Pernah atau tidak kalian menonton sebuah filem yang singgah di hati kalian, terlekat dan terus berada di persada berhari-hari walaupun usai menontonnya? Pernah atau tidak kalian merasakan sebuah filem yang cukup sempurna maknanya, menikmati kenikmatan pengalaman sinematik yang tinggi, penuh nilai hiburan tetapi mempunyai makna mendalam, mengajar kita erti satu atau dua tentang makna sebuah kehidupan.
Sebuah filem yang amat aku nanti -nantikan. Sehingga dimaklumkan bahawa filem The Diving Bell and Butterfly ini telah menggondol beberapa anugerah antara bangsa, apatah lagi ia dipadankan daripada sebuah buku memoir terkenal yang juga merupakan buku yang terlaris.
Izinkan aku menceritakan kisahnya. Kisahnya begini .....
Jean-Dominique Bauby punyai segalanya dalam hidup. Kerjaya yang mahsyur dalam penerbitan majalah Elle yang tersohor, memiliki tiga anak - anak comel dan kekasih hatinya. Namun, pada satu hari, satu tragedi menimpa dirinya dengan serangan strok yang mengakibatkannya menghadapi locked in syindrome, kekejangan seluruh tubuh badan, termasuklah tidak boleh bercakap dan menggerakkan anggota tubuhnya.
Hanya satu sahaja yang boleh digerakkannya. Ialah kerdipan matanya. Sekali kerdipan matanya bermaksud ya, dan dua kali kerdipan matanya bermakna tidak.
Dengan cara ini sahaja, hanya medium Jean menghubungi dan berinteraksi dengan manusia dan dunia di sekelilingnya. Bayangkan, untuk memahami apakah yang diminta oleh Jean, orang harus menyebut setiap huruf daripada A sehingga Z, dan memerhatikan kerdipan Jean, menyalin di nota dan menggabungkan semua huruf menjadi perkataan. Baharulah, sekeliling tahu apa yang ingin diucapkan oleh Jean.
Apakah perkataan pertama yang diucapkan oleh Jean?
Jawapannya ialah " I want to die ".
Menyelami penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh Jean Dominique Bauby sangatlah mengharukan, menyentuh perasaan aku. Padahal, secara kontranya filem sedih ini bukanlah sangat " depressing " seperti filem-filem manusia yang menghadapi zaman kematian mereka. Tetapi, ironinya, filem istimewa ini mewarnai hidup dengan seribu jenis inspirasi tentang bagaimanakah nilai hidup kita, yang harus kita jalani sebaiknya.
Jika kalian dan aku terbaring kaku di atas katil sahaja, dengan berbekalkan kerdipan mata, mahukan kalian meneruskan hidup ini?
Sanggupkah kalian melihat anak lelaki kalian menangisi hiba melihat diri yang sudah berubah, sehingga air liur di bibir tidak mampu diseka dengan tangan sendiri.
Mungkin dalam sanubari Jean, dia boleh berputus asa terhadap rahmat tuhan. Dia mungkin mahu mati ketika menyebut di luar hatinya, tetapi hakikatnya, dia memilih untuk hidup dengan bermaruah dan sebaiknya.
Atas sebab itulah, dia berhasrat untuk menulis kisah hidupnya. Dia mengupah seorang wanita yang sanggup bersabar, yang akan menyebut setiap huruf daripada A hingga Z, menyalin setiap huruf, membaca kerdipan matanya, supaya impiannya, menulis sebuah buku tentang kisah hidupnya termakbul.
Bayangkanlah, sebuah buku memoir hidupnya berjaya diterbitkan, dengan hanya menulis dengan kerdipan matanya. Dan, kerana buku itulah, dia disanjung sehingga terlaris bukunya di pasaran. Maka akhirnya, kerana buku inilah sutradara Julian Schnabel cuba mengadaptasinya menjadikan sebuah filem memoir pula. Kanvas kehidupan insan yang tidak pernah mengalah dan tewas akan pancaroba hidupnya.
Jujurnya, usai menyeka air mata aku, terharu melihat kejujuran dan ketabahan seorang manusia dalam filem indah ini, menguatkan inspirasi bahawa selagi hidup itu berlangsung, jangan sesekali mengalah kepada takdir dan ujian.
