
Apabila aku mengenangkan kali pertama aku melangkah ke perkampungan ini, bertugas dan melaporkan diri pada hari pertama di daerah sepi ini, kaget dan terkejut juga.
Jauhnya tidaklah sejauh menyusuri sungai atau jalan berliku seperti yang aku lihat pada video guru-guru di pedalaman. Jauh dari rumah aku tidaklah mengambil satu atau dua jam, tetapi hanya mengambil tempoh 15 minit barangkali.

Tetapi,cukup jauh berbeda fizikalnya, malah, aku sendiri pun tidak menyangka setelah menempuh ladang sawit, bertemu pula bekas tinggalan lombong bijih timah, bertemu pula ladang getah.

Satu , dua rumah papan kecil di celah hutan sawit dan getah itu. Hentikan pendingin hawa dalam kereta. Turunkan tingkap kereta. Hidulah bau-bauan kampung. Bau yang jarang kita alami, seperti seorang pelawat yang pernah berkata;
" Kali pertama saya datang di sini, saya turunkan tingkap kereta, saya mencium bau bakar daun-daun kering, melihat mak cik menyapu sampah , bau itulah yang saya rindui , ketenangan desa yang tidak pernah ada suasananya di kota "
Itulah komen seorang pelawat dari Putrajaya ketika kali pertama datang ke sekolah aku, setelah sesat barat mencari lokasi sekolah aku.
Rata-rata penduduk kampung di sini bekerja kampung. Aduhai, terlalu subjektif maknawi " bekerja kampung" itu. Mungkin sahaja dia hanya berkebun, mungkin dia mengambil upah menurunkan buah sawit, mungkin dia hanya menoreh getah, atau sekadar berniaga kecil-kecilan.

Lihatlah sahaja fizikal rumah-rumahnya. Bak rumah yang ditinggalkan. Kawasan perkampungan yang menggabungkan lebih tiga buah kampung ini rata-ratanya berbangsa Jawa Melayu.
Orang bilang, orang Jawa ini sangat rajin bekerja. Aku tidak pasti sejauhmanakah kebenarannya.
Kak Wani, ibu kepada seorang anak murid aku. Suri rumah sepenuh masa. Tetapi memang gigih berusaha memajukan nasibnya. Menoreh getah waktu pagi, Meletakkan kuih-muih di pelbagai warung kecil sekitar sini. Mengambil upah menjahit baju kurung. Kadangkala, dikutip daun-daun getah dijadikan hiasan dekorasi produk kraf tangan desa seperti yang kalian tonton di TV1. Tidak cukup dengan itu, mengambil upah menjaga anak cikgu. Serba - serbinya dilakukan sehabis daya dan selagi mampu.
Tetapi sayang, anaknya yang mentah tidak mahu tahu maksud pengorbanan ibunya itu. Anak teruna kecil itu pernah aku rotan, kerana sikapnya yang melewah-lewah. Mengapakah benih anak lelaki semuanya sebegitu?.
Mengenangkan cerita Kak Wani yang kutitip, aku menjadi sebak.
Lalu aku bebelkan kepada Hamidun
" Pukul berapa mak kamu bangun ? "
" Pukul 4.30 pagi, bukan?. Menyiapkan kuih-kuih untuk mendapat 15RM sehari "
" lagi apa, pergi menoreh, jaga anak orang, menjahit baju, masak untuk kamu "
" tapi kamu, kamu yang malas "
" kamu beritahu cikgu, siapa yang nak tolong keluarga kamu?, kalau kamu malas begini "
Air mata berjujuran. Kesal. Tetapi, kesal kanak-kanak bersifat sementara sahaja. Sukaria lebih dimengertikan daripada maksud kesusahan yang sebenar. Aku hairan, mengapa pelajar perempuan lebih berdisiplin, komited dan bertanggungjawab daripada lelaki? Mereka memahami maksud kesedaran.
Sebab itulah, pelajar perempuan lebih menyerlah di mana-mana. Anak lelaki hanya tahu membesarkan perut boyot di depan tv selepas makan tengahari. Mengikut sikap bapa-bapa Melayu yang tiada kesedaran mengubah nasib hidup keluarga mereka.

