Saban tahun, setiap kali menjelang sambutan Hari Guru, aku sudah membilang kepada ' anak - anak' aku, yang usah diberikan hadiah kepada aku, membazirkan duit mereka sahaja. Cukuplah, jika ingin memberikan penghargaan, buat sahaja kad buatan sendiri. Kerna itu sudah bisa membangkitkan perasaan aku.
Kalau mereka masih ingin memberikan hadiah juga, aku terima juga dengan ikhlas tulus hati. Tahun lalu, aku sudah pun menulis tentang hadiah-hadiah yang ku terima sempena Hari Guru. Bagaimana pula dengan apa yang kuterima tahun ini pula?
Satu kotak besar tidak cukup menampung hadiah yang aku terima. Tetapi, aku tetap gembira menerimanya satu demi satu.
Nak tahu apa yang aku telah dapat? Kebanyakkannya pen berdakwat tinta merah, barang dekorasi kecil dan comel, cawan mug, malah dapat juga kain pelikat sehelai dua, baju kemeja untuk pergi bekerja pun dapat !.
Yang paling aku dambakan ialah membaca kad-kad yang mereka tuliskan, yang mereka hiaskan dan warnakan sendiri. Sungguh terharu, dan menitis jugalah air mata aku, sambil tersenyum sendirian, apabila melihat ejaan yang salah dan sebagainya.
Murid daripada tahun 6, hampir kesemuanya meletakkan pantun ciptaan sendiri, yang sempat aku ajarkan sebelum ini, bagaimana mahu mencipta dan membina pantun yang mudah, dengan mengajarkan mereka pembayang dan maksudnya.
Paling aku suka yang menyebabkan aku menitiskan air mata;
Pergi ke kedai membeli sagu, Ketika membeli terlihat nyonya, Terima kasih kepada cikgu, Jasamuku kenang buat selamanya.
(daripada Azmil, seorang murid harapan aku tahun ini)
Sepertimana yang kalian tahu, kad-kad ini aku simpan dan tampalkan dalam album, yang telah aku susun dan label mengikut tahun- tahunnya, bersertakan kulit hadiahnya sekali. Sudah hampir 4 album aku telah simpan, yang separuhnya aku simpan di rumah dan di atas mejaku di sekolah.
Aku tidak pasti sampai berapa puluh album nanti sekiranya aku selesai bersara, meninggalkan dunia guru nanti. Ini sahaja cara aku mengingati nama-nama bekas anak murid aku nanti, dan dapat aku mengenangkan nama-nama yang pernah menjadi anak murid aku suatu hari nanti. Seminggu sebelum acara sambutan Hari Guru, aku menunjukkan kepada anak-anak murid aku, satu demi satu album itu, dan mereka sungguh terkejut, kerana aku masih menyimpan dan menghargainya, walaupun cuma ditulis atas sekeping kertas kad manila yang pudar warnanya. "Itu tanda cikgu sayangkan kamu semua," kata aku kepada mereka.
Sesekali, jika terbit rasa duka dan resah di hati, aku sentiasa membaca dan mengulang baca semula kad-kad ini. Membelek semula kad-kad yang telah aku susun rapi.
Juga, aku menerima buat kali pertama hadiah Hari Guru dari seorang blogger, yang mengirimkannya melalui pos. Terima kasih ya.
Setiap tahun, selepas berakhirnya sambutan Hari Guru, aku selalu jatuh sakit. Mungkin penat menguruskan sambutan dan acara, dan letih membaca dan membuka hadiah satu persatu, menangis dan ketawa pada saat yang sama, akhirnya mungkin masa itulah aku sedar yang aku sepatutnya mengambil rehat secukupnya.
Nasib baik, sempat berehat kerana cuti dua hari. Kini, aku sudah okay daripada demam. Menulis entri ini juga membuatkan aku semakin sembuh dan pulih. Harap dapat sihat sepenuhnya, dan kembali semula bertugas dengan lebih bersemangat.
Aku titipkan yang terakhir, video yang aku hasilkan sendiri, lambakkan foto-foto kad-kad Hari Guru yang aku peroleh tahun ini, dan aku jadikan ia satu memorabilia edisi Hari Guru, Cikgu Jimi, tahun 2008. Jemput nonton, dan berikan komen ya!
(terima kasih kepada lagu latar yang aku dapat daripada blog Rudy, sedaplah lagu ni Rudy !)
Bagaimana
mahu merungkai JIMI?. Pada DNA nya, kelakuannya, sifat mazmumah
atau mahmudahnya?. Mungkinkah JIMI itu sebuah ciptaan, atau
persepsi bagi sebuah realiti? Jujurkah atau hipokritkah JIMI,
tetapi bukankah semuanya begitu?. Mari mendalami JIMI.. ::Mengapa
Jimi menulis? ::Di
sebalik wajah