
Maaflah teman semua, kala ini cuti persekolahan penggal pertengahan telah pun bermula, tetapi buat aku ,harus melunaskan kerja-kerja pentadbiran. Biasalah, guru - guru manalah diberikan cuti yang panjang meskipun ramai yang menyangkanya sebegitu.
Aku demam, pening kepala, dan selesema sambil menyemak kertas - kertas jawapan " anak-anak " aku. Sambil bersin tak sudah-sudah, tisu atau sapu tangan di tangan kiri, mata terbedik -bedik dan berair sambil membaca tulisan tangan yang kadangkala bersimpang siur dengan " kecantikan dan keindahan" tulisan mereka.
Apapun, inilah tugas guru seperti aku. Panadol ditelan, tetapi aku masih begini juga. Dan, hampir suku lagi kertas jawapan siap ditanda. Banyak tugas perlu dilakukan seperti, menyiapkan analisis keputusan peperiksaan, menyediakan kertas cadangan untuk program bawah jagaan aku, kelas tambahan setiap hari buat murid-murid UPSR, dan menghadiri beberapa taklimat juga diadakan pada waktu cuti ini. Ini bermakna, aku hanya punyai beberapa hari sahaja untuk berehat, aku mahu bercuti jauh sambil mahu menghabiskan bacaan buku-buku yang aku telah beli sebelum ini. Haraplah sangat aku dapat melepaskan lelah yang menggila ini.
Berbicara tentang gaya pemeriksaan dan penandaan kertas jawapan peperiksaan, sudah menjadi tradisi aku sepanjang aku menjadi guru, yang aku selalu titipkan komentar yang panjang, buat " anak-anak " aku, supaya mereka boleh mengambil iktibar. Jujurnya, setiap kali aku menanda buku mereka, juga aku titipkan komen buat mereka.
Sungguh, mereka masih anak kecil dan mentah, dan mudah lupa, tetapi aku tidak akan biarkan mereka lupa buat selamanya. Kerana itulah, aku menulis komen panjang, supaya mereka tahu apa yang mereka telah lakukan, samada baik atau lemah.
Kadangkala, mereka menjadi ketagih setiap kali mendapat " surat cinta bertinta merah " daripada aku. Kadangkala, pantas mereka mengambil buku latihan, akan mereka baca tulisan aku, mahu memeriksa apakah yang telah aku tuliskan.
Kadangkala, komen aku hanya pendek seperti;
~ Airil, buat pembetulan ejaan ya. ~ Syafika, ejaan salah. Pembetulan. Lima kali tulis ya.
Ataupun, kadangkala tiada panggilan nama lagi. Hanya sekadar menulis
Justeru itu (salah) Justeru (betul)
 Kadangkala, komen aku panjang lebar seperti di bawah ini. Siap letakkan peribahasa lagi ni.
" Jangan lupa titik setiap hujung ayat. Jangan lalai dalam tugas kamu. Rajinkan diri dan selalu buat yang terbaik. Jangan buat tugas sekadar melepaskan batuk di tangga. Kamu sudah berjanji dengan cikgu."
Dan, mungkin panjang komen aku seperti ini;
 " Kekalkan prestasi kamu. Jangan lalai. Semak 2 - 3 kali soalan yang dibaca. Kekalkan A kamu. Dapatkan lebih 90 markah akan datang. "
Itulah, biasanya begitulah aku menulis. Nampak gayanya, " anak-anak " aku ni sangat memberikan perhatian terhadap apa yang aku tulis. Dan, setiap kali kesalahan, aku ingatkan beribu-ribu kali meskipun mereka selalu lupa walaupun untuk meninggalkan noktah akhir pada setiap ayat yang ditulis.
Oh ya, jangan ingatlah mereka boleh meniru. Aku kenal benar akan tulisan mereka. Dan, bukan itu sahaja, aku boleh tahu dan amat arif menilai lenggok bahasa yang mereka gunakan, seorang demi seorang, gaya bahasa mereka.
Bukan nak berbangga, satu hari satu mesyuarat guru diadakan. Penandaan aku dikomen oleh pentadbir (guru besar). Katanya " saya seronok benar baca penandaan cikgu Jimi, macam baca buku autograf, penuh nasihat ".
Jadi, tahulah kalian sekarang ya, guru besar juga " spot check " kerja yang dilakukan cikgu - cikgu bawahnya. Dan, dia juga akan bertanya pada murid-murid secara bersembunyi samada guru-gurunya mengajar betul-betul atau memonteng. Scary kan? Hmm, kalau buat kerja dengan betul, nak takut apa kan !.
Aku masih ingat lagi, masa zaman belajar aku dulu. Di tingkatan 5, sibuk berhempas pulas dengan SPM, guru kelas aku ialah Ustaz Tarmidzi. Ustaz yang garang dan tegas, tetapi penuh kasih sayang dan kelembutan. (mungkin aku telah meniru gaya pengajarannya).
Membaca laporan kemajuan peperiksaan yang ditulisnya, menyebabkan aku menangis terharu akan bait-bait kata yang ditulisnya. Pada peperiksaan awal tahun, aku mendapat tempat pertama dalam kelas dan antara kelas yang lain. Nak tahu apa yang ditulisnya?

" Mempertahankan kemampuan yang ada lebih sukar daripada mengejarnya "
Komen itu sungguh memberikan perangsang dan dorongan. Nasihatnya menyuruh aku supaya mengekalkan hingga akhir tahun sangat aku hargai. Dalam kata lain, komen itu memuji aku, dan pada masa sama meminta aku supaya tidak cepat berpuas hati.
Dan, pada peperiksaan pertengahan tahun (percubaan SPM), alhamdulillah sekali lagi, aku masih lagi di tempat yang pertama, dan menjadi calon harapan sekolah pada ketika itu. Apakah yang ditulisnya pula selepas itu?
" Mempertahankan kejayaan "
Sungguh ber " hantu" betul komen yang ditulisnya. Sungguhpun pendek tetapi memberi maksud yang mendalam. Alhamdulillah, aku turut menjadi Pelajar SPM Terbaik pada tahun itu, dan the rest is history.
Tujuan aku mengungkit kisah lama ini, bukanlah niat untuk bermegah atau menunjuk-nunjuk. Tetapi, mahu mengaitkan betapa kata-kata guru itu sungguh dan maha berpengaruh, mengubah dan mendorong sikap anak-anak muridnya. Buktinya, diri aku sendiri! Kerana komen yang ditulisnya, aku ingat setiap bait kata itu di kepala aku sepanjang pembelajaran aku dulu.
Justeru, sebagai seorang guru, aku sentiasa menulis komen aku pada buku mereka, ikhlas dan jujur yang lahir daripada hati aku. Supaya mereka tahu, cikgu mereka betul-betul " melihat " diri mereka. Harapnya, begitulah.
Rindu betul aku akan Ustaz Tairmidzi, kerana dia aku memperoleh A1 dalam Bahasa Arab Tinggi aku, (sungguh, aku betul benci pelajaran Bahasa Arab ketika itu, one of the most difficult language to learn), tetapi kerana Ustaz, aku berjaya juga.Labels: cikgu Jimi |