
Kelmarin, seorang murid tahun satu hanya membatukan diri di pondok bacaan, sekalipun teman-temannya sudah lama berbaris mendapatkan makanan sebagai kudapan waktu rehat.Cikgu Mirul, menghampirinya. Entah bagaimana, budak itu terus menangis hiba. Katanya duitnya hilang. Lalu, Cikgu Mirul mengeluarkan not satu ringgit. Lantas, terus mengalir lagi tangisannya itu.
Aku menjadi cukup sebak menonton adegan cerekarama itu. Itulah cikgu yang pengasih dan penyayang. Kalaulah semua cikgu sebegitu penyayang dan pengasih sepertinya.
Cikgu Rozah, telah memfotokopi setiap seorang satu set buku rujukan persediaan UPSR untuk anak-anak kami sebanyak 14 orang semuanya. Entah banyak mana wang yang dibelanjakannya. Apabila diminta resit supaya boleh membuat tuntutan semula, dia hanya menggelengkan kepalanya. Katanya " sedekah untuk anak-anak kita "
Sekali lagi aku sebak. Kebaikan dan kebajikan yang mungkin masyarakat dan ibu bapa tidak menyedarinya. Semoga keberkatan mengajar dan memperoleh gaji setiap bulan diberkati yang Esa.
Aku sayangkan anak-anak aku. Sungguh. Aku tidak tahu tentang perasaan guru -guru lain. Pabila mengajar tahun 6 selama lebih empat tahun ini, aku berhempas pulas supaya mereka mendapat keputusan yang cemerlang. Dan, semakin bulan demi bulan berlalu, aku berasa sebak untuk membiarkan mereka pergi ke alam menengah pula.Sungguh, aku berasa sangat kehilangan. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya.Sebenarnya, tatkala mereka masuk ke alam menengah, jarang benar mereka akan mengingati cikgu-cikgu sekolah rendah mereka.
Julai semakin mahu menutup tirainya, dan Ogos pula menanti. Nanti September, dituruti Oktober, dan November menjengah dengan keputusan UPSR. Persis seorang ayah yang menanti keputusan anak-anaknya. Dan, nanti mereka akan keluar dari pagar sekolah aku, sebagai remaja yang akan menunggang motosikal ayah mereka ke sekolah, berselisih dengan kereta aku yang kebanyakan mereka sudah menganggap aku sebagai orang " asing ".
Seorang guru senior pernah berkata:
" Bekas anak murid yang mengingati kita selalunya ialah bekas murid yang pernah kita rotan dan marahi. Mereka yang terkesan dengan nasihat dan marah kita, pabila sudah dewasa, dan pabila terserempak dengan kita, punyalah mengucapkan terima kasih kepada kita. Jarang bekas murid kita yang pandai tu nak ingatkan kita, jarang sangat "
Aku berfikir selalau tentang kenyataan itu. Betulkah begitu?
Mungkin. Kerna aku pun sudah hampir lupa sebahagian nama-nama cikgu sekolah rendah aku. Pernah kalian mengirim Kad Hari Guru buat guru-guru sekolah rendah kalian? Aku sebetulnya hantar sekeping dua, itupun yang masih berbekas di hati.
Mungkin, nanti juga bekas anak-anak murid aku akan lupa siapa cikgu Jimi sebenarnya nanti.
Perpisahan itu sangat menyiksakan bagi aku. Setiap tahun pasti ada murid yang singgah di hati kita. Arghh, dia yang selalu menguntum senyumannya. Dia yang selalu berpakaian selekeh. Dia yang selalu dengan hingusan dan sapu tangannya. Dia dengan baju comotnya. Dia dengan senyuman kambingnya. Comelnya melihat mereka.
Pabila sudah remaja. Pabila terserempak mereka di bandar, atau di tepi jalan. Amboi sesetengahnya sudah pandai melaram. Gediknya lain macam. Yang lelakinya, pula asyik dok membelek rambut dengan susunan rapinya. Kalau dulu dia yang selekeh, kali ini dialah yang dengan baju hebatnya dan senyuman romeonya. Tegur pun tidak. Apatah lagi mahu memberikan salam.
Aku tersinggung. Barangkali. Tetapi, siapalah aku ya. Hanya guru sekolah rendah sahaja. Cumanya, kalaulah mereka tahu betapa aku sayangkan mereka dan ingatkan mereka.
Hujung minggu kelmarin, aku membawa empat anak murid aku ke Bengkel Menjawab Soalan di kota. Wang yurannya aku bayarkan sendiri, yang aku anggapkan sebagai sedekah dan keikhlasan aku. Mereka berempat ialah murid -murid kumpulan B, murid sederhana yang aku harap dapat dilonjakkan keputusan mereka. Subuh lagi aku sudah menunggu mereka di pondok perhentian bas. Sampai petang aku menunggu mereka sehingga selesai.
Seorang itu siapkan bekal kuih ketayap dan kuih lapis yang ibunya buatkan untuk aku.
" ini ibu saya buatkan untuk cikgu " katanya kepada aku.
Rasa sebak pula di hati.
Salah seorang anak murid yang ku bawa ialah anak angkat aku sendiri (melalui program anak angkat , setiap guru menjaga/membimbing seorang atau dua orang murid tahun 6, sebagai persediaan peperiksaan UPSR).
Pabila mengenangkan anak aku yang seorang ini, macam - macam betul dugaan, mengibaratkan dirinya sebagai anak aku, sayangnya aku pada dia sungguh menggunung. Aku harap dia tahu dan sedar akan semuanya itu. Pabila mengenangkannya harapan aku yang terlalu tinggi, sehingga perasaan sebak untuk menceritakannya.
Nanti, nantilah aku ceritakan tentang dia ya. Inshaallah. Akan aku dedikasikan satu entri khusus buat dia.
Mengapa ya, semua perkara yang berkait rapat belakangan ini seperti mahu membuatkan aku menangis terharu. Sudah lama aku tidak menangis hiba. Arghh beginilah menjadi seorang yang begitu Melankolik.
Labels: cikgu Jimi, laments