Anak-anak lelaki mandi di sungai atau parit yang kotor. Lihatlah anak-anak sekarang, terserempak dengan cikgu mereka, tidak tahu mahu malu dan segan. Berani mengangkat tangan tatkala aku merakam aksi mereka di sungai itu. Lucu dan comel bagi kamu, kerana sungai itulah kerja rumah mereka gagal disiapkan. Kerana sungai inilah kamu ponteng sekolah. Kerana sungai inilah kamu gagal menghadiri ke kelas tambahan.
Melepaskan tekanan kehidupan. Seperti anak-anak kota dengan takrifan spa mereka.
Kita pernah mendengar cerita dulu-dulu, bukan? Anak-anak kampung sentiasa ke masjid atau surau kampung. Pergi mengaji al-quran, sudah berada di tahun 2 atau 3, sudahpun khatam al-quran.
Barangkali, situasi seperti dulu itu sudah tiada di sini lagi. Atau, mungkin di tempat lain masih mengamalkannya. Rata-rata masih ternganga ketika mahu membaca sepotong ayat al-quran. Manakan tidak, ayahnya sibuk mengulit sedangkan ibu bertungkus lumus melangsungkan kehidupan.
Peritnya ustazah, ustaz mengajar baca huruf huruf jawi. Al-fatihah masih gagap, bagaimana solat mahu disempurnakan dengan baik pabila dewasa, sedangkan yang asas masih bertatih-tatih. Al-Fatihah tergagap walaupun sudah sampai dewasa, tetapi nanti masih tahu nak kahwin, buat anak dan sebagainya. Dan, cycle satu lagi pun bermula.

Seorang guru di sekolah aku, satu hari sengaja menyamar dan melepak di pondok bas. Hajatnya mahu menyelami dunia mamat-mamat melepak di situ. Malam, masih belum bersolat sekadar menghabiskan masa berborak kosong. Seorang abang beranak dua berkata;
" cikgu senanglah cakap. Cikgu datang dengan kereta besar.cikgu mengajar sampai pukul satu. Kami yang miskin. Kami yang susah."
Cikgu itu membalas
" tak betul, saya juga datang daripada orang yang susah. saya pernah dirotan cikgu masa di sekolah dulu. Saya pernah ketuk ketampi seratus kali. Saya mandi sungai, cikgu ligan saya suruh datang sekolah. Saya budak malas tetapi saya mengaku, saya mungkin pandai, saya paksa diri saya belajar jadi pandai. Dan, sekarang saya jadi cikgu. tentu saya nakkan anak kampung di sini jadi macam saya "
Abang yang mengomel itu diam seribu bahasa.
Benar. Kemiskinan itu satu faktor. Tetapi itu bukan alasan untuk kita tidak berusaha. Kampung itu ada Kak Wani, Kak Kiah dan banyak lagi wanita-wanita yang gigih berusaha mengubah hidup. Tetapi, mengapa spesis lelaki Melayu sebegitu, mengalir pula kepada keturunan anak-anak lelaki mereka?
Ironinya, Kak Lun menitiskan air matanya mengenangkan anaknya gagal ditempatkan di sekolah agama pilihannnya di Singapura. Hanya kerana itu? Sedangkan anak-anak Melayu yang aku ajar di sini, hampir bertahun tidak pergi ke sekolah agama, tiada sekelumit perasaan kesal berdetik di hati. Masih gagal menterjemahkan maksud " survivaliti".
Hati aku dekat dan mendoakan yang terbaik buat manusia seperti Kak Wani, yang tidak berputus asa, tidak mencari alasan untuk memajukan keluarga mereka. Inilah perkampungannya. Kerana di sinilah aku ditugaskan mendidik dan mengajar anak bangsa aku.
Doakan aku tekad, redha dan tabah meneruskan perjuangan ini. Menentang segala bentuk negatif dan stereotipikal kehidupan. Bak kata pepatah, alah biasa tegal biasa.Labels: cikgu Jimi, laments