Ini ialah sebuah filem daripada adaptasi novel Brick Lane yang ditulis oleh buku terlaris Monica Ali. Selamat datang ke dunia seorang wanita Bangladeshi, bernama Nazneen. Permulaan cerita dimulakan ketika di usia Nazneen kecil, bermain-main di tepian bendang sawah yang menghijau bersama adik perempuannya. Kebahagiaan anak-anak kecil yang barangkali tidak mengerti maksud kesusahan dan kegetiran hidup. Hidup seperti mudah dan sempurna pada ketika itu.
Tetapi, ia tidak menjadi sebegitu indah, bukan? Dia menyaksikan sendiri ibunya sendiri mengambil nyawanya sendiri dengan membenamkan dirinya di dalam sungai. Meninggalkan dia dan adiknya terkapai-kapai di dunia.
Dan, dalam usia yang begitu kecil dan cilik, dia dilamar untuk dikahwinkan, dan dengan pantas dia terpaksa mengikut suaminya di London. Rindu dan nostalgia bertaut dan bersemi, paling dirinduinya ialah adiknya yang terpaksa ditinggalkan.
Bayangkan, usianya masih kecil remaja tetapi terpaksa memikul kehidupan yang matang, dan akhirnya mengubah hidupnya sebagai wanita Muslim Bangladeshi yang berhijrah di tanah asing.
Sungguhpun London kota metropolis yang agung, tetapi hidup Nazreen hanyalah dikelilingi dengan kehidupan imigran yang lain. Duduk dalam kluster-kluster bangunan kotak kosong yang dibina oleh batu-batu simen merah. Dan, kehidupannya hanya dikelilingi oleh " brick lane " yang mungkin tiada sesiapa tahu betapa sunyi dan sepi hatinya.
Nazneen acapkali berutus surat dengan adiknya di Bangladesh. Dia rindukan tanah hijau di sekeliling rumahnya. Hari demi hari dia termimpi dan terkenangkan zaman anak kecilnya, berlari riang di tepi sawah. Saat yang sungguh membahagiakan dalam hidupnya. Bertahun-tahun tidak ketemu adiknya, dia menyimpan hasrat untuk pulang dan bertemu adiknya.
Mempunyai suami yang ortodoks dan mengongkong. Tipikal suami yang langsung tidak membenarkan isterinya berbuat apa-apa, tanpa mahu mengetahui isi hati isterinya sendiri. Masalah semakin meruncing apabila anak-anak perempuannya lupakan budaya asal mereka sebaliknya menganggap London adalah tempat asal mereka. Pertembungan budaya dan fahaman tradisional dan moden sering bertelagah.
Nazneen sedari akhirnya, dia bukanlah Nazneen, gadis kecil yang sering bermain di sawah. Nazneen menjadi manusia yang kompleks dan mempnyai seribu tanda tanya dan persoalan - tentang persepsi hidupnya, tentang suami dan keluarga. Tentang dirinya sebagai wanita muslim yang pertama kali jatuh cinta " semulajadi " kepada orang lain selain suaminya, dan pada akhirnya menyedari " rumah"nya bukan lagi di Bangladesh tetapi di bangunan kluster batu-bata merah yang melindungi diri dan keluarganya.
Sebuah filem " sepi " kehidupan seorang perempuan yang dari usia mudanya hingga dewasanya tidak pernah ditanyakan apakah yang dimahukan dalam hidupnya. Sebuah kisah kerinduan wanita terhadap kekosongan hidupnya.
Mungkin, aku akan mencari novelnya pula untuk menyelami dunia hidup Nazneen dengan kata -kata pula.
Bagaimana
mahu merungkai JIMI?. Pada DNA nya, kelakuannya, sifat mazmumah
atau mahmudahnya?. Mungkinkah JIMI itu sebuah ciptaan, atau
persepsi bagi sebuah realiti? Jujurkah atau hipokritkah JIMI,
tetapi bukankah semuanya begitu?. Mari mendalami JIMI.. ::Mengapa
Jimi menulis? ::Di
sebalik wajah