
Menjadi seorang guru kadangkala mengheret aku kepada hal yang sangat mencuit hati dan menggelikan hati aku. Pelbagai peristiwa yang terhimpun dan tersusun, dan pastinya bila kukenang dan kuingat, boleh sahaja tertawa sendirian.
Menjadi seorang guru yang bujang, kadangkala pernah juga aku di"sunting"oleh bekas anak murid aku. Kelakar pabila mendengarnya, bukan? Tetapi itulah yang terjadi kepada diri aku.
Lewat bulan yang lalu, aku terima surat yang berbaur " cinta monyet " daripada salah seorang bekas anak murid aku yang sudahpun belajar di sekolah menengah. Dikirimkan melalui adiknya yang masih lagi belajar di sekolah rendah.
Hal ini menjadikan aku seorang yang tidak karuan perasaannya. Marah, geram, lucu, kelakar malah aku ketawa besar saat membaca surat daripadanya. Perlu diingatkan di sini, mereka ini sudah mula pandai bermain " surat cinta " pabila menjengah ke alam menengah rendah, bermula dari Tingkatan Satu hingga Tiga. Orang kata, hormon dan kimia dalam badan sudah naik satu badan.
Yang jadi mangsanya ialah aku. Kerana itulah yang mereka fikir semata-mata, aku ni boleh melayan " asmara " mereka. Kirim salam, ya. Yang seorang ini menghantar surat ini, dengan pantun yang berbunyi , pecah kaca pecah gelas, tetapi sudah ditukar langgamnya kepada pecah lori, pecah bas. Wah, masih lagi budak zaman kini menggunakan genre pantun yang sama, bukan? Aku ingatkan zaman kanak-kanak aku sahaja yang gunakan pantun sebegitu.
Aku tidak tahu mahu membalas reaksi apa terhadap surat ini. Nak dibalas nanti jadi lebih perasan dan berangan pula jadinya. Nak dimarah supaya tumpukan pada pelajaran, boleh membunuh diri agaknya dia. Harakiri agaknya. Pastinya, aku abaikan sahaja. Ya, abaikan sahaja.
Biarlah, nanti masuk Tingkatan Empat dan atasnya, mereka sudah mula mengambil perhatian kepada senior mereka mahupun rakan sekelas mereka. Dan, masa itulah bolehlah membuat perhitungan hidup dan mati mereka terhadap cinta monyet mereka itu. Semua ini normal, memandangkan mereka masih belum boleh seimbangkan diri antara kanak-kanak dan awal remaja.
 Tetapi, padahlah jika mereka masih di sekolah rendah, masih belajar dengan aku, terutamanya di tahun enam mahu menulis surat sebegini kepada aku, mahu menghantar surat sebegini kepada aku? Hah, siaplah aku berleter dan membebel. Kerana itulah, tiada siapa yang berani. Alih-alih, masuk alam menengah pula, ulat bulu dalam daun sudah mahu bergetah dan menarik-narik.
Telah aku katakan tadi, pabila menerima surat sebegini. Tak keruan jadinya. Aku tidak tahu mahu respons yang bagaimana. Perlukah aku marah? Sekadar menguntum senyuman dan tersengih sahajalah. Tetapi temanku sekalian, lucunya pabila bertemu di kedai runcit atau berselisih di tepi jalan, malunya yang mengiim surat itu bukan kepalang. Dia malu besar agaknya. Aku hanya tertawa dalam hati.
Budak awal remaja, bukan? Aku pasti aku dan kalian pun mungkin pernah terdetik di hati " jatuh cinta monyet " dengan guru kita. Kerana kita anggap guru itu paling dekat di hati kita. Paling menyayangi kita, padahal perasaan itu tidak sama. Hanya kasih seorang ayah/ibu atau kakak/abang jika masih muda lagi. Begitulah perasaan aku kepada mereka semua.
Pernah atau tidak aku jatuh hati di sekolah? Pada guru sahaja ya, bukan muridnya. Itu pengakuan ikhlas aku. Pernahkah kalian " jatuh hati monyet " kepada guru kalian?
p/s Ini surat yang kelima yang kuterima sepanjang sejarah perkhidmatan aku sebagai seorang guru selama 6 tahun ini.Labels: cikgu Jimi |