Hajar, sahabat blogger telah bermurah hati untuk memilih aku supaya meneruskan tagnya. Katanya, kepingin benar mahu melihat meja kerja seorang guru. Tanpa untuk menghampakan " peminat " (ha ha ha), inilah dia gambar meja aku di sekolah.
Buku - buku rujukan telah aku letakkan dalam rak-rak yang berdekatan. Begitu juga buku - buku pengajaran yang penting. Aku culas menghimpunkan semuanya, sebagai seorang yang perfectionist, sekalipun sibuk dan banyak kerja, a clean desk is a must. If not, alamat berserabutlah kepala aku.
Telah aku labelkan mengikut nombor apa yang selalunya ada pada meja aku.
Nombor 1
Ialah buku ringkasan mengajar. Ialah rancangan pengajaran harian yang perlu ditulis setiap hari oleh seorang guru. Buku ini merupakan panduan apakah yang perlu diajar oleh seorang guru pada setiap kali sesi kelas pengajarannya. Buku ini tidak boleh ditaip atau ditampal rancangannya dengan komputer, mestilah bertulis tangan. Pada setiap hari Jumaat, penghujung hari persekolahan setiap minggu, buku rancangan mengajar haruslah diletakkan di atas meja guru besar, untuk disemak dan ditandatangan oleh Guru Besar. Ya, jika aku dan guru lain gagal meletakkan buku ini pada hari itu, akan ditanda kosong pada buku catatan guru besar. Dan, padahnya boleh dikenakan tindakan.
Jika guru gagal menyiapkan buku ringkasan mengajar, tindakan denda dan tata tertib akan dikenakan. Perkara ini termaktub dalam pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia. Kerana inilah yang dijadikan bukti di mahkamah, bahawa bukti guru mengajar mengikut sukatan ataupun tidak.
Oh ya, kalau masih tidak percaya, aku boleh pastikan kalian mempercayainya, ada juga guru yang tidak menyiapkan ringkasan mengajar setahun masih kosong tidak bertulis, telahpun dikenakan tindakan seperti ditukar sekolah lain. Brutal tak? (itu kes sangat terpencil, jangan risau)
Nombor 2
Kamus Dewan, sebagai guru yang mempunyai pengkhususan major dalam pengajaran Pengajian Melayu, buku itu sangat aku perlukan dan dambakan setiap hari. Merujuk setiap hari, jika terdapat segala kesusutan dan kekeliruan, kerana apa sahaja yang tertulis dalam Kamus Dewan, adalah jelas, betul dan tepat. Contohnya, tidak ramai yang tahu apakah perbezaannya antara " berasa" dan "merasa", atau kesalahan yang sering sahaja dilakukan oleh media seperti diperolehi, menghadiahkan, semuanya itu salah daripada sudut tata hukum bahasa Melayu.
Pernah tak aku beritahu kalian, akulah Ketua Bidang Bahasa Melayu di sekolah aku? , dan akulah guru yang mengajar kelas terpenting pada setiap tahun iaitu Tahun 6. Sudah lebih 4 tahun, aku menjadi semakin jemu, telah memohon untuk mengajar di tahun satu; Bahasa Melayu, tetapi ditolak mentah-mentah oleh pentadbir (aku rasa kalian mungkin tahu apakah sebabnya, tak semua guru boleh mengajar tahun satu, tau!)
Nombor 3
Hah, itulah bekas semua benda alah yang aku perlukan. Daripada pen marker, pensil, kalkulator, pen merah yang mungkin ada sepuluh batang dalamnya, kukut besi, malah pemotong kuku buat murid yang degil setiap hari isnin sekiranya kuku mereka panjang pun ada.ha ha ha. Pemicu simpanan data (pen drive) pun ada dua, tiga, siap berlabel untuk kegunaan kurikulum atau peribadi.
Nombor 4
Kesemua fail samada melibatkan tugas pentadbiran, tugas individu, fail peribadi dan apa sahaja yang melbatkannya telah aku label mengikut kotak yang asing, supaya senang. Aku tidak boleh pening. Aku memegang jawatan yang sangatlah banyak seperti guru makmal, guru data, guru bahasa dan banyak lagi. Setiap surat dan kerja harus dimasukkan dengan betul, supaya senang aku menguruskan kerja-kerja aku.
