepenuh hatinya. Dia hanya mahukan yang terbaik untuk anak lelakinya itu.
Ia juga sebuah kisah persahabatan. Persahabatan mesra anaknya Masaya dengan ibunya sendiri. Kemesraan yang dicemburui orang lain. Dan, seringkali juga kenangan Masaya ini diceritakan bagaimana dia menghabiskan cuti musim panasnya bersama ayahnya yang berpisah dengan ibunya.

Apa yang menarik dalam filem Tokyo Tower ini ialah, tiada langsung watak villain. Malah, sutaradara melihat watak ayahnya pada saat-saat akhir kematian isterinya itu sebagai saat yang mengharukan. Kita tidak boleh menjadi sempurna. Menerima manusia dengan kekurangan dan memaafkan apa yang berlaku pada masa silam. Mungkin, itu yang mahu disampaikan melalui cerita tersebut.
Mudah sahajakah mahu membuatkan penonton menangis air mata melihat jasa ibu dalam banyak filem sebelum ini? Tetapi, sutaradara tidak mahu menjerat penonton melihat sekali lagi banyak adegan air mata yang meleleh. Adegan-adegan dipersembahkan secara minimum. Tiada emosi yang keterlaluan, atau lebih mudah; tiada adegan ratapan bangsawan yang melampau.
Mungkin kalian akan bertanya, apa kaitan pula Menara Tokyo dengan cerita ini?
Sebuah impian Eiko, ibu Masaya yang mahu naik ke puncak menara tinggi itu. Tetapi, sayangnya kesihatannya tidak mengizinkan. Tetapi, demi memenuhi janji untuk menyenangkan hati ibunya, Masaya sanggup berhabis duit memilih hospital yang mempunyai bilik menghadap tingkapnya ke arah menara Tokyo yang berkerdipan dan cantik itu.
Menara Tokyo sebagai lambang atau simbolik kasih ibu dan anak yang tidak mungkin padam meskipun di hujung nyawa. Mercu tanda ketinggian kasih sayang kekeluargaan yang terulung. Sebuah filem yang sangat mengharukan sungguhpun permainan emosi itu dimainkan secara minimum dan terkawal, tetapi bisa menggetarkan hati menjadi sebak dan menitiskan air mata juga akhirnya.
What a good movie, indeed.