 Hanya ada empat orang sahaja murid lelaki dalam kelas Tahun 6 di sekolah aku. Zaman kaum lelaki yang semakin pupus barangkali. Daripada empat orang itu, dua murid itu masih dikira berpotensi untuk mencapai keputusan yang baik UPSR tahun ini.
Tetapi, malangnya. Biasalah namanya lelaki, perhatian di luar kelas itu lebih menarik perhatian. Tambahan pula, kurangnya fokus dan tumpuan menyebabkan mereka selalu ditewaskan oleh murid-murid perempuan. Kalau dalam pelajaran aku, asyik sahaja markahnya 78, 76 yang sangat-sangat hampir mendekati skor A.
Aku selalu benar membebel. Kamu tidak fokus. Bila menjawab soalan, tidak membaca arahan dan dan apatah lagi bebelan aku. Sebelum itu, peperiksaan pertengahan semester tempoh hari, aku bilang kepada mereka.
" Kamu berdua, dapatkan 2A daripada Pemahaman dan Penulisan, cikgu bawak kamu berjalan."
Nampaknya, bersungguh-sungguh mereka bertanya, samada benarkah aku mengujakan cadangan itu suka-suka atau serius.
" yes, I am serious you know " kataku lagi. Mereka berdua tertawa, cikgu bahasa mereka mahu berbahasa Inggeris pula.
Takdir penentu segala. Entah panahan ajakan mahu bersiar-siar itu menjadi taruhan buat mereka. Alhamdullah, dua anak lelaki aku itu mendapat 2A kedua-duanya. Memang aku semak dua tiga kali jawapan mereka. Paling aku tidak menduga ialah Azmil, yang keputusannya melebihi jangkauan aku.
Jadi, aku membawa mereka menaiki kereta buruk aku menuju ke bandar raya Ipoh.
" Bawak banyak duit tak? " tanya aku mengusik.
" Adalah cikgu, kenapa? " tanya Azmil.
" Hai, nak isi minyak kereta cikgu lagi, nak belanja cikgu lagi " aku mengusik lagi.
Mereka ketawa besar. Sesekali keluar aura cikgu Jimi yang suka berseloroh, benda yang kelihatan serius itu menjadi lawak jenaka yang tidak mereka sangkakannya.
" Okie, nak main bowling ke, nak tengok movie ke, atau nak buat bodoh je? " tanya aku.
Dua-dua malu kucing untuk menjawab. Akhirnya mereka pilih untuk menonton wayang. Katanya, selama ini mereka belum pernah lagi masuk panggung, hanya membeli vcd cetak rompak sahaja.
" ish, ish, ish kesian betul la anak-anak cikgu ni, tak penah tengok dalam panggung wayang ya? " aku melawak lagi.
 Iron Man, Transformer, Indiana Jones, Speed Racer. Banyak betul pilihan masa musim cuti sekolah sebegini. Kalau tidak, hendak sahaja aku seret mereka menonton filem-filem genre kesukaan aku. Memandangkan, itu adalah hari mereka. I will make them feel very happy.
Ketawa berdekah-dekah mereka dengan adegan pantas, lucu dalam Speed Racer. Memeluk tubuh mereka, katanya sejuk teramat dalam panggung. Keseluruhannya, mereka sangat enjoy menonton filem Speed Racer tersebut.
Seusai menonton, aku bawa mereka memilih ke restoran makanan segera pilihan mereka. Aku fikir mereka agak terharu dan sedikit " overwhelming " pabila melihat aku bersunguh-sungguh membelanja mereka.
" Makan, habiskan kentang tu. Tak habis, kamu tinggal sini, balik jalan kaki " Aku melawak lagi.
Kadangkala, aku terperasan mereka masih lagi berhati-hati apabila bercakap dan berbual. Masih lagi menghormati aku sebagai guru mereka. Tidaklah diberikan betis mahukan peha. Sekurang-kurangnya, mereka mempunyai adab yang baik.
Masuk pula ke kedai buku. Aku mencari buku-buku terbaru. Aku belek kalau ada buku yang berkenan di hati. Aku melihat mereka pun sibuk mencari buku-buku kerja untuk persediaan UPSR. Sebelum aku keluar, aku berkata " Hah, kamu tengok tu, nampak anak-anak cina tu, sanggup duduk atas lantai, baca berjam-jam lamanya kat situ. Ada kamu nampak anak melayu kat situ? Macam tu lah kalau nak maju, bla bla bla bla…" aku mengeluarkan hikmah dan tazkirah aku.
Tak terdaya. Kalau dah cikgu, cikgu jugaklah kan. Singgah sebentar di masjid pertengahan jalan untuk solat zohor. Perjalanan pulang disulam ketawa dan gurau senda sepanjang perjalanan. Aku selitkan juga nasihat supaya mereka terus berjaya supaya lebih berusaha keras supaya mendapat keputusan yang baik nanti.
" Cuba tengok ayah kamu, kesian bawak van, kumpul botol-botol kosong dan surat khabar lama. Kesian mak kamu kerja di restoran, cuci pinggan sisa orang makan.Kamu pula anak tunggal. Kalau kamu tak berjaya, siapa nak tolong ayah mak kamu lagi. Kamu mesti belajar bagus, dapat kerja baik, beli kereta cantik, bawak mak ayah kamu berjalan, macam cikgu bawa kamu sekarang ni " nasihat aku kepada dia.
Azmil hanya diam, sekadar menganggukkan kepala. Tersentuh sedikit perasaan dia, apabila mengenangkan dia hanya anak tunggal. Kerana kakaknya dahulu lahir awal, tetapi meninggal sebelum sempat menjadi orang dewasa.
Azmil kadangkala nakal dan suka sangat hilang fokus dalam pelajaran. Mungkin, menjadi anak tunggal yang manja, kadangkala sikapnya agak terbiar dan tidak menentu. Mujurlah, kadangkala dia masih boleh memberikan fokus apabila diberikan nasihat. Tentu sunyi kan, menjadi seorang anak tunggal dalam keluarga?
Setelah menghantar Zafirul di hadapan rumahnya, aku terus membelok ke jalan kiri, menghantar Azmil pula.
" balik terus ke rumah ya, jangan merayau lepas ni " nasihat aku yang terakhir.
Sambil menanggalkan tali pinggangnya. Memegang beg plastik mengandungi buku-buku yang dibelinya tadi. Terus memegang kedua belah tangan aku, dan mengucupnya.
" Terima kasih cikgu, sebab belanja saya tengok wayang dan makan KFC, saya takkan lupa sampai bila-bila " kata-katanya yang terakhir. Ada perasaan pilu dan sebak yang cepat-cepat terbit dalam hati aku. Aku hanya mengangguk senyum. Dalam perjalanan pulang, entah bagaimana aku pula yang sebak dan terharu. Aku harap nanti bila dewasa, dia akan ingat kenangannya pertama seumur hidup , menonton wayang bersama cikgunya sendiri. Harapnya cikgu kesayangannya juga. Labels: cikgu Jimi |