Nombor 5
Bahan edaran. Selalunya latihan yang telah siap ditaip atau difotokopi, yang biasanya aku lakukan setiap hari. Sangat perlu, kerana mengajar di kelas atasan (tahun 4, 5, 6), bahan edaran adalah bahan pengukuhan pemahaman murid. Oleh kerana buku rujukan yang terlalu banyak, selalunya waktu petang aku menghimpun kesemuanya, dan memperbanyak bahan edaran supaya murid dapat melakukannya di rumah. Contohnya, aku kumpulkan semua soalan dalam semua buku rujukan di bawah tajuk simpulan bahasa atau lain-lain. Oleh kerana sudah 4 tahun mengajar kelas atasan ni, semua bahan ini disimpan dalam rak peribadi aku, mengikut label dan sistem pelajaran supaya senang diulang semula setiap tahun. Aku biasanya tidak kedekut dalam hal ini, selalunya memperuntukkan RM50 sebulan perbelanjaan untuk fotokopi bahan edaran untuk semua kelas-kelas aku.
Nombor 6
Tengoklah tu, banyak sangat organizer yang aku guna. Mengikut hal / bidang yang berasingan. Katakanlah menghadiri taklimat kurikulum, organizer yang besar digunakan. Begitulah sebaliknya. Sangat penting, kalaulah hilang, aku mungkin menangis kerana semua jenis data dan taklimat tertulis di situ. Oh ya, seperti orang lain juga, post it memo memanglah sangat penting. Apa sahaja tugas perlu diselesaikan. Foto ini diambil sewaktu cuti, kebanyakan tugas telahpun selesai diuruskan. Terselit sebuah buku bacaan satu di situ, yang pada ketika ini buku berjudul News From Home yang aku beli sebulan yang lalu. Sebuah buku baru memang diletakkan di meja aku di sekolah, dan dilarang dibaca di tempat lain.Kerana hakikatnya, banyak buku aku baca pada masa yang sama, dalam kereta, dalam bilik di rumah aku. Aku hanya menyelesaikan bacaan buku di kawasan meja itu sahaja. Jadi, bayangkan berapa lama nak habiskan bacaan kerana selalu sahaja sibuk. Selalunya, aku sempat baca dua atau tiga muka surat, ketika menunggu tepatnya jam 2.30 petang, kerana kelas tambahan untuk murid tahun 6 akan bermula. Jadi, masa itu sahaja yang ada, ataupun ketika menunggu bermulanya mesyuarat guru-guru. Selalunya, jika ada masa yang terluang di sekolah, aku hanya sempat menanda berpuluh-puluh buku setiap hari. Tiada masa untuk membaca buku senggang.
 Nombor 7
Sangat menakutkan jika kalian melihat berapa banyak buku yang perlu ditanda oleh guru setiap hari. Menimbun. Itupun aku masih mengajar di sekolah kampung. Bayangkan guru yang mengajar di kawasan bandar, yang mana setiap kelas berjumlah 50 orang murid, kalian darabkan dengan 4 kali kelas yang ada.Jadi, Ira, mungkin cikgu kamu sudah tak kuasa menulis komen di buku kamu dulu, kerana dah terlalu penat untuk menanda.
Bagi aku, kalau tidak sempat menanda di sekolah (memang tak cukup masa), terpaksalah bawa di rumah. Sambil menonton Buletin Utama setiap masa aku menyumpah pada menteri - menteri yang buat komen di tv dengan bahasa yang berserabut dan tunggang langgang, masa itu jugalah aku menanda bahasa murid-murid aku ni. Ya, kadangkala aku menyumpah seranah, melihat tulisan yang buruk dan kadangkala terasa mahu menari, humming nyanyi kecil ala Joey Yung kalau tulisan anak murid kamu itu secantik dan sekemas tulisan Jimi Wiser, cikgu mereka sendiri. Ha ha ha.
Oh ya, memang aku gunakan LCD dan laptop dalam pengajaran aku. Tapi, dah meja aku penuh, malas nak tunjuk pada kalian. Tempoh hari, aku tayangkan beberapa tayangan youtube yang lucu, sebelum memulakan pengajaran. Aku biasanya gunakan lagu yang mempunyai bahasa yang bagus, ataupun visual menarik untuk menarik perhatian murid-murid aku.
Harap kalian enjoy mengambil sedikit perhatian tentang hidup aku, terutamanya meja tugas aku. Perlu diingatkan di sini, gambaran kekemasan meja itu bergantung kepada kesibukan diri pada ketika itu. Tapi kalian tahulah, aku ni perfectionist, dan aku tidak pasti tentang meja guru yang lain. Kalau nak tahu juga, jemputlah datang suatu hari nanti.
Labels: cikgu Jimi |