Katanya, " aku mungkin lumpuh seluruh badan dan tubuhku, tetapi hanya memori dan imaginasiku masih ampuh dan kuat ". Kerana dua perkara itulah, dia mampu menghidupkan dirinya menghadapi kehidupannya seharian.
Sungguhpun, ia masih sebuah filem berlingkar tentang kepedihan dan kesengsaraan hidup, nyatanya humor dan jenaka sang pencerita (Jean sendiri) membuatkan kita kagum akan persepsi hidup beliau.
Yang menariknya tentang filem istimewa ini ialah, bagaimana visual filem ini diambil seolah-olah dari sudut mata Jean sendiri. Semua watak bercakap kepada kamera, seolah - olah bercerita dengan Jean. Yang merasainya, ialah kita sebagai penonton, kerana kita dapat melihat dunia dari kacamata Jean. Ketika Jean menitiskan air mata, visual gambar dikelamkan sedikit, ketika Jean mahu mengerdipkan matanya, kita sendiri mengalaminya sendiri. Aku fikir secara teknikalnya, betapa bijaksana sutaradara Julian Schnabel mendekatkan dunia Jean Dominique dengan cara ini. Mungkin, kita dapat merasai betapa dalamnya dunia Jean yang mengharungi kehidupannya seharian.
Menggabungkan kerja kamera yang aku maksudkan, teknik imbasan dan naratif pencerita dalam filem ini menghasilkan sebuah filem yang cukup berseni, tersendiri, sebuah lagi filem yang aku nobatkan antara filem inspirasi terbaik yang ditonton.
Ada cerita suka dan duka. Filem yang menelanjangi kemanusiaan Jean Dominique. Dia bukan malaikat. Dia sedar betapa ketika beginilah, dia kenal yang mana sahabat dan yang mana kekasihnya. Kekasihnya yang dicintai tidak pernah mahu mengunjunginya, sebaliknya bekas isterinya yang masih mencintai dirinya, saban hari menemankan dirinya. Ada seribu kekesalan, jikaulau dirinya tidak begitu, mahu dia menghargai nikmat kehidupan yang sungguh bebas. Berlari semahu -mahunya, terjun ke dunia tanpa sempadan.
Kadangkala, dirinya diibaratkan seperti penyelam yang ditutup dengan besi, dicampakkan ke laut dalam. Begitulah makna dirinya yang tidak berdaya walaupun untuk menggerakkan jari manisnya sendirinya. Tetapi, dalam mindanya, bermimpi bahawa dia mengibaratkan dirinya seperti kupu-kupu penuh pancawarna. Yang hidup bebas, berterbangan ke sana - sini. Cantik, bebas dan ringan melayang di angkasa aurora.
Barangkali, itulah terma yang dipilih literasinya, makna dan maksud judul buku memoirnya dan juga filemnya The Diving Bell and Butterfly.
Sungguh, andai kata kalian sebagai sahabat Jimi, singgah ke rumah Jimi, mahu menonton dan menanyakan sebuah filem yang terbaik, yang boleh aku cadangkan kepada kalian, yang mungkin boleh memberi input bernilai seusai kalian menontonnya, akan aku tayangkan filem The Diving Bell and Butterfly ini, buat seratus kalinya untuk kalian.
Maka, carilah filem ini . Anda pasti tidak akan menyesal.
p/s Aku mahu mencari buku memoirnya pula. Harap-haraplah boleh ketemu dengannya. Akan aku nikmati dunia Jean pula dengan bait kata-kata pula, sambil membayangkan jumlah masa dan hari yang diperuntukkan untuk menyelesaikan tulisannya. What an amazing person he is.
Diving Bell and Butterfly memenangi anugerah - Sutradara Terbaik , Cannes Film Festival, Golden Globe Award - Aktor Terbaik , César Awards, France - Adaptasi Naskah Terbaik , Writers Guild Award - Filem Asing Terbaik, Golden Globe Award
Bagaimana
mahu merungkai JIMI?. Pada DNA nya, kelakuannya, sifat mazmumah
atau mahmudahnya?. Mungkinkah JIMI itu sebuah ciptaan, atau
persepsi bagi sebuah realiti? Jujurkah atau hipokritkah JIMI,
tetapi bukankah semuanya begitu?. Mari mendalami JIMI.. ::Mengapa
Jimi menulis? ::Di
sebalik wajah