
Jika kalian sudah mengenali Jimi dan sinema pilihannya, tentu kalian maklumi bahawa Jimi punyai " love-hate" relationship dengan sinema Malaysia. Kadang-kadang, menjadi terlalu benci dengan produk yang separuh masak itu. Kadangkala, garapan dan buah tangan filem-filem kita hanya layak ditong sampahkan.
Benar. Seriously.
Kadangkala juga, ada beberapa filem yang singgah, cukup memikat hati. Seperti Rabun, Sepet, Mukhsin, Buli, Gol dan Gincu, Cinta dan beberapa lagi.
Jika Jimi memuji filem itu, tentu ada kekuatan dan pembaharuan atau sahaja mutu dan kualiti yang harus dan selayaknya diberikan pujian.
Kelmarin, Jimi telah tonton Anak Halal.
Hasilnya, SURPRISINGLY GOOD.
Bukan? Jimi sudah memulakan pujiannya yang jarang diberikan kepada sinema Malaysia.
Maka, jika berpeluang tontonlah Anak Halal. You will not be disappointed. Jangan risau, Jimi tidak dirasuah oleh Tayangan Unggul supaya menulis yang baik-baik tentang filem Anak Halal ini.
Tontonlah filem Anak Halal ini kerana: -
1. Buat pertama kalinya Farid Kamil sangat bagus dan cemerlang berlakon. Mungkin kalian juga tidak dapat memaafkan Farid kerana lakonan " kayu " bersama aktres suam-suam suku Erra Fazira itu dalam Tujuh Perhentian itu. Kali ini, sebagai teraju utama, dia memang bagus. Bravo, Farid.
2. Maya Karin, walaupun sukar ditepis keayuan dan kejelitaan Audrey Hepburn nya, maka kali ini aku dapat melihat bagusnya Maya Karin sekilas menepis kecantikannya dan hanya nampak, kecantikan seni lakonannya. Tahniah, Maya.
3. Osman Ali, sang sutradaranya menelanjangkan kota kosmopolitan Kuala Lumpur kepada yang berbau hanyir, hamis, kotor dan jijik dengan segala punah ranah anak- anak gelandangan yang tinggal di flat murah. Satu kritikan sosial terhadap dunia kota yang tidak pernah kalian lihat sebelumnya menerusi filem-filem Malaysia sebelum ini.
4. Suntingan bijaksana dan kemas, shot menarik dan istimewa dan garapan bersahaja lagak gaya spontan dan bersahaja menjadikan filem anak Halal ini sungguh bersahaja dan " real".
5. Kadangkala, aku teringatkan anak-anak Indonesia yang merempat dalam Mengejar Matahari. Sudahkah kalian menonton filem sulung Rudy Soedjarwo itu? Anak Halal adalah saingan filem itu, dan kiranya aku boleh menonton kedua-dua filem secara back to back, kerana sungguh mempunyai persamaan.
6. Ini adalah sebuah filem di mana pelakon- pelakonnya mempunyai kehebatan masing- masing. Tiada yang terlebih dan tiada terkurang. Farid Kamil, Maya Karin, Fasha Sanda, Ade Putra, Bront, Farah, Zulhuzaimi, Fauzi Nawawi, Rosyam Nor dan beberapa nama lagi, masing-masing menunjukkan taring mereka tanpa perlu " over acting" atau "over shadow" lakonan yang lain. Dalam satu adegan, Jimi terkesan dengan lakonan Farah (Salon) sungguhpun shot kamera pada itu ditumpu secara zoom besar, tetapi lakonannya sungguh hebat. Dan, lakonan Aziz Satar sekadar dua tiga babak pun sebagai Pak Ali Tukang Kasut cukup mengesankan. Filem ini layak diberi anugerah Best Ensemble Cast, kerana semuanya memainkan watak mereka dengan jayanya. Rosyam Nor pula?, is brilliant as ever. Pernahkah kalian lihat Rosyam gagal dalam seni lakonnya?
Jimi sms beberapa teman Jimi, supaya mereka menonton filem Anak Halal ini. Kerana, walaupun ia masih lagi klise dengan tema filem Malaysia yang terdahulu, seperti ingat lagi tak Matinya Seorang Patriot?, tetapi, filem Anak Halal ini agak segar dan memberikan harapan bahawa, selagi perhatian dan tumpuan kepada semua aspek pembikinan filem dilakukan dengan kreatif. Tentu sahaja ia berjaya.
Aku tidak pasti jika filem Anak Halal ini berjaya dengan kutipan yang bagus. Tetapi, aku percaya ini adalah sebuah filem yang bagus dan menarik. Jadi, jika produknya sebagus ini, apakata kita menyokongnya. Watch it, ya!
Worth Watching it:
1. Shot Indera Putra dan Ana sewaktu kecil atas bumbung, bersama kucing membaca buku klasik, dengan shot perkampungan setinggan dan bangunan tinggi pencakar langit, yang menampakkkan dua darjat kehidupan yang didiami di kota itu. Brilliant. Brilliant!
2. Shot Fasha Sandha yang lalok dadah, berjalan atas atap dengan berbaju putih, diterangi gemerlapan bangunan KLCC. God! So brilliantly done!
Labels